Wanita dikurung dalam kandang babi, diperkosa berulang kali

Bernama

WARSAW: Lelaki di Poland dituduh menahan dan mendera seorang wanita dalam kandang babi selama lebih lima tahun, menurut laporan saluran Berita Polsat, memetik maklumat pejabat pendakwa raya, seperti dilaporkan Agensi Berita Jerman (dpa).

Lelaki berusia 35 tahun itu dituduh mendera wanita tersebut dengan kekerasan fizikal dan psikologi teruk, termasuk pemerkosaan berulang kali, dan memperlakukannya dengan kekejaman melampau.

Aksesnya kepada air dan produk kebersihan dihadkan. Siasatan sedang dijalankan.

Jika disabitkan kesalahan, lelaki dari kampung Gaiki berhampiran Glogow di barat Poland itu boleh menghadapi hukuman penjara sehingga 25 tahun.

Sebuah hospital memaklumkan pihak berkuasa, selepas wanita itu dibawa ke hospital kerana bahu terkehel, pendakwa raya di Glogow memberitahu penyiar itu.

Tahap kecederaan lama yang dialami wanita itu mengejutkan doktor.

Wanita itu melahirkan seorang anak di hospital beberapa ketika dahulu, tetapi diserahkan untuk dijadikan anak angkat, lapor Berita Polsat.

Saya tidak boleh memberitahu doktor yang sebenarnya, saya takut kerana dia mengancam saya, ia akan menjadi lebih teruk jika saya mengadu, kata wanita berusia 30 tahun itu kepada portal berita tempatan MyGl ogow.pl.

Pihak berkuasa memerintahkan pemeriksaan rumah dan akan memohon waran tangkap.

Portal berita tempatan melaporkan wanita itu bertemu lelaki berkenaan dalam talian pada 2019.

Kampung Gaiki terletak hampir 90km barat laut Wroclaw.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan