Pemandu Mercedes lari lepas langgar anggota polis diburu

AZMI NORDIN
Tangkap layar video tular anggota polis dilanggar sebuah kenderaan mewah di Jalan Gombak, Setapak, kelmarin.
KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis cedera selepas bergesel dengan kereta jenis Mercedes-Benz dalam kemalangan di Jalan Gombak, Setapak, di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.11 tengah hari.

Katanya, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Setapak itu mengalami luka di bahagian siku.

“Sehingga kini pemandu kereta masih gagal membuat laporan polis dan pihak kami sedang mengesan kenderaan dan pemandunya.

“Alamat mengikut rekod adalah di Pulai, Johor dan pemeriksaan mendapati kediaman tersebut kosong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video berdurasi 44 saat yang memaparkan sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz bergesel dengan motosikal ditunggang anggota polis selepas menukar laluan secara mengejut.-KOSMO! ONLINE
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan