Suami isteri maut dirempuh pemandu mabuk

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
MOTOSIKAL dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Polis
MOTOSIKAL dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Polis
Pasir Gudang: Suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta, yang dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol di simpang empat berlampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian 4 pagi itu membabitkan motosikal Honda Vario yang dinaiki pasangan itu, dengan Perodua Alza.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta berkenaan dari arah Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

"Sampai di lokasi kejadian iaitu simpang empat berlampu isyarat, pemandu kereta itu meneruskan perjalanan dalam keadaan lampu isyarat merah menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

"Pada masa sama, motosikal pasangan terbabit meneruskan perjalanan menghala ke Bandar Pasir Gudang, sebelum berlaku pelanggaran.

"Akibat pelanggaran, penunggang iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun dan pembonceng iaitu wanita berusia 35 tahun cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi, pemandu kereta berkenaan iaitu lelaki berusia 34 tahun ditahan kerana dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan.

"Ujian air kencing juga dilakukan, namun pemandu terbabit bebas daripada sebarang jenis dadah. Siasatan masih lagi diteruskan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan