Teksi tenggelam dalam lubang benam dipenuhi air

KOSMO
Teksi milik Siu tenggelam di dalam lubang benam sedalam 6 meter. - X/Mothership
HONG KONG – Pemandu dan penumpang sebuah teksi di Hong Kong nyaris mati lemas selepas kenderaan dinaiki mereka itu terjatuh ke dalam lubang benam dipenuhi air sedalam 6 meter, lapor portal berita Mothership.

Kejadian berlaku sejurus selepas tengah malam semalam di Jalan Lai Chi Kok.

Menurut pemandu teksi yang hanya dikenali sebagai Siu, ketika melalui jalan tersebut, dia menyedari terdapat air membanjiri laluan itu.

Air tersebut berasal dari paip besar yang pecah di bawah tanah, menyebabkan laluan berkenaan dibanjiri air keruh.

Ujar Siu, dia cuba menukar laluan dan memberhentikan kenderaannya terlebih dahulu bagi memberi laluan kepada sebuah bas untuk melalui jalan di arah bertentangan.

Namun, dia tiba-tiba mendengar bunyi dentuman kuat sebelum teksi dipandunya menjadi senget ke arah kiri.

Siu cuba menekan minyak, namun teksi dinaiknya bersama seorang penumpang jatuh ke dalam lubang benam yang dipenuhi air.

Tambah Siu, ketika air mula memasuki bahagian dalam kenderaan itu, dia dan penumpangnya dengan pantas keluar dari teksi tersebut untuk menyelamatkan diri.

Menurut laporan, lubang benam tersebut mencapai kedalaman antara 5 hingga 6 meter.

Sebuah video memaparkan teksi Siu terapung di dalam lubang benam tersebut dalam keadaan terbalik.

Kenderaan itu dikeluarkan beberapa jam kemudian, manakala jalan tersebut dibuka semula pada awal pagi ini selepas paip pecah dibaiki. – AGENSI 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan