Imigresen berjaya menahan 72 GRO dalam serbuan pusat hiburan terkemuka

Gagal lari ikut laluan tikus, 72 GRO dicekup
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
JIM menyerbu pusat hiburan terkemuka di ibu kota dan menahan 89 individu warga asing.
JIM menyerbu pusat hiburan terkemuka di ibu kota dan menahan 89 individu warga asing.
Kuala Lumpur: Helah seorang lelaki kononnya cuba mengejar individu yang mencuri telefon pintarnya ketika serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah pusat hiburan di sini awal pagi tadi tidak menjadi selepas pemeriksaan mendapati dia sebenarnya menjadi penunjuk laluan tikus kepada gadis pelayan warga asing yang cuba melarikan.

Pusat hiburan terbabit dikesan menyediakan gadis pelayan warga asing selain terdapat beberapa kalungan bunga bernilai antara RM100 hingga RM5,000.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan menerusi Ops Gegar #KLStrikeForce dijalankan pihaknya susulan aduan diterima masyarakat awam.

Beliau berkata, maklumat orang ramai serta risikan dijalankan mendapati terdapat kegiatan tidak bermoral yang dijalankan di pusat hiburan ini selain tindakan menggajikan pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Susulan itu, operasi bermula kira-kira jam 12.45 tengah malam dijalankan membabitkan 29 pegawai Imigresen Kuala Lumpur.

"Seramai 215 individu terdiri daripada pelanggan serta pekerja premis diperiksa dalam operasi ini," katanya pada sidang media selepas tamat operasi, hari ini.

Katanya, susulan itu seramai 89 individu terdiri daripada warga asing dan tempatan berusia 23 hingga 58 tahun ditahan.

"Mereka terdiri daripada 61 wanita warga Thailand, 10 warga Vietnam dan seorang warga Laos, enam lelaki Bangladesh dan dua lelaki China manakala warga tempatan terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita.

"Tindakan diambil membabitkan kesalahan tidak mempunyai permit sah, salah guna permit, tinggal lebih masa serta dipercayai melindungi Pati," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat warga asing yang ditahan dipercayai memasuki negara ini sebagai pelancong.

"Kesalahan ketara dikesan membabitkan salah guna pas, mereka memasuki Malaysia kononnya untuk melancong namun akhirnya didapati bekerja secara tidak sah.

"Siasatan awal terhadap individu warga tempatan ini dipercayai mereka ini bekerja sebagai penjaga dan pengurus premis," katanya.

Wan Mohammed Saupee berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

"Tindakan ke atas warga asing mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana pas tamat tempoh dan tinggal lebih masa.

"Individu tempatan yang ditahan diambil tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E akta yang sama kerana melindungi pendatang tanpa izin," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan