Dua lelaki ditahan menyamar jadi polis, peras ugut warga asing

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Polis menahan dua lelaki, semalam selepas disyaki melakukan pemerasan terhadap warga asing dengan cara menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, dua suspek masing-masing berusia 20 tahun itu ditahan di Bandar Tenggara di sini.

Beliau berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan polis dibuat mangsa iaitu seorang lelaki warga asing pada jam 11.55 malam kelmarin.

"Mangsa dalam laporan polis mendakwa berlaku kejadian pemerasan dibuat dua suspek lelaki itu yang turut menyamar sebagai anggota polis di Bandar Tenggara di sini.

"Bertindak atas maklumat, dua lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu berjaya ditahan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, polis turut membuat rampasan sebuah motosikal jenis Honda Wave 125 yang digunakan oleh kedua-dua suspek dalam melakukan aktiviti jenayah itu.

Katanya, hasil soal siasat awal, kedua-dua suspek disyaki terbabit dengan kejadian samun pada 22 September lalu di Jalan Pahlawan, Bandar Tenggara yang menyasarkan warga asing.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

"Kedua-dua suspek katanya, ditahan reman bermula semalam sehingga 11 Oktober bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan