Kontrak 5G dikaitkan dengan Agong, Perkasa lapor polis

Haspaizi Zain

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) membuat laporan polis berkaitan laporan media bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mempunyai saham dalam U Mobile yang dilantik sebagai pengendali rangkaian 5G kedua.

Presiden kumpulan pendesak Melayu itu Syed Hasan Syed Ali berkata dia membuat laporan polis kerana “rakyat agak keliru sama ada berita ini berita benar ataupun palsu”.

"Bila dikaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan sebuah syarikat, (dilaporkan) mempunyai saham 22 peratus dalam U Mobile ini, rakyat agak keliru sama ada berita ini berita benar ataupun palsu.

"Sebab rakyat mengetahui Raja-raja Melayu tidak boleh terbabit dengan perniagaan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan (Persekutuan),” katanya.

Dia berkata demikian selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

Perkara 34(3) Perlembagaan Persekutuan (bawah) menyebut Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.

Terdahulu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjelaskan pemilihan itu dibuat melalui proses teliti, merangkumi perbincangan terperinci mengenai aspek teknikal dan komersial.

Menurut rekod Suruhanjaya Syarikat setakat 4 November, Sultan Ibrahim ialah pemegang saham kedua terbesar U Mobile dengan 22.3 peratus kepentingan.

Pemegang saham terbesar ialah Straits Mobile Investments Pte Ltd dengan 48.3 peratus kepentingan.
Straits Mobile Investments ialah milik penuh syarikat pelaburan Singapura, Temasek Holdings.

Susulan pengumuman SKMM Jumaat lepas, U Mobile mengumumkan akan mengurangkan pegangan saham asing kepada 20 peratus.

Sementara itu, Syed Hasan berkata tidak mungkin Sultan Ibrahim terlibat dalam perniagaan kerana baginda terkenal tegas dalam soal tatakelola dan integriti.

Syed Hasan berkata dia membuat laporan polis itu supaya pihak berkuasa menyiasat daripada sumber mana media mengaitkan pemilikan saham U Mobile dengan Agong.

"Jadi, saya minta pihak polis menyiasatlah kerana ini membabitkan batang tubuh Yang di-Pertuan Agong.

“Jika (laporan media) tidak betul, ini satu penghinaan, satu fitnah kepada Raja-raja Melayu. 

“Itu yang saya bimbang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan