Skandal rasuah: Umno Sabah nafi dalang dedah kes Adun bincang rasuah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Umno Sabah menafikan dakwaan menjadi dalang di sebalik pendedahan skandal rasuah berkait lesen projek membabitkan beberapa Adun di negeri itu.

Ketua Umno Beaufort, Awang Aslee Lakat, berkata tindakan sesetengah pihak mengaitkan penglibatan Umno dalam pendedahan skandal itu tidak wajar.

Katanya, ia adalah sekadar perkongsian biasa dan tidak menyentuh mana-mana pihak sekiranya ada mana-mana ahli Umno berkongsi mengenai pendedahan itu yang dilaporkan sebuah portal berita.

“Justeru, kenapa ada pihak mengaitkan Umno sebagai dalang kepada isu rasuah ini,” katanya dalam kenyataan, menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, jika dakwaan rasuah itu benar, ia seharusnya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan menyeluruh.

“Jika benar ia melibatkan pemimpin di negeri ini dan ada laporan dibuat, saya percaya pihak berkuasa akan menyiasat serta mengherat mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Jadi, kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan dan memandang serius isu ini,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita mendedahkan rakaman audio mengaitkan beberapa Adun yang didakwa terlibat rasuah bernilai ratusan ribu ringgit sebagai balasan untuk mendapatkan projek.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga sedia memberi kerjasama khususnya kepada SPRM untuk menyiasat kes itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan