Seorang maut, 2 selamat, bangunan runtuh di Melaka

BERNAMA
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka giat melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang buruh binaan warga asing yang tertimbus dalam runtuhan bangunan di Bukit Senjuang, hari ini. FOTO BERNAMA
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka giat melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang buruh binaan warga asing yang tertimbus dalam runtuhan bangunan di Bukit Senjuang, hari ini. FOTO BERNAMA
Melaka: Seorang pekerja warga asing maut manakala dua lagi selamat dalam insiden bangunan runtuh di Jalan Bukit Senjuang di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata dalam insiden pada 6 petang itu, lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Jidan, 22, ditemukan maut dalam keadaan tersepit di celah runtuhan tiang konkrit.

"Mangsa ditemukan di celah runtuhan pada 9.55 malam namun hanya berjaya dikeluarkan dari runtuhan pada 12.16 tengah malam tadi.

"Mangsa yang selamat, Zubair Ahmed, 32, dan Abbas Ghulam, 49, kedua-duanya warga Pakistan, mengalami kecederaan di beberapa bahagian tubuh termasuk leher, bahu dan kepala.

"Mereka masing-masing dikeluarkan dari runtuhan pada 6.40 petang dan 8.45 malam ini.

"Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Melaka," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri R Saiful Iswandy R Hassan pula berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 6.18 petang dan seramai 81 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Temu dan Melaka Tengah termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat (35 orang) tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

"Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari runtuhan yang melibatkan struktur bangunan satu tingkat berukuran 18.3 meter x 24.4 meter persegi yang masih dalam pembinaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan