FMT Reporters
Semalam lapan maut di Sarikei termasuk pemandu dalam nahas akibat pertembungan dengan 4WD dalam cubaan melarikan diri daripada polis.
Tujuh warga Indonesia belum diketahui status kemasukan ke Sarawak maut dalam nahas di KM448, Jalan Betong-Sarikei-Meradong di Sarikei, petang semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat sama ada tujuh warga Indonesia yang maut dalam nahas KM448, Jalan Betong-Sarikei-Meradong di Sarikei petang semalam, masuk secara sah atau tidak.
Ketua Polis Sarikei Aswandy Anis, berkata setakat ini identiti semua warga Indonesia terkorban itu belum dikenal pasti dan pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak Konsulat Jeneral Indonesia bagi membantu mengenal pasti identiti mereka.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa berusia dalam lingkungan antara 16 hingga 53 tahun, manakala pemandu kenderaan yang dinaiki mereka merupakan lelaki tempatan beralamat di Sibu dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Semua mayat mangsa kini ditempatkan di Hospital Sarikei untuk tujuan bedah siasat,” katanya menurut Bernama.
Semalam, lapan termasuk tujuh warga asing maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak, berkata semua mangsa maut menaiki Perodua Alza, manakala pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan itu mengalami kecederaan.
Sementara itu, Aswandy berkata lebih kurang 2.50 petang semalam, peronda MPV polis yang sedang membuat rondaan di simpang Jalan Jakar telah terserempak dengan kereta Perodua Alza berkenaan dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan.
Namun, pemandu kenderaan itu telah memecut laju dan ketika memasuki laluan melawan arus, pasukan MPV sekali lagi membunyikan siren sebagai amaran dan mengarahkan pemandu menghentikan kenderaan, tetapi tidak dihiraukan.
“Apabila sampai di Jambatan Sungai Nyelong Pan Borneo, kereta itu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mengakibatkan semua penumpang termasuk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan