Majlis 39 tahun peringati Memali esok tak jemput Tun Mahathir ke?

Ketua Penasihat SG4 patut rasmi majlis 39 tahun peringati Memali esok
Harapandaily

Dewan Pemuda Pas Kedah menganjurkan program 39 tahun Memperingati Peristiwa Memali dan Solidariti Palestin esok.

Bertempat di Madrasah Islahiah Diniah, Kampung Memali di Baling, warganet secara sinis mencadangkan agar Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan program itu.

Menerusi poster tersebar, program yang bermula dengan kuliah duha itu turut diisi pertandingan mewarna dan menunggang motosikal.

Slot kuliah muslimat juga mengisi tentatif program sebelum diakhiri dengan solat Maghrib dan Tahlil Perdana.

Tragedi pada 19 November 1985 yang meragut 18 nyawa termasuk empat anggota polis itu pernah didakwa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berpunca daripada ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada 1981.

Bahkan, Tun Mahathir juga mendakwa, ‘Amanat Haji Hadi’ menjadi punca berlakunya peristiwa hitam terbabit dengan membunuh pegawai kerajaan yang disifatkan sebagai kafir.

Menurut Mahathir, ‘Amanat Haji Hadi’ menyuruh orang Pas supaya membunuh pegawai kerajaan, kononnya kerajaan kafir dan sebab itu dia menentang kerajaan kafir.

“Kononnya orang dia (Pas) yang mati dalam melawan kerajaan kafir ini akan mati syahid. Tragedi di Memali, mereka menembak mati empat orang polis dan selepas itu baru polis membalas balik dan mereka mati juga seramai 14 orang. Bukan mati syahid, mati katak,” kata Mahathir, dipetik BH pada 3 Mei 2018.

Rata-rata netizen turut menempelak Pas yang disifatkan tidak sudah-sudah ‘menunggang’ peristiwa berdarah Memali yang menyaksikan pertempuran anggota keselamatan dengan penduduk kampung dan pengikut Ibrahim Libya.

Akibat peristiwa tragis itu juga, berpuluh-puluh lain cedera serta beratus-ratus individu ditahan.

“Ini sajalah kelebihan Pas. Dah jadi kerajaan di empat negeri pun masih begini. Bab ekonomi, sosial, maslahat rakyat dan seumpamanya ke laut. Akhirnya, salahkan kerajaan pusat, minta duit dengan Putrajaya, tak dapat meroyan! Anak muda pula pergi kerja di negeri lawan, tapi tetap sombong puak ni.

“Ironi sekali, buat pertandingan mewarna dalam acara peringatan pembunuhan.

“Memperingati Memali tapi masa yang sama mengagungkan Tun Mahathir yang mengatakan orang Memali tu mati katak. Tidakkah hipokrit di situ?” demikian antara komentar warga maya di media sosial.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan