Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun hilang selepas turun ambil makanan dari kereta

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
Madrafataha,12 dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan dari kereta keluarganya di Flat Bandar Bukit Tinggi 1, semalam. FOTO Ihsan Polis
Madrafataha,12 dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan dari kereta keluarganya di Flat Bandar Bukit Tinggi 1, semalam. FOTO Ihsan Polis
Shah Alam: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun
 bernama Madrafataha Indal Bangsawan dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan dari kereta yang diparkir di bawah kediamannya di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.59 malam, semalam.

"Hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak perempuan warga tempatan turun ke tempat parkir selepas disuruh ibunya untuk mengambil makanan dalam kereta sekitar jam 2.20 petang.

"Kanak-kanak tersebut turun seorang diri dan tidak kembali ke rumah. Pada jam 3 petang, ibu mangsa bertindak mencari kanak-kanak itu bagaimanapun tidak menemuinya.

"Ibu mangsa kemudian tampil membuat laporan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas enkuiri polis orang hilang untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa digambarkan berbadan kurus, berkulit cerah, rambut di paras bahu serta berketinggian 150 sentimeter.

Katanya, mangsa kali terakhir dilihat berpakaian baju t-shirt berwarna hijau dan berseluar 'track' hitam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk menyalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan