Seorang lelaki merekrut lebih 90 warga asing untuk rogol isteri

BHarianonline 
Dominique Pelicot. - Foto AGENSI
Dominique Pelicot. - Foto AGENSI
AVIGNON: Anak perempuan kepada seorang lelaki Perancis yang dihadapkan ke mahkamah kerana merekrut warga asing untuk merogol isterinya yang diberi dadah, menggelarkan bapanya sebagai 'penjenayah seksual terburuk'.

Dominique Pelicot, pesara berusia 71 tahun, mengaku memperalatkan isterinya untuk dirogol tanpa pengetahuannya, antara 2011 dan 2020, selepas memberikannya ubat tidur.

Dia kemudian merekrut puluhan warga asing untuk merogol isterinya di rumah mereka sendiri.

Anak perempuan Pelicot, Caroline Darian, 45 yang menggunakan nama samaran sewaktu memberi keterangan pada hari kelima perbicaraan di mahkamah di sini, menyuarakan kekecewaan terhadap perilaku bapanya.

"Bagaimana kita sepatutnya memulihkan semula diri kita apabila kita tahu apa yang (dia) telah dilakukan," katanya ketika perbicaraan yang menggemparkan Perancis itu.

Pelicot menyimpan rekod terperinci mengenai pencabulan seks dan rogol terhadap isterinya, yang hanya ditemui polis secara kebetulan selepas dia ditangkap kerana menggunakan kamera bagi merakam gambar dari bawah skirt wanita di sebuah pasar raya.

Selama bertahun-tahun, isteri Pelicot, Gisele, yang kini berusia 71 tahun dan dalam proses perceraian, berkata dia kerap dihantui ingatan yang aneh aneh sehinggalah dia dihubungi polis.

Semasa memberi keterangan di mahkamah pagi kelmarin, Darian menceritakan bagaimana dia mendapat tahu hal itu daripada ibunya pada 2 November 2020.
Caroline Darian (Kiri) bersama Gisele Pelicot (kanan) semasa perbicaraan untuk kes rogol yang mengejutkan Perancis. - Foto AGENSI
Caroline Darian (Kiri) bersama Gisele Pelicot (kanan) semasa perbicaraan untuk kes rogol yang mengejutkan Perancis. - Foto AGENSI
"Keadaan hidup saya benar-benar berubah. Ibu saya berkata, dia menghabiskan sebahagian besar waktu di balai polis. Ayah memberinya dadah sebelum membiarkan warga asing merogolnya. Saya terpaksa melihat gambar-gambarnya.

"Ini adalah apa yang anda panggil titik perubahan, permulaan untuk dihumban ke dalam neraka di mana anda tidak tahu, seberapa dalam anda akan terjerumus," katanya sambil menangis.

Darian meninggalkan kamar mahkamah dalam tangisan selepas kurang 20 minit memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan berlangsung, Selasa lalu.

Hakim turut mendedahkan terdapat dokumen dalam komputer Pelicot bertajuk 'sekitar anak perempuan saya, bogel'.

Isteri Pelicot meminta perbicaraan membabitkan suaminya diadakan secara terbuka bagi meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan dadah untuk melakukan penderaan seksual.

Kes tersebut menggegarkan Perancis apabila mengundang banyak reaksi termasuk ada yang mengambil kesempatan menyebarkan senarai suspek pelaku jenayah berkenaan dalam talian.

Menurut pasukan penyiasat, terdapat sekitar 200 kes rogol, kebanyakannya dilakukan oleh Pelicot dan selebihnya 90 kes rogol dilakukan warga asing.

Daripada 72 suspek, polis berjaya mengenalpasti 50 daripada mereka yang berusia antara 26 dan 74 tahun. Semuanya sedang dalam proses dihadapkan ke mahkamah.

Gisele pada Khamis lalu mendakwa dia hanya mengenali seorang daripada perogol yang didakwa, iaitu seorang lelaki yang pernah datang bersembang mengenai aktiviti berbasikal dengan suaminya di rumah mereka.

Perbicaraan dijadualkan berlangsung sehingga 20 Disember ini. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan