Rampas telefon bimbit pelanggan, larikan mesin juruwang

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
KEJADIAN samun bersenjata di sebuah premis menjual aiskrim yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca.
KEJADIAN samun bersenjata di sebuah premis menjual aiskrim yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca.
Shah Alam: Bukan sekadar merampas telefon bimbit pelanggan malah dua penjenayah turut melarikan sebuah mesin juruwang sebuah premis di Jalan Besar Pandamaran, Kawasan 12, Pelabuhan Klang dekat sini, 23 Oktober lalu.

Itu antara situasi yang berlaku dalam kejadian samun bersenjata yang tular di media sosial menerusi dua video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 40 dan 59 saat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa jam 9.01, malam hari sama.

Menurutnya, mangsa adalah seorang warga tempatan berusia 16 tahun yang bekerja sebagai juruwang di sebuah premis menjual aiskrim di lokasi berkenaan.

"Siasatan mendapati, dalam kejadian samun itu, mangsa didatangi oleh dua suspek lelaki yang bersenjatakan parang.

"Suspek pertama menolak pelanggan yang berada di dalam premis, lalu merampas dua telefon bimbit milik mereka.

"Sementara, seorang lagi membawa sebilah parang dan menetak wayar mesin wang sehingga putus sebelum mengambil mesin wang dan melarikan diri dengan jenis Perodua Iriz berwarna biru," katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata, bertindak atas maklumat, polis menangkap seorang suspek lelaki berusia 46 tahun di sebuah rumah di Jalan Jagung kira-kira jam 12.15 tengah, keesokan harinya.

"Polis turut dirampas pakaian serta parang digunakan semasa kejadian samun itu. Semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod lampau," katanya.

Beliau berkata, suspek sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Klang pada 30 Oktober lalu.

"Suspek sudah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dengan hukuman berjalan serentak.

"Polis sedang memburu seorang lagi suspek yang terbabit dalam kejadian samun bersenjata itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan