Pendatang asing sengaja lompat ke arah kereta ditahan polis

FMT Reporters

Lelaki itu ditahan 6 petang tadi berhampiran lokasi kejadian di sekitar Bandar Sungai Long.
Tular video suspek sengaja meluru dan melompat ke atas beberapa kenderaan sedang bergerak sehingga mengakibatkan kemalangan di sekitar Bandar Sungai Long, Kajang, Selasa lalu. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai sengaja meluru dan melompat ke atas beberapa kenderaan sedang bergerak sehingga mengakibatkan kemalangan di sekitar Bandar Sungai Long, Kajang, Selasa lalu.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata suspek yang juga pendatang asing tanpa izin itu ditahan jam 6 petang tadi di lokasi berhampiran.

Beliau berkata tangkapan dilakukan selepas pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 14 saat di laman Facebook milik DashCam Malaysia yang memaparkan insiden berlaku pada 11.53 pagi, 17 Sept lalu.

“Suspek yang hanya mengalami kecederaan ringan meninggalkan tempat kejadian sebelum butiran atau pengenalan diri sempat diperoleh.

Dua kenderaan mengalami kerosakan akibat perbuatan lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembersihan itu dan motif kejadian masih dalam siasatan, katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tiga bulan atau dengan denda RM500 atau kedua-duanya sekali.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, katanya.

Beliau berkata sebarang maklumat berkaitan insiden itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Mohamed Faeez Norzah di talian 013-266 3407 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan