Remaja tertekan pedal minyak, kereta terjunam dari tingkat 1

Bernama
Sebuah Honda City dipandu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun terjunam dari tingkat satu Terminal One Seremban hari ini.
SEREMBAN: Seorang remaja lelaki cedera di kepala selepas kereta dipandunya terjunam dari tingkat satu Pusat Pengangkutan Terminal One hari ini akibat tertekan pedal minyak.

Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian kira-kira 11.45 pagi itu turut menjejaskan sebuah kereta yang diletakkan di aras bawah.

“Kejadian berlaku apabila kereta Honda City dipandu lelaki berusia 19 tahun bergerak dari tempat parkir Terminal One untuk balik ke rumah di Seremban 2.

“Apabila tiba di lokasi kejadian di tingkat satu, pemandu tertekan pedal minyak dan hilang kawalan lalu terbabas melanggar pagar besi.

Kereta itu seterusnya jatuh dan terkena bahagian hadapan kereta tanpa pemandu yang berada di bahagian bawah, katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, remaja terbabit dibawa ke sebuah hospital swasta di sini untuk rawatan dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Mohamad Hatta meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi pegawai penyiasat kes menerusi talian 014-6000 353 atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan