50 pejuang Hizbullah maut dalam serangan Israel di Lubnan

Bharianonline
Kepulan asap memenuhi ruang udara selatan Beirut susulan serangan Israel menyasarkan infrastruktur Hizbullah, dilihat dari Sin El Fil, Lubnan. - Foto REUTERS
Kepulan asap memenuhi ruang udara selatan Beirut susulan serangan Israel menyasarkan infrastruktur Hizbullah, dilihat dari Sin El Fil, Lubnan. - Foto REUTERS
BEIRUT: Tentera Israel berkata serangan udara besar-besaran terhadap infrastruktur bawah tanah Hizbullah di selatan Lubnan dalam tempoh 24 jam membunuh sekurang-kurangnya 50 pejuang termasuk enam komander sektor dan pegawai wilayah.

Media milik kerajaan Lubnan melaporkan siri serangan udara Israel di kubu kuat Hizbullah di selatan Beirut pada Selasa, menyebabkan 'kemusnahan besar-besaran' dan meratakan empat bangunan, selepas tentera Israel memberi amaran supaya penduduk berpindah.

Pinggir selatan Beirut masih terus dibedil dengan siri serangan, yang terbaru menyasarkan jalan utama di Al-Kafaat dan 'menyebabkan kemusnahan besar-besaran" di beberapa kawasan di selatan Beirut, menurut Agensi Berita Nasional (NNA).

NNA berkata 'empat bangunan kediaman bersebelahan runtuh di kawasan Burj al-Barajneh selepas serangan terbaru Israel', dan sebelum ini melaporkan beberapa serangan 'musuh' di kawasan itu.

Pinggir selatan Beirut telah menjadi sasaran serangan sengit Israel selama beberapa hari berturut-turut.

Jurucakap tentera Israel berkata lebih daripada 3,000 roket telah dilancarkan ke Israel dari Lubnan setakat ini pada bulan Oktober, namun pertahanan udara berjaya menghalang banyak korban jiwa dan kerosakan besar.

Konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Hezbollah telah mengorbankan lebih 1,000 orang di Lubnan dalam tempoh dua minggu lalu dan menyebabkan lebih sejuta orang melarikan diri.

Pejuang Hezbollah menyasarkan tentera Israel berhampiran kampung sempadan Lubnan, Labbouneh, dengan tembakan artileri dan roket pada Rabu, menurut kenyataan kumpulan itu, sehari selepas Israel berkata mereka telah membunuh dua pengganti pemimpin Hezbollah yang terbunuh.

Sirene berbunyi di utara Israel pada Rabu, kata tentera Israel, sambil menambah tiga anggota tentera Israel mengalami kecederaan parah pada Selasa dan Rabu semasa pertempuran di selatan Lubnan.
Kenderaan yang musnah akibat serangan Israel di selatan Beirut, Lubnan. - Foto REUTERS
Kenderaan yang musnah akibat serangan Israel di selatan Beirut, Lubnan. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata pada Selasa serangan udara Israel telah membunuh dua pengganti berpotensi kepada pemimpin Hezbollah, Ahmad Nasrallah, yang terbunuh.

Netanyahu, bercakap dalam satu video yang dikeluarkan oleh pejabatnya beberapa jam selepas kepimpinan Hezbollah tergugat akibat beberapa siri pembunuhan komander kanan dalam serangan udara Israel, memberi isyarat bahawa rundingan gencatan senjata mungkin berlaku.

"Kami telah melemahkan keupayaan Hezbollah. Kami telah menghapuskan ribuan pejuang, termasuk (Hassan) Nasrallah sendiri dan pengganti Nasrallah, serta pengganti kepada pengganti," kata Netanyahu, tanpa menyebut nama dua yang terakhir.

Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant berkata, Hashem Safieddine, yang dijangka menggantikan Nasrallah, mungkin telah 'dihapuskan'. Namun, tidak jelas siapa yang dimaksudkan oleh Netanyahu sebagai 'pengganti kepada pengganti'.

Kemudian, jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, berkata Israel tahu Safieddine berada di ibu pejabat perisikan Hezbollah ketika jet pejuang mengebomnya minggu lalu dan status Safieddine sedang 'disemak dan apabila diketahui, kami akan memaklumkan kepada orang awam'.

Safieddine tidak muncul di khalayak umum sejak serangan udara itu, sebahagian daripada serangan Israel yang semakin meningkat selepas setahun pertempuran di sempadan dengan Hezbollah.

Presiden AS, Joe Biden, dijangka mengadakan panggilan telefon pada Rabu dengan Netanyahu mengenai sebarang rancangan untuk menyerang Iran, lapor Axios pada Selasa, memetik tiga pegawai AS.

"Kami mahu menggunakan panggilan telefon itu untuk cuba menetapkan had serangan balas Israel," kata seorang pegawai AS yang dipetik oleh Axios.

Axios melaporkan bahawa pegawai AS berkata Washington mahu memastikan Israel menyerang sasaran di Iran yang penting tanpa bersifat keterlaluan.

White House tidak segera memberi komen berhubung laporan itu. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan