Siapa cabut papan tanda pasar Ikhwan di Putrajaya?

Ahmad Hasbi dan Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my
Papan tanda Ikhwan Cafe di bahagian bangunan GISBH sudah ditanggalkan sejak beberapa hari lalu. Foto Samadi Ahmad
Papan tanda Ikhwan Cafe di bahagian bangunan GISBH sudah ditanggalkan sejak beberapa hari lalu. Foto Samadi Ahmad
Seremban: Dua daripada enam premis milik GISB Holding (GISBH) membabitkan kedai runcit dan restoran di Garden Homes, Seremban 2, di sini, didapati menurunkan papan tanda perniagaan mereka.

Malah, tinjauan mendapati restoran berkenaan menampal satu salinan laporan polis yang mendakwa perniagaan mereka tidak mempunyai kaitan dengan GISBH.

Selain itu, kedua-dua papan tanda berkenaan dibiarkan di awning premis berkenaan selepas operasi sitaan dijalankan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Selasa lalu.

Beberapa peniaga di kawasan berkenaan mendakwa tidak ternampak sebarang kerja menurunkan papan tanda terbabit, namun ia disedari sudah tiada pada Rabu lalu.

Dalam pada itu, laporan polis yang ditampal pada pintu premis dipercayai dibuat pemiliknya menyatakan laporan itu dibuat selepas pemilik akaun Facebook Pukas Malaysia menyatakan setiap premis menggunakan perkataan Ikhwan menggunakan air berkat untuk menarik pelanggan.

Berdasarkan laporan itu, kedai Ikhwan mempunyai pemilik yang berbeza dan restoran mereka tidak mempunyai kaitan dengan syarikat yang didakwa.

"Disebabkan kedai kami menggunakan perkataan Ikhwan, sedikit sebanyak mendatangkan kesan terhadap perniagaan kami.

"Ini kerana masyarakat beranggapan semua kedai bernama Ikhwan adalah sama dan dengan ini saya ingin menafikan tuduhan yang telah dilemparkan terhadap kedai kami," katanya.

Antara aktiviti perniagaan lain dijalankan di kawasan berkenaan adalah kedai runcit, kedai cendol, bakeri dan warung menjual kuih yang sudah tidak beroperasi sejak 18 September.

Sementara itu, wakil MBS memaklumkan pihaknya tidak pernah menurunkan mana-mana papan perniagaan milik syarikat berkenaan termasuk ketika operasi pada Selasa lalu.

Media pada 24 September lalu melaporkan, MBS menyita peralatan berniaga di beberapa premis perniagaan milik GISB Holdings (GISBH) di Garden Homes.

Tindakan susulan premis perniagaan berkenaan antara lain didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan dan membina struktur tambahan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu di Putrajaya, sebuah premis perniagaan milik GISBH di Jalan Diplomatik, di sini, didapati sudah menanggalkan papan tanda di premis yang mempamerkan nama serta logo syarikat.

Tinjauan ke kawasan itu mendapati tiga premis lain yang ditutup operasi adalah Ikhwan Bakery, Ikhwan Mart dan Ikhwan Delights masih menggunakan logo syarikat berkenaan.

Sementara tinjauan di perkarangan luar Ikhwan Cafe mendapati perkakasan perniagaan seperti kerusi dan meja masih terdapat di situ.

Sementara itu pihak berkuasa tempatan (PBT) Perbadanan Putrajaya (PPj) yang dihubungi bagi mendapatkan keterangan lanjut berhubung status premis yang digunakan samada mempunyai lesen yang sah tidak dapat memberikan sebarang respon.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan