PATI: Cuba tipu penggantian MyKad, remaja dipenjara 11 bulan

Izwan Abdullah
am@hmetro.com.my
REMAJA perempuan tanpa dokumen pengenalan diri ketika hadir di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Ihsan JPN
REMAJA perempuan tanpa dokumen pengenalan diri ketika hadir di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. FOTO Ihsan JPN
Kota Kinabalu: Seorang remaja perempuan dipenjara 11 bulan selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu ketika memohon gantian kad pengenalan (MyKad) di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu, pada 20 September lalu.

Tertuduh tanpa dokumen pengenalan diri itu yang hanya dikenali sebagai Sarah, 19, membuat pengakuan berkenaan selepas dituduh mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula pada tarikh dia ditangkap, Jumaat lalu dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

Berdasarkan fakta kes, pada kira-kira 10.30 pagi, 20 September lalu, tertuduh datang ke Kaunter Bahagian Kad Pengenalan JPN Sabah untuk membuat permohonan gantian kad pengenalan atas nama Noralisah Asliah dan mengemukakan dokumen sijil kelahiran atas nama yang sama, selain laporan polis kehilangan kad pengenalan.

Bagaimanapun, perbandingan cap ibu jari tertuduh didapati tidak sepadan dengan rekod kad pengenalan dalam Pangkalan Data JPN dan semakan turut mendapati rekod nombor kad pengenalan yang ingin diganti sudah dikeluarkan Mykad kepada orang lain berstatus warganegara.

Berikutan itu tertuduh dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuaasan JPN Sabah untuk tindakan lanjut dan hasil soal siasat, tertuduh mengaku bernama Sarah, lahir di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, manakala sijil kelahiran yang dibawa bukan miliknya.

Berdasarkan siasatan itu, tertuduh kemudian ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007).

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohamad Faizal Tahir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan