Wanita dijatuhi hukuman 15 tahun penjara kerana campak bayi dari tingkat 24 pangsapuri

BHarianonline 

SEOUL: Seorang wanita berusia 40-an dijatuhi hukuman 15 tahun penjara kerana membunuh anak saudaranya yang berusia 11 bulan dengan mencampaknya dari pangsapuri tingkat 24.

Mahkamah Daegu yang mengendalikan kes ini, mendapati wanita itu bersalah atas tuduhan membunuh bayi dan memerintahkan hukuman penjara 15 tahun serta lima tahun dalam pemantauan.

"Mangsa mati dalam kesakitan, tidak dapat mengekspresikan dirinya dan ibunya akan hidup dalam trauma dengan parut emosi," menurut kenyataan mahkamah.

Wanita itu disabitkan hukuman kerana membunuh bayi pada 8 Mei lalu iaitu pada Hari Ibu di Korea Selatan, di sebuah pangsapuri tempat tinggal adik lelaki dan isterinya di Dalseo-gu, Daegu.

Siasatan mendedahkan bahawa wanita itu mengendong bayi berkenaan selepas meminta izin daripada ibu bayi berkenaan dan ketika ibu bayi keluar sebentar dari bilik, defendan mengunci pintu dan mencampak bayi dari balkoni.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa defendan mempunyai sejarah penyakit mental, termasuk gangguan personaliti antisosial dan kemurungan, yang menyebabkan dia dirawat di hospital.

Setelah keluar dari hospital, masalahnya semakin teruk dan menganggap bahawa keluarganya akan membunuh bayi itu, yang mendorongnya melakukan jenayah itu.

Pendakwaan sebelum ini meminta hukuman 20 tahun, pemantauan elektronik selama 10 tahun dan lima tahun pemantauan kelakuan dengan alasan bahawa jenayah itu dirancang terlebih dulu. - AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan