PMX cerita apa yang dibimbanginya semasa awal jadi PM

Harapandaily

Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kebimbangan utama beliau dalam tempoh awal memegang jawatan Perdana Menteri ialah memulihkan reputasi negara.

Perdana Menteri dalam satu temu bual dengan CNBC berkata, ia terutamanya berikutan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Dalam tempoh awal, semuanya mengenai perkara itu. Bagaimana untuk menangani isu? Bagaimana pula dengan tadbir urus?

“Bagaimana dengan apa yang mereka anggap rasuah yang menjadi endemik berdasarkan pengalaman 1MDB dan pelbagai skandal lain?

“Misalnya, pemimpin terdahulu, apabila menjadi Menteri Kewangan atau Perdana Menteri, menjadi bilionair.

“Ini perlu dihentikan,” katanya kepada CNBC dalam temubual khas yang diterbitkan selama 23 minit itu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pelabur domestik dan asing mengiktiraf komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah, walaupun terdapat pengkritik yang menganggapnya terlalu berlebihan.

“Tanpa kepercayaan dan keyakinan, orang tidak akan melabur dalam jumlah yang besar. Ini melainkan mereka mempunyai pengaturan rasuah dengan anda, mereka akan meneruskannya.

“Bagaimanapun, ini perlu dihentikan. Amalan itu telah dihentikan walaupun kami masih meneruskan misi ini (kerana) perjuangan menentang rasuah perlu dilaksanakan sepenuhnya,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.

Dalam masa sama, Anwar juga menekankan kepentingan menarik pelaburan berimpak tinggi, terutamanya dalam kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

Beliau mengakui Malaysia mencatatkan peningkatan pelaburan dalam pusat data disebabkan bekalan tenaga dan air yang mudah diakses.

Namun, Anwar menyatakan tentang keperluan untuk beralih tumpuan kepada teknologi yang lebih maju untuk meningkatkan status ekonomi negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan