Seminggu hilang OKU ditemui mati di kebun sawit dipercayai kelaparan

Alias Abd Rani
bhnews@bharian.com.my
Warga emas OKU yang hilang sejak seminggu lalu ditemui meninggal dunia dalam kebun sawit di Yong Peng. - Foto Alias Abd Rani
Warga emas OKU yang hilang sejak seminggu lalu ditemui meninggal dunia dalam kebun sawit di Yong Peng. - Foto Alias Abd Rani
BATU PAHAT: Lelaki orang kurang upaya (OKU) warga emas yang dilaporkan hilang sejak hampir seminggu lalu, ditemukan meninggal dunia dalam kebun sawit di Yong Peng, dipercayai kelaparan.

Mayat Kasnon Sabari, 76, ditemui seorang lelaki sekitar jam 11 pagi semalam dalam keadaan terbaring di sebuah kebun sawit, kira-kira 60 kilometer dari rumahnya di Sungai Kluang Darat, Rengit.

Adik saudaranya, Sumardi Marmin, 62, berkata, berita menyedihkan itu diterima jam 12 tengah hari ketika kebanyakan ahli keluarga mengharapkan dia pulang dalam keadaan selamat.

Katanya, mereka menerima panggilan polis memaklumkan penemuan mayat arwah dan diminta ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk pengecaman.

"Saya dimaklumkan kemungkinan dia meninggal dunia disebabkan kelaparan selepas motosikalnya kehabisan minyak dan tidak dapat pulang ke rumah. Dia tidak memakai topi keledar sejak keluar dari rumahnya sehingga mayatnya ditemui

"Petang sebelum kehilangannya, saya sempat minum bersamanya, namun pelik mengapa dia menunggang hingga ke sana (Yong Peng) sedangkan sebelum ini, arwah tidak pernah berjalan jauh.

"Kalau dia keluar membeli barang, dia akan pulang segera ke rumahnya. Dia masih bujang dan menumpang di rumah anak saudara berdekatan," katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui motosikal serta beberapa dokumen peribadi dan juga wang tunai padanya.

"Arwah disedari hilang selepas kelibatnya tidak kelihatan ketika menunaikan solat Jumaat sedangkan dia antara individu paling awal tiba di masjid.

"Puas kami mencarinya di merata-rata tempat namun kelibatnya tidak kelihatan. Ketika jasadnya ditemui, dia dipercayai sudah meninggal lebih dua hari.

"Arwah seorang insan istimewa walaupun dilahirkan sebagai OKU namun tidak pernah meminta ihsan orang lain. Walaupun tidak beristeri, tetapi arwah sentiasa disayangi anak dan cucu serta saudaranya.

"Apa yang membanggakan kami, arwah tidak pernah meninggalkan solatnya walaupun terkadang dia diuji dengan keuzuran yang teruk dan kami reda dengan pemergiannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, polis mengklasifikasikan kematian warga emas itu sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan ke atas jasad warga emas itu dan tiada sebarang unsur jenayah mengaitkan kematiannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan