Bina rumah ikut keperluan rakyat, bukan kehendak pemaju

Suzalina Halid
suzalina@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang supaya membina rumah mampu milik atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan harga berdasarkan keperluan dan pendapatan rakyat miskin serta B40, sebaliknya bukan mengikut kehendak syarikat pemaju.

Cadangan itu dibangkitkan R Yuneswaran (PH-Segamat) berikutan ramai golongan B40 dan miskin yang tidak berjaya membeli rumah, menyebabkan mereka terpaksa menyewa sehingga puluhan tahun.

Beliau berkata, pihaknya mahu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melakukan kaji selidik bagi mencari penyelesaian dalam pembinaan rumah mampu milik, khususnya di kawasan luar bandar.

"Saya yakin setiap rakyat Malaysia wajib memiliki rumah, itu adalah tanggungjawab kerajaan, apa guna adanya kerajaan tapi rakyat duduk rumah sewa.

"Apakah kita membina rumah untuk orang kaya dan golongan pertengahan saja, bagaimana orang biasa dengan pendapatan sebanyak RM1,000 atau RM2,000...Apakah mereka tidak layak memiliki rumah?

"Ini adalah persoalan sangat besar. Apakah kerajaan tidak boleh membina rumah ikut kapasiti atau jumlah gaji yang mereka perolehi?

"Kita (sepatutnya) membina rumah berdasarkan keperluan rakyat bukannya membina rumah dan meminta mereka membayar berdasarkan apa yang dimahukan pemaju," katanya dalam sesi perbahasan peringkat dasar bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat, hari ini.

Melalui Belanjawan 2025, KPKT menerima peruntukan sebanyak RM5.934 bilion untuk tahun depan berbanding RM5.647 bilion pada 2024 dengan peningkatan 5.08 peratus iaitu bersamaan RM287.4 juta.

Pada masa sama, Yuneswaran berkata, pembinaan lebih banyak rumah mampu milik di kawasan luar bandar mampu mengawal migrasi penduduk ke bandar.

Katanya, dalam konteks di Segamat, seramai 3,000 sudah mendaftar bagi memperoleh kediaman mampu milik.

Dalam perkembangan lain, Yuneswaran berkata pihaknya mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan program sokongan psikologi dan undang-undang tanpa toleransi terhadap pihak yang terbabit dalam isu buli ketika berkhidmat di fasiliti KKM.

Beliau berkata, langkah proaktif itu penting bagi menyelesaikan kes buli dalam kalangan kakitangan KKM sehingga ada yang meninggalkan perkhidmatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan