2 warga China antara 16 ditahan terlibat kes samun

Bernama

SHAH ALAM: Polis menahan 16 lelaki termasuk dua warga China dipercayai terlibat kejadian samun berkumpulan di sebuah kilang barangan lusuh di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, pada 9 Nov lepas.

Pemangku Ketua Polis Kuala Langat Mohd Sufian Amin berkata semua suspek yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu ditahan pada 3.30 petang, kira-kira sejam selepas menyamun kilang terbabit.

Beliau berkata sebelum itu, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus kilang itu kira-kira 2.30 petang, dengan menyatakan premis berkenaan didatangi sekumpulan lelaki dan bertindak merampas kepingan logam serta barang lusuh.

Semua barangan itu, katanya kemudian dimuatkan ke dalam sebuah lori yang dilarikan bersama kumpulan lelaki terbabit.

“Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Langat kemudiannya berjaya menahan semua suspek serta merampas lori itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sufian berkata turut dirampas ialah sepucuk pistol beserta 20 peluru hidup, sebilah parang dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah samun.

Beliau berkata semua lelaki berkenaan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Siasatan mendapati senjata api itu dimiliki secara sah dan mempunyai lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa. Lapan daripada yang ditahan memiliki pelbagai rekod jenayah lampau,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan