Pemandu sempat keluar sebelum SUV dirempuh kereta api

KOSMO
SUV jenama Nissan Qashqai remuk dengan keadaan but terbuka. - SWNS 
LONDON – Seorang pemandu di Kent, Britain nyaris maut selepas sebuah kereta api merempuh kenderaan dinaikinya, yang ketika itu rosak dan tersadai di atas landasan, lapor akhbar The Sun UK. 

Insiden melibatkan kereta api laluan Canterbury West-Ramsgate itu berlaku sebelum pukul 2 petang (waktu tempatan) semalam di lintasan Grove Ferry berhampiran Hersden. 

Pemandu tersebut berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar beberapa saat sebelum keretanya dirempuh. 

Gambar di lokasi kejadian menunjukkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama Nissan Qashqai berwarna merah remuk dengan but terbuka. 

Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.

Jurucakap Network Rail Kent dan Sussex berkata menerusi catatan di laman X: “Kami sedia maklum mengenai pelanggaran dengan kelajuan perlahan antara kereta api dan sebuah kenderaan di persimpangan Grove Ferry.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan petugas barisan hadapan kami bekerjasama dengan Polis Kent dan Polis Pengangkutan British untuk mengeluarkan kereta itu dari persimpangan,” kata jurucakap tersebut. – AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan