Skandal NAFAS Siapa sebenarnya individu terlibat?

Siapa sebenarnya individu terlibat skandal NAFAS? Ini respon Mat Sabu
SITI NUR ZAWANI

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak mahu menuding kepada sesiapa berhubung skandal salah guna kuasa dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Dalam Dewan Rakyat hari ini, Mohamad memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan.

“Soal orang itu, orang ini (didakwa) terlibat dalam penyelewengan…sekarang ia di peringkat penyiasatan dan SPRM telah masuk.

“Kita tak mahu menuduh, ‘pin point’ kepada sesiapa. Sama ada bekas menteri, bekas timbalan menteri ke, atau menteri sekarang ke, jangan tuduh menuduh.

“Yang penting kita minta SPRM siasat dan beri kerjasama. Laporan atau pendakwaan mereka kita harap tidaklah mengatakan ianya berlaku pendakwaan terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri hari ini.

Senentara itu Mohamad berkata, kontroversi dan masalah yang melanda NAFAS juga pernah berlaku dalam agensi kerajaan lain sebelum ini dan selepas bantuan daripada kerajaan seperti `bailout’, agensi terbabit kembali berjaya sehingga ke hari ini.

Beliau memberikan contoh bagaimana kerajaan sebelum ini pernah membantu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia yang sebelum ini pernah berdepan masalah, namun ketika ini menjadi antara institusi bank terbaik di negara ini.

“Nafas pun selepas ini akan bernafas semula dan berada pada landasan terbaik, insya-Allah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan