Remaja maut selepas dibedah doktor palsu

Agensi

New Delhi: Remaja berusia 15 tahun meninggal dunia secara tragis berikutan kegagalan pembedahan membuang batu dalam pundi hempedu yang dijalankan doktor palsu di daerah Saran, Bihar, baru-baru ini.

Doktor itu, dikenali sebagai Ajit Kumar Puri dilaporkan melakukan prosedur itu berdasarkan video di YouTube, lapor The Economic Times.

Suspek yang melarikan diri kini diburu pihak berkuasa.

Menurut portal berkenaan, remaja itu pada mulanya dihantar ke klinik tempat Puri bertugas, di Madhaura, selepas muntah dan sakit perut.

Dia kemudian dilaporkan dibedah tanpa pengetahuan atau persetujuan keluarganya.

Lebih membimbangkan, keluarga mendakwa Puri melakukan pembedahan itu sambil menonton video YouTube di telefon bimbitnya.

Memandangkan keadaan remaja lelaki itu semakin teruk semasa pembedahan, keluarga menyatakan kebimbangan mereka.

Bagaimanapun, Puri didakwa hanya berkata: "Adakah saya doktor di sini, atau kamu?"

Namun, apabila keadaan pesakit itu semakin merosot, Puri memutuskan untuk membawa remaja terbabit ke hospital di Patna.

Malangnya, remaja itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital berkenaan.

Selepas kejadian itu, Puri melarikan diri.

Susulan itu, keluarga memfailkan aduan terhadap Puri termasuk menuduhnya cuai dan menjalankan pembedahan tanpa kelayakan atau pengalaman yang sewajarnya.

Mereka menegaskan bahawa tindakannya secara langsung membawa kepada kematian remaja terbabit.

Polis membuka kertas siasatan terhadap doktor palsu itu dan kakitangan di kliniknya.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan