Isteri panjat bonet kereta, halang suami lari dengan skandal

KOSMO!
Rakaman CCTV menunjukkan Bee berpaut pada bonet kereta suaminya. - Channel 7
BANGKOK – Seorang wanita di wilayah Phatthalung bermati-matian berpaut pada kereta suaminya sejauh 6 kilometer sebelum dibelasah lelaki itu dan ditinggalkan di tepi jalan, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Tindakan itu dilakukan dalam usaha terdesak wanita berkenaan untuk menghalang si suami melarikan diri bersama perempuan simpanannya.

Dalam kejadian di jalan Aphai Borrirak, Bee, 48, mengalami kecederaan serius selepas terjatuh dari bonet kereta dan dibelasah suaminya.

Menurut Bee, dia mendapat tahu bahawa suaminya makan di sebuah bar bersama seorang wanita sebelum dia pergi ke situ untuk bersemuka dengan mereka. 

Selepas bertengkar, Bee cuba menghalang suaminya daripada meninggalkannya dengan berpaut pada bonet kereta.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan insiden itu berlaku ketika hujan.

Si suami tidak mengendahkan Bee dan terus memandu sejauh 6 kilometer sebelum dia memberhentikan kenderaannya.

Dia kemudian membelasah Bee di tepi jalan dan meninggalkan wanita itu.

Selepas polis tiba, Bee dihantar ke sebuah hospital untuk menerima rawatan dan dia dinasihatkan supaya mengambil tindakan undang-undang ke atas suaminya. 

Setakat ini, tiada butiran lanjut mengenai sama ada Bee sudah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut. – AGENSI 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan