Guru Ajaran Cahaya dipenjara 6 bulan, denda RM2,000

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
IDRIS yang juga guru Ajaran Cahaya dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban atas tiga pertuduhan mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak, tahun lalu. FOTO Azrul Edham
IDRIS yang juga guru Ajaran Cahaya dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban atas tiga pertuduhan mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak, tahun lalu. FOTO Azrul Edham
Seremban: Warga Singapura yang juga guru Ajaran Cahaya dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak.

Hakim Syarie Zulfikri Yasoa turut mengarahkan tertuduh, Idris Ami, 60, membayar denda RM2,000 dan jika gagal bayar, boleh dipenjara selama dua bulan bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan baru yang dibacakan jurubahasa, tertuduh telah menyebarkan sesuatu perbuatan yang berlawanan dengan hukum syarak kepada sekumpulan orang yang dikenali sebagai Kumpulan Cahaya.

Ia dengan membenarkan berpelukan walaupun berbeza jantina dan bukan mahram atas dasar kepercayaan bahawa ianya tidak berlaku kesalahan dari sudut syarak kerana perbuatan ini berlandaskan kecintaan hati bukan keinginan jasad dan nafsu.

Sementara itu, Idris menukar pengakuan kepada mengaku bersalah bagi dua lagi pertuduhan yang dibacakan semula hari ini selepas kali pertama dituduh pada 4 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, Idris didakwa mengajar ajaran salah kepada dua lelaki berusia 42 dan 46 tahun dengan mendakwa dirinya utusan iaitu rasul bagi zaman ini serta mendakwa di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh rasul-rasul terdahulu iaitu Nabi Adam hingga Nabi Muhammad.

Kesalahan dilakukan dari September hingga Disember 2023 di sebuah rumah di Kuala Pilah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan jika disabitkan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Idris yang tidak diwakili peguam merayu tidak dikenakan hukuman penjara kerana mahu pulang ke negara asal memandangkan masih menanggung anak dan isteri.

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan Raja Mazelan Raja Deraman dalam hujahannya memaklumkan kesalahan dilakukan tertuduh amat serius dari segi akidah yang boleh membawa kepada murtad, kufur dan syirik.

Menurutnya, tertuduh sebagai warga asing sepatutnya menghormati undang-undang di Malaysia dan hukuman tegas serta sewajarnya harus diberikan sebagai pengajaran.

Menurut fakta kes, tertuduh didapati aktif menyampaikan dakyahnya melalui beberapa platform media sosial antaranya Facebook dan Telegram.

Media pada 4 Oktober lalu melaporkan Idris mengaku di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh semua rasul dan menganggap sudah mencapai darjat yang tinggi sehingga tidak perlu beribadat.

Ajaran yang dikenali sebagai Ajaran Cahaya banyak disebar menerusi media sosial yang mana ahlinya di aplikasi Telegram mencecah 5,000 orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan