Tiga pekerja maut gudang runtuh, syarikat pembinaan didenda RM50,000

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Balik Pulau: Syarikat pembinaan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana gagal bagi memastikan kewajipannya, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memaklumkan syarikat, Rexallent Construction Sdn Bhd yang diwakili peguam, Lim Sze Han, mengaku bersalah atas dakwaan itu di hadapan Hakim Tuan Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Menurut JKKP, kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Syarikat berkenaan mengaku bersalah kerana sebagai majikan, gagal memastikan kewajipan mereka, sejauh mana yang boleh dipraktikkan, terhadap keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerja semasa bekerja.

Syarikat terbabit juga gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja konkrit di atas rasuk (beam) dan slab sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada tiga pekerjanya.

Kenyataan itu memaklumkan, kemalangan terbabit dilapor berlaku pada 28 November tahun lalu.

Dalam kejadian itu, tiga pekerja yang bekerja di tapak pembinaan gudang di Batu Maung di sini, maut dan mayat ditemukan di bawah runtuhan binaan gudang berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan