Pegawai dirakam tumbuk pelancong asing, jerit ‘sial’ di NTL

B Nantha Kumar

Tahun lalu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, menerjah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang susulan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa yang memangsakan pelancong asing.

Namun, selepas lebih setahun nampaknya keadaan seperti tiada apa-apa yang berubah.

Malaysiakini menerima beberapa klip video daripada seorang pelancong yang ditolak daripada memasuki negara ini atau berstatus not to land (NTL) berkaitan layanan kasar terhadap golongan terbabit, termasuk ditumbuk.

Dalam klip video tiga saat yang dipercayai diambil pada 11 Nov lalu, seorang pegawai dilihat menumbuk muka seorang warga asing atas sebab yang tidak pasti sebelum mangsa dimita pergi ke suatu tempat seperti bilik.

Dalam satu lagi video- juga tiga saat - pegawai sama menjerit "Ingat aku kuli, sial!" kepada warga asing yang berada di situ.

Sementara video ketiga sepanjang 22 saat menunjukkan keadaan di NTL yang sesak dan terdapat pelancong asing duduk serta berbaring di lantai.

Ruang NTL dikendalikan oleh syarikat swasta, Mono Circle Sdn Bhd (Mono Circle), sejak 2015.

Menurut Malaysia Airlines Holdings Bhd (MAHB), pengendalian penumpang NTL atas pelbagai sebab termasuk isu pasport, visa, sejarah jenayah dan kebimbangan keselamatan, terletak bawah syarikat penerbangan masing-masing dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata kerajaan memutuskan bahawa syarikat penerbangan mesti menguruskan sendiri pelancong yang dinafikan masuk ke Malaysia.

Katanya, keputusan itu selaras dengan peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan Akta Imigresen Malaysia.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Menteri Pengangkutan, JIM dan sebuah syarikat penerbangan, tetapi tiada maklum balas diterima setakat ini.

Portal ini juga sedang cuba menghubungi Mono Circle.

Masalah bahasa jadi punca

Sementara itu, seorang pelancong asing yang pernah bermalam di NTL memberitahu Malaysiakini, insiden kekasaran melibatkan pegawai bertugas di situ adalah perkara biasa.

"Pada kebanyakan masa, isu bahasa menjadi punca insiden sebegini. Pegawai-pegawai ini beri arahan dan warga asing tidak faham.

"Maka, berlakulah insiden tolak, pukul, menggunakan kata-kata kesat.

"Kalau boleh 'bersihkan' NTL ini," katanya.

Tiong sebelum ini berkata dia telah melobi supaya penterjemah untuk warga asing dari Timur Tengah, China dan India disediakan di KLIA bagi memudahkan urusan.

Namun, menurutnya, JIM menolak penterjemah yang telah pun disediakan oleh MAHB.

Dalam insiden tular melibatkan Tiong tahun lalu, dia menerjah Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA dan membebaskan pelawat China yang ditahan JIM.

Tiong menjelaskan dia bertindak demikian bagi membongkar peristiwa memalukan, termasuk wujudnya budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang kronik.

Menteri itu berkata menjadi isu biasa warga asing yang tiba di Malaysia dirampas telefon bimbit dan ditahan tanpa alasan.

Dalam insiden melibatkannya, Tiong berkata, wanita yang ditahan diberi makan sekali saja sepanjang ditahan dalam tempoh 15 jam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan