13 remaja dituduh bunuh pelajar kolej vokasional, hakim lawat lokasi kejadian

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
REMAJA yang disyaki membunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu ketika tiba di Mahkamah Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
REMAJA yang disyaki membunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu ketika tiba di Mahkamah Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Tawau: Pihak pendakwaan mengendalikan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, percaya Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dipukul kesemua 13 tertuduh sebelum kematiannya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif berkata, perbuatan itu dilakukan kesemua tertuduh antara 9 malam pada 21 Mac lalu sehingga 7.35 pagi keesokannya di Bilik Asrama 7 Resak dan Bilik Asrama 5 Belian kolej itu.

Beliau berkata, kesemua tertuduh adalah pelajar di kolej berkenaan pada masa kejadian.

"Pendakwaan akan memanggil saksi terdiri daripada saksi mata, pegawai polis, pakar serta bukti keadaan untuk membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah," katanya pada hari pertama perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, kira-kira 2 petang.

Nur Nisla antara lain menyebut, bedah siasat oleh Pakar Perubatan Forensik ke atas mayat Mohamad Nazmie Aizzat pada 23 Mac lalu mengesahkan punca kematian akibat kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul.

Prosiding hari ini bagaimanapun hanya membabitkan saksi pendakwaan, Pengarah Kolej Vokasional Lahad Datu Ahmad Fakhrurazi Hamzah.

Hakim dan semua pihak terbabit dalam perbicaraan itu turut melawat lokasi kejadian di sini, hari ini.

Keputusan lawatan itu dibuat Duncan yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang turut dihadiri barisan peguam dari pihak pembelaan.

Pada 13 Ogos lalu, 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan secara bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie pada hari kejadian.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan