Iran isytihar perang terhadap Israel

AGENSI
Iran melepaskan puluhan peluru berpandu balistik ke arah Israel dengan siren serangan udara kedengaran di seluruh negara ketika penduduk diarahkan untuk kekal dekat dengan tempat perlindungan bom. - Foto AGENSI
Iran melepaskan puluhan peluru berpandu balistik ke arah Israel dengan siren serangan udara kedengaran di seluruh negara ketika penduduk diarahkan untuk kekal dekat dengan tempat perlindungan bom. - Foto AGENSI
BAITULMAQDIS: Tentera Israel berkata, Iran melepaskan puluhan peluru berpandu balistik ke arah Israel dengan siren serangan udara kedengaran di seluruh negara ketika penduduk diarahkan untuk kekal dekat dengan tempat perlindungan bom.

Pasukan Pertahanan Israel berkata, warganya diarahkan untuk terus berjaga-jaga dan dengan tepat mengikuti arahan barisan anggota komando dalam negeri.

Sebelum ini, Israel dan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran akan ada akibat yang teruk sekiranya Iran melakukan serangan.

Arahan untuk berlindung dihantar ke telefon bimbit penduduk di Israel dan diumumkan di televisyen nasional.

Stesen televisyen melaporkan, siren dibunyikan di beberapa bahagian Baitulmaqdis serta Israel tengah.

Amaran dibunyikan selepas sehari serangan roket dan peluru berpandu balistik dari Lubnan, dan seperti yang dikatakan Israel sudah memulakan operasi darat terhad di selatan Lubnan.

Serangan udara dan tembakan artileri Israel melanda perkampungan selatan Lubnan di mana orang ramai diarah supaya berpindah dan pejuang Hizbullah bertindak balas dengan melepaskan roket bertubi-tubi ke Israel.

Tiada maklumat segera mengenai kematian kerana pertempuran semakin sengit dan kebimbangan mengenai perang serantau yang lebih meluas semakin meningkat.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih memberi amaran mengenai 'akibat teruk' sekiranya Iran melancarkan peluru berpandu balistik terhadap Israel.

Kapal dan pesawat AS ditempatkan di rantau ini untuk membantu Israel sekiranya berlaku serangan dari Iran.

Pegawai itu bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan untuk membincangkan perisikan.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari juga memberi amaran mengenai akibat jika Iran melepaskan peluru berpandu ke Israel.

Beliau menggesa orang ramai supaya berada berdekatan dengan kawasan perlindungan.

"Serangan Iran boleh berleluasa. Mengikut garis panduan 'Home Front Command' boleh menyelamatkan nyawa," katanya.

Pegawai Iran tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan komen.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah, terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Beirut.

Berikutan itu, pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dipindahkan ke lokasi yang selamat di Iran selepas pembunuhan Nasrallah, menurut sumber kepada Reuters.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan