KDA FC dipersoal guna ‘influencer’ pondan buat promosi, Buat malu orang Kedah

Harapandaily

Tindakan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang menggunakan seorang pempengaruh lelaki berpewatakan wanita untuk menguar-uarkan tentang perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, mengundang kontroversi dan kritikan ramai.

Difahamkan, KDA FC cuba membuat promosi menggalakkan peminat sukan bola sepak dalam kalangan wanita untuk hadir ke Stadium Darul Aman, Kedah bagi aksi Piala Malaysia nanti.

Bagaimanapun tindakan pihak itu melantik pempengaruh lelaki untuk membawa watak lembut dan berpakaian seperti wanita hanya mencalar nama baik pasukan bola sepak tersebut.

Video berdurasi dua minit itu dilaporkan telah dimuat naik sendiri oleh KDA FC.

Klip itu telah dipadam hanya selepas beberapa minit dimuat naik terutama setelah pengguna media sosial mempersoalkan pendirian pihak pengurusan kelab dalam mempromosikan inisiatif terbabit.

Memalukan orang Kedah

Perkara ini turut menarik perhatian Ketua Pemuda AMANAH Kuala Kedah, Fadli Hussin yang menganggap tindakan tersebut sebagai “memalukan orang Kedah”.

Beliau dalam satu kenyataan menuntut segera penjelasan daripada KDA FC kerana promosi sedemikian adalah satu penghinaan terhadap wanita di Kedah.

“Konten ini sangat tidak bersesuian dengan penggunaan bahasa, gaya penyampaian atau bahan promosi yang dilihat kurang sopan, tidak sensitif dan bertentangan dengan nilai budaya di Kedah serta penerimaan peminat bola sepak tempatan.

“Bola sepak adalah sukan sihat yang bermanfaat, jangan tunjukkan keburukan yang boleh menjadi ikutan masyarakat terutamanya kanak-kanak,” katanya.

Fadli berkata, beliau khuatir kerana reputasi dan imej profesional pasukan bola sepak Kedah boleh mempengaruhi keyakinan penaja dan pelabur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan