Dr Shahrul Azman Abd Razak
bhrencana@bh.com.my
Pemberian pencen kepada ahli Parlimen terus menjadi polemik, terutama ketika masyarakat menghadapi peningkatan kos sara hidup dan tekanan kewangan negara membebankan.
Justeru ada mempersoalkan sejauh mana kerelevanan ahli Parlimen menikmati pelbagai keistimewaan, termasuk elaun, kemudahan dan pencen seumur hidup walaupun hanya berkhidmat sepenggal dalam landskap ekonomi mencabar dan dilihat dalam konteks keadilan sosial.
Penyokong sistem pencen berpendapat ia ganjaran wajar kepada ahli Parlimen atas peranan penting menggubal dasar, mengawasi pentadbiran negara dan memperjuangkan keperluan rakyat.
Sebagai wakil rakyat, mereka menghadapi tekanan besar, termasuk risiko politik dan kehilangan sokongan awam. Di Australia dan Kanada, pencen turut diberikan kepada ahli Parlimen sebagai insentif menarik individu berkaliber ke dalam politik.
Di negara ini, pencen dianggap menjaga kebajikan ahli Parlimen selepas tamat perkhidmatan, terutama individu tidak memiliki sumber pendapatan lain. Namun, ramai mempertikaikan sama ada sumbangan sepenggal cukup melayakkan mereka menerima pencen seumur hidup.
Pada masa sama, kos kewangan pemberian pencen menjadi kebimbangan utama. Dengan 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan tambahan senator di Dewan Negara, jumlah penerima pencen dijangka meningkat.
Pada 2024, perbelanjaan pencen sektor awam dianggarkan mencecah RM32 bilion, meningkat daripada RM30.5 bilion pada tahun sebelumnya. Ini menambah beban fiskal negara kini mencatatkan hutang RM1.5 trilion atau 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ketidakseimbangan antara ahli Parlimen dengan penjawat awam dalam soal kelayakan pencen menimbulkan persoalan besar mengenai keadilan, terutama dalam konteks tanggungjawab dan tempoh perkhidmatan.
Menurut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, mereka hanya perlu berkhidmat 36 bulan untuk layak menerima pencen seumur hidup selepas tamat perkhidmatan.
Penjawat awam pula perlu bekerja sekurang-kurangnya 20 hingga 30 tahun untuk mencapai kelayakan pencen penuh, walaupun terbabit secara langsung dalam pelaksanaan dasar dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Ini mencerminkan ketidakseimbangan sukar diterima rakyat, terutama apabila penjawat awam dan pekerja biasa bergelut memenuhi keperluan asas, manakala ahli Parlimen menikmati faedah pencen meskipun tempoh perkhidmatan jauh lebih singkat.
Bekas ahli Parlimen juga masih berpeluang memperoleh pendapatan tambahan melalui jawatan seperti ahli lembaga pengarah, penasihat korporat atau tokoh politik, menjadikan pencen sebagai faedah tambahan melebihi keperluan.
Pencen ahli Parlimen juga membuka ruang kepada penyalahgunaan, menimbulkan persoalan mengenai keadilan dan keberkesanan. Contohnya, terdapat kemungkinan individu bertanding hanya untuk memenuhi tempoh minimum 36 bulan demi melayakkan diri menerima pencen seumur hidup tanpa komitmen kepada tanggungjawab jangka panjang.
Lebih membimbangkan, ahli Parlimen jarang hadir di persidangan Dewan Rakyat atau tidak menyumbang kepada perbahasan tetap layak menerima pencen penuh.
Dalam kes tertentu, ahli parlimen terbabit dalam skandal atau salah laku tidak terhalang menerima pencen kerana tiada peraturan menggugurkan faedah berkenaan atas dasar etika.
Justeru, beberapa cadangan dikemukakan untuk memastikan sistem pencen lebih adil dan mampan, termasuk memperkenal sistem pencen berasaskan merit. Hanya ahli Parlimen menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan layak menerima pencen.
Penilaian boleh dilakukan berdasarkan kehadiran dalam persidangan, sumbangan berkualiti dalam perbahasan dan keberkesanan inisiatif membawa manfaat kepada rakyat. Misalnya, rekod kehadiran rasmi boleh menjadi petunjuk utama, dengan kadar minimum seperti 80 peratus.
Bagi sumbangan dalam perbahasan, kriteria seperti bilangan ucapan, soalan dikemukakan dan ketepatan fakta dianalisis melalui laporan hansard boleh digunakan.
Panel bebas daripada pakar politik dan ekonomi juga boleh menilai kualiti hujah berdasarkan kesesuaian isu dibawa dan impak cadangan. Keberkesanan inisiatif dapat diukur melalui projek pembangunan komuniti, peruntukan kawasan atau program kebajikan dilaksanakan.
Tinjauan kepuasan masyarakat dan rekod rasmi hasil inisiatif, seperti pengurangan masalah setempat, turut menjadi petunjuk penting.
Penilaian keberkesanan ini memerlukan sistem pemantauan berpusat untuk merekod data prestasi dan menghasilkan laporan tahunan boleh diakses umum.
Bagi memastikan integriti dan kebebasan proses penilaian, jawatankuasa penilaian bebas perlu diwujudkan dianggotai ahli tidak memegang sebarang jawatan politik atau berkaitan langsung dengan mana-mana parti politik.
Ahli jawatankuasa boleh dilantik dalam kalangan profesional berpengalaman dalam tadbir urus, ekonomi dan undang-undang seperti wakil badan akademik, organisasi masyarakat sivil dan institusi bebas diiktiraf.
Mekanisme pemantauan seperti audit luaran atau pemantauan oleh badan antarabangsa dapat diperkenalkan untuk mengurangkan risiko berat sebelah. Dengan sistem pemberat seperti kehadiran sebanyak 30 peratus; kualiti sumbangan (40 peratus) dan keberkesanan inisiatif (30 peratus), skor keseluruhan dapat menentukan kelayakan pencen berasaskan merit secara objektif dan telus.
Tempoh perkhidmatan minimum untuk layak menerima pencen perlu dinaikkan daripada sepenggal kepada dua atau tiga penggal. Langkah ini memastikan hanya ahli Parlimen benar-benar komited kepada khidmat awam dan menyumbang secara konsisten kepada pembangunan negara diberi ganjaran pencen.
Dalam sektor lain, pekerja perlu berkhidmat beberapa dekad untuk layak menerima pencen dan prinsip ini wajar diterapkan kepada ahli Parlimen untuk menjamin kesaksamaan.
Alternatif lain adalah menggantikan sistem pencen dengan skim simpanan persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan ahli Parlimen menyumbang kepada dana persaraan sepanjang tempoh perkhidmatan.
Ini mengurangkan beban kewangan kepada dana awam dan mencerminkan kebertanggungjawaban ahli Parlimen terhadap kebajikan kewangan mereka selepas bersara.
Skim ini juga lebih serasi dengan amalan sektor swasta, menjadikannya lebih adil dan mampan untuk jangka panjang.
Dengan melaksanakan reformasi ini, sistem pencen ahli Parlimen dapat dirombak menjadi lebih adil, telus dan selaras dengan kehendak rakyat, sekali gus mengembalikan kepercayaan kepada institusi politik negara.
Penulis ialah Penyelidik dan Perunding Kewangan Islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan