Noor Atiqah Sulaiman
nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa terdapat usaha untuk menarik partinya keluar daripada Kerajaan Perpaduan, seterusnya mengangkat individu daripada BN sebagai Perdana Menteri.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, cara itu antara pelbagai usaha dilakukan oleh pembangkang untuk menjadi kerajaan semula.
"Minggu lalu, ada Ahli Parlimen mereka datang berjumpa dengan saya dan menawarkan sesuatu iaitu mahu membentuk kerajaan baharu di bawah panji-panji Kerajaan Perpaduan.
"Mereka mahu masuk semula (kerajaan) dan minta (diberikan jawatan) empat menteri.
"Ada juga yang tawarkan kononnya mahu menggantikan kerajaan sedia ada dan melontarkan (menjadikan) kita sebagai Perdana Menteri.
"Tapi saya secara tegas cakap jangan buang masa dan marilah kita perkukuhkan Kerajaan Perpaduan sedia ada," katanya ketika berucap sempena Konvensyen BN Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau secara tegas menolak cadangan berkenaan kerana tidak mahu mengkhianati kawan.
"Jawapan saya tegas, sebab saya tidak pernah untuk khianati kawan. Itu pegangan saya, meskipun ramai kawan saya dulu khianati saya.
"Dalam politik ini, kita jangan naik dengan memijak orang lain. Naiklah sekiranya kita dibawa naik. Apabila kita pijak orang lain, satu hari nanti ketika kita diatas, orang pula akan memijak kita untuk turun dengan hina," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan