Minyak masak paket: Din si penyeludup buka rahsia!

Harian Metro
am@hmetro.com.my
PENYELUDUP sanggup ambil risiko demi keuntungan.
PENYELUDUP sanggup ambil risiko demi keuntungan.
Rantau Panjang: Minyak masak yang diseludup ke Thailand tetap mendapat permintaan tinggi penduduk negara jiran walaupun dijual pada harga dua kali ganda lebih mahal berbanding harga di Malaysia.

Seorang penyeludup mahu dikenali sebagai Din, 42, berkata, sekotak minyak masak seberat 17 kilogram (kg) dijual borong pada harga RM42.50 sekotak di pasaran tempatan.

"Namun harganya bertukar antara RM75 sehingga RM50 di negara seberang.

"Harga minyak masak paket satu kilogram tempatan adalah RM2.50 manakala harga pasaran di kebanyakan kedai di pekan Golok adalah RM5.50 sepeket.

"Susulan harga yang mahal, ramai yang sanggup mengambil risiko menyeludup minyak masak terutama melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sini. Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, ada antara penyeludup sanggup berulang alik membawa minyak masak dalam kuantiti yang sedikit," katanya.

Namun, menurutnya, penyeludup akan menyeludup minyak masak dalam kuantiti besar membabitkan berpuluh kotak jika mendapati pihak berkuasa tidak memantau lokasi berhampiran sungai.

"Biasanya penyeludup yang membawa minyak dalam kuantiti sedikit akan menjual terus minyak masak kepada peniaga di sana (negara jiran).

"Manakala orang lama yang 'pro' (penyeludup berpengalaman) akan menyalurkan minyak masak seludup kepada sindiket di sana. Mereka sudah ada rantaian dan kerjasama dengan 'kaki' di sana," katanya.

Din berkata, dia akan membawa masuk minyak masak paket 1 kilogram ke Thailand sebanyak tiga kali seminggu.

"Namun biasanya saya melakukan beberapa perjalanan (penyeludupan) sehari terutama pada waktu malam.

"Kalau pangkalan haram yang dipilih 'tidak selamat' disebabkan kawalan ketat, kami beralih ke pangkalan lain yang lokasinya agak jauh. Tambahan pula, ada sahaja mata-mata yang akan membantu orang seperti kami untuk memantau keberadaan pihak berkuasa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan