Wanita Indonesia maut diserang buaya

BERNAMA-dpa

JAKARTA: Seorang wanita maut diserang buaya di tepi pantai di wilayah Sumatera Utara, Indonesia.

Wanita itu maut selepas cedera parah di tangan dan kaki dan pihak berkuasa di daerah Nias Selatan terpaksa menembak mati buaya itu untuk melepaskan mangsa, menurut pegawai tempatan Kornelius Wau, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Penduduk menghadapi kesukaran untuk melepaskan mangsa daripada cengkaman buaya itu," kata Kornelius.

Mereka hanya berjaya melepaskan mangsa daripada buaya itu selepas beberapa jam.

Beliau turut menjelaskan buaya itu sudah lama berkeliaran di kawasan berkenaan dan penduduk sebelum ini melaporkan kehadiran reptilia itu.

Indonesia mencatatkan serangan buaya air masin tertinggi di dunia dengan kira-kira 1,000 insiden dalam tempoh sedekad lalu yang mengakibatkan lebih 450 kematian, menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Serangan buaya ke atas manusia di Indonesia sering dikaitkan dengan pencerobohan habitat dan kemerosotan alam sekitar. – BERNAMA-dpa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan