Kelantan: Saya yakin mereka ini bukan generasi yang lahir dan membesar semasa negeri dibawah kepimpinan ulama

80 peratus kaki disko Genting Hotel Golok orang Kelantan

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Pintu masuk Genting Discotheque yang terletak bersebelahan Genting Hotel, Sungai Golok. FOTO MUHAMMAD AYMAN GHAFFA/ KOSMO!
SUNGAI GOLOK, THAILAND – Kira-kira 80 peratus daripada 300 pengunjung kelab malam Genting Discotheque kendalian Genting Hotel di sini pada malam Jumaat dan Sabtu setiap minggu merupakan rakyat Malaysia khususnya Kelantan.

Pengarah Urusan Genting Hotel, Sompoch Hongkittiyanonta berkata, kebanyakan golongan muda dari negeri Cik Siti Wan Kembang akan menginap dan berhibur di kelab malam di sini.

Menurutnya, Genting Discotheque merupakan kelab malam paling selamat di Sungai Golok kerana pihak pengurusan sentiasa membuat pemeriksaan ke atas semua pengunjung yang datang untuk berhibur.

“Pengunjung yang datang untuk berhibur mestilah berusia 20 tahun ke atas. Dadah juga dilarang untuk dibawa masuk semasa mereka berhibur di sini. Kelab malam ini juga sering dipantau oleh polis tempatan.

“Genting Discotheque mampu memuatkan seramai 300 pelanggan dalam satu-satu masa terutama pada malam minggu. Hampir 80 peratus pengunjung berhibur di sini datang dari Malaysia khususnya Kelantan,” katanya ketika ditemui di Genting Hotel semalam.

Sompoch memberitahu, pihaknya menyediakan lokar atau almari yang boleh dikunci di pintu masuk kelab malam itu untuk menyimpan senjata api milik pengunjung.

Menurutnya, ada juga polis dan pegawai kerajaan yang mempunyai lesen untuk memiliki pistol atau senjata api datang untuk berhibur di kelab malam hotel itu.

“Oleh itu, kita menyediakan lokar untuk penyimpanan kerana senjata api tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke Genting Discotheque.

“Kelab malam ini dibuka bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi. Tiket untuk masuk ke sini adalah 350 Bath atau RM35 beserta segelas air percuma.

“Perlu diingatkan, pelanggan yang berusia 20 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk. Jadi, tidak benar ada dakwaan yang mengatakan pelajar sekolah datang untuk berhibur di sini,” katanya.

Difahamkan, kelab malam di Genting Hotel merupakan antara tiga buah pub yang popular di Sungai Golok selain Marina Hotel dan Riviera.

Selain itu, terdapat puluhan pub-pub kecil yang sering menjadi tumpuan pelancong untuk berhibur di sekitar pekan Sungai Golok. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan