Wanita Russia mabuk, halang lalu lintas ditahan

Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my
Wanita warga Russia ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas dalam kejadian di Setia Alam, kelmarin. - Foto ihsan pembaca
Wanita warga Russia ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas dalam kejadian di Setia Alam, kelmarin. - Foto ihsan pembaca
SHAH ALAM: Polis menahan seorang wanita warga Russia yang berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas di Jalan Setia Perdana Seksyen U13, Setia Alam, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata wanita gelandangan berusia 32 tahun itu juga didapati tiada pengenalan diri.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan jam 4.50 petang kelmarin berhubung kejadian itu dan anggota unit kereta peronda bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba, didapati wanita itu bersama seekor anjing miliknya berada dalam keadaan mabuk dan bertindak agresif sebelum ditahan.

"Pemeriksaan mendapati wanita itu tiada dokumen pengenalan diri yang sah untuk tinggal di negara ini. Dia datang ke Malaysia sejak empat tahun lalu untuk melancong dan gagal untuk pulang ke negara asal kerana pandemik COVID-19, selain tidak mempunyai simpanan wang secukupnya untuk pulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, wanita itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, manakala anjingnya diserahkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati wanita itu positif dadah jenis THC dan dia direman 14 hari sehingga 22 Oktober ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Mohammad Shamsul Md Salleh di talian 017-5453234," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan