Akaun Che'gubard kena sekat, transaksi dibekukan bank

Mohd Amin Jalil
bhnews@bh.com.my
CHE’GUBARD (tengah), gambar fail. FOTO NSTP
CHE’GUBARD (tengah), gambar fail. FOTO NSTP
Seremban: Akaun bank Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Che'gubard disekat kerana transaksi deposit yang disyaki ada kaitan aktiviti pengganas.

Berkongsi perkembangan itu, Badrul Hisham berkata, beliau menyedari sekatan ke atas akaunnya selepas ia tidak boleh diakses.

"Malam ini akan hadir himpunan dan ceramah Palestin anjuran Pas Johor. Seperti biasa asingkan duit minyak dan tol siap-siap. Tiba-tiba nak top up (tambah nilai) Touch & Go utk RFID melalui maybank2u tak boleh, katanya transaction limit (transaksi dihadkan).

"Takkanlah dengan baki RM619 boleh limit. Fikir maybe problem apps (mungkin masalah aplikasi). Lepas kira duit minyak, tol, teringat bill Maxis tak bayar dan kebetulan ada baki cash (tunai), bayarlah dulu sebab lepas due date bill (bil lepas tempoh pembayaran) dah," katanya

Beliau yang mengesahkan kepada BH hantaran di Facebooknya (FB) mengenai kejadian itu, berkata ketika cuba membayar bil telefon, ada notis mengenai akaun bank miliknya tidak boleh diakses.

Badrul Hisham menghubungi pihak bank yang kemudian memintanya berurusan di cawangan bank itu yang terdekat sebelum pemeriksaan mendapati baki akaunnya daripada RM619 bertambah menjadi RM1,979.

"Dari baki RM619 dah jadi RM1,979. Ada banyak kemasukan kecil kecil," katanya menambah ia menyebabkan pihak bank menganggap ada aktiviti pengganas menyalah guna akaun berkenaan.

Di ruangan komen kemudian, beliau memaklumkan perkara sama dan mengakui sangat terkejut apabila mengetahui transaksi deposit yang cuba dimasukkan sejak tengah malam tadi mencecah RM268,000, tetapi tidak berjaya kerana transaksi dibekukan pihak bank.

"Kepada semua, saya amat hargai dan ini jadi kekuatan terus berjuang. Namun jumlah yang lepas masuk (ke dalam akaun) hanya RM1,390. Saya minta izin tuan puan semua untuk saya panjangkan derma sedekah tuan puan sebagai sumbangan Ramadan nanti," katanya.

Terdahulu, Che Gubard dalam hantaran di FB semalam, mengiklankan kereta Toyota Hilux milknya untuk dijual bagi menampung keperluan kewangan sebagai aktivis dan membayar hutang-hutang kecil.

Katanya, walaupun kenderaan itu penting untuknya bergerak, keputusan menjual dibuat kerana beliau melihatnya sebagai jalan terbaik dalam meneruskan perjuangan selepas usaha mendapatkan bantuan daripada beberapa pemimpin tidak mendapat maklum balas.

"Saya sudah merujuk kepada beberapa pemimpin, namun tiada respons. Saya juga cuba meminjam, namun tak dapat. Mungkin semua pun tengah susah. Kita pilih jalan ini, tak ada sesiapa paksa, maka memang sunnah berjuang itu susah dan payah.

"Maka jalan segera terpaksa menjual kereta untuk menampung. RM7K tambah RM15K (RM7,000 tambah RM15,000) untuk urusan mahkamah dan peguam.

"Untuk kehidupan saya dan keluarga, jujurnya memang terhimpit, tapi insya-Allah saya kerja dan berniaga. Siapa nak sokong jangan sumbang duit, saya masih mampu kerja, terbaharu saya berniaga sambal sambil buat beberapa kerja," katanya.

Beliau ketika ini berdepan tindakan saman difailkan Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kader Jilani.

Media pada 17 Februari lalu melaporkan, Abdul Wahab menuntut ganti rugi RM5 juta serta permohonan maaf selama 30 hari berturut-turut daripada Badrul Hisham atas dakwaan memfitnah.

Ia susulan dakwaan bahawa Che'gubard, 46, menyiarkan video menerusi FB rasminya kononnya Abdul Wahab berbual lucah dengan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Dr Mohammad Agus Yusoff yang bertujuan menunjukkan pembabitan aktiviti tidak bermoral atau homoseksual.

Selain Mahiaddin, ini 3 ahli politik bagi alasan menggelikan hati demi pelepasan pasport

SITI NUR ZAWANI

8 Februari lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan bekas perdana menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin untuk mendapatkan pasport miliknya bagi melawat rakan perniagaan dan menghadiri perasmian restoran halal di Bangkok, Thailand.

Keputusan itu menarik perhatian warganet yang menyifatkan alasan diberikan agak menggelikan hati.

Malah ada yang menjadikan berita itu sebagai bahan lawak.

Mahkamah Rayuan pada 15 Jun lalu membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkannya melawat anaknya, Nooryana Najwa Mohd Najib dan keluarga di Singapura.

Anak perempuannya itu dilaporkan menetap di Singapura selepas berkahwin dengan warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbaye.

Itu merupaan kali ketiga Rosmah diberi kebenaran sementara mendapatkan pasport antarabangsanya untuk ke Singapura.

Kali pertama beliau mendapat pelepasan sementara itu pada 15 Oktober 2021 untuk melawat Nooryana yang melahirkan anak keduanya..

Kali kedua pada 21 Mac, untuk melawat anak dan cucunya yang tidak sihat.

Rosmah ketika itu sedang menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

2. Najib Razak mahu lihat cucu lahir

Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan semula pasportnya bagi kegunaan sementara.

Ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu ke Singapura untuk melawat anak perempuannya yang ketika itu bakal melahirkan anak kedua.

Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas mendapati terdapat alasan yang munasabah.

Pada waktu itu, Najib sedang berdepan dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan selepas disabitkan bersalah dalam perbicaraan kes SRC International bernilai RM42 juta.

3. Zahid Hami, sukar laksana tugas jika tiada pasport

Mahkamah Tinggi pada 3 Februari menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya pasport antarabangsanya dikembali secara kekal, bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lancar.

Hakim membuat keputusan itu selepas menekankan Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua individu sama di sisi undang-undang dan tiada sesiapa atau golongan masyarakat yang boleh diberi keistimewaan serta melangkaui undang-undang.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelepasan sementara bagi membolehkan Presiden Umno itu untuk membuat pasport diplomatik atas urusan rasmi.

Sebelum itu, Ahmad Zahid dalam permohonannya bagi mendapatkan pelepasan pasport kekal memaklumkan beliau mengalami kekangan untuk melaksanakan tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi, Ahmad Zahid berkata, beliau dikehendaki berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport berada dalam pegangannya sendiri.

Beliau ketika itu sedang berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Menara radio 60 meter lesap dikebas pencuri

KOSMO!
Menara setinggi 60 meter hilang dari bangunan tersebut. - Getty
MONTGOMERY, ALABAMA – Sebuah stesen radio di negeri Alabama terpaksa menunda siaran selepas sebuah menara telekomunikasi setinggi 60 meter dan beberapa peralatan lain dicuri dari bangunan mereka.  

Saluran berita NBC News melaporkan, kes kecurian itu terbongkar pagi tadi selepas stesen radio WJLX menghantar beberapa kru landskap untuk melakukan pemeriksaan.

Apabila salah seorang kru menghubungi pengurus besar stesen radio, Brett Elmore, beliau seakan tidak percaya mengenai kejadian tersebut. 

“Apa maksud kamu  menara itu hilang? Adakah kamu pasti pergi ke  tempat yang betul? Kru itu berkata, terdapat banyak wayar di atas tanah dan menara itu hilang,” kata Elmore.

Setiap peralatan dari bangunan itu dicuri manakala bangunan berhampiran turut dirosakkan. Elmore telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

“Tapak itu tidak diinsuranskan. Kami hanya stesen radio kecil, tetapi kami akan kembali bersiaran secepat mungkin,” kata Elmore. – AGENSI

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof: Keputusan kes Nik Elin v DUN Kelantan: Perspektif ahli legislatif

Harapandaily

Pas seharusnya menerangkan kepada pengikutnya dan umat Islam yang terkeliru dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan terhadap petisyen Nik Elin Zurina. Adalah lebih baik Pas bersikap jujur daripada menggunakan keputusan ini sebagai bahan politik yang menjejaskan keharmonian undang-undang negara.

Ramai di kalangan Ahli Parlimen Pas dan ADUN sepatutnya mengambil peranan menjelaskan bagaimana proses perundangan dibuat dan apakah bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan yang dalam lafaz sumpah setia semua Ahli Parlimen dan ADUN berjanji untuk mempertahankan.

Pas harus akur bahawa keputusan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah (I) Kelantan (EJSK) melambangkan kelemahan badan perundangan negeri Kelantan atau Dewan Undangn Negeri (DUN) yang tanpa teliti telah meluluskan beberapa peruntukan dalam EJSK yang jelas melampaui bidang kuasa perundangannya sebagaimana yang tercatit dalam penghakiman Ketua Hakim Negara.

Pas sepatutnya mengambil semangat keputusan dengan memperbaiki proses pembikinan undang-undang jenayah syariah dengan lebih teliti dan patut menerima nasihat dengan menghormati peruntukan kuasa yang ada pada DUN di mana setiap ADUN bersumpah untuk melindungi dan mempertahankannya semasa mereka dipilih oleh rakyat.

Lebih buruk Pas telah mengelirukan pengikutnya dan sebahagian umat Islam kononnya Mahkamah Syariah terancam dan dicabar. Ada yang mengatakan bahawa undang-undang Allah dibatalkan atas kehendak golongan liberal. Ini satu pembohongan yang boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian yang menjejaskan keharmonian negara sekaligus tidak menghormati Perlembagaan.

Takzir
Hakikatnya peruntukan dalam EJSK adalah dalam kategori takzir yang bukan hudud dan qisas. Undang-undang jenayah syariah sama dengan Undang-undang Jenayah Sivil di Persekutuan dari sudut ianya adalah takzir yang difikirkan sesuai oleh negara untuk menjaga maslahah keamanan rakyat dan negeri. Bezanya ialah punca kuasa Undang2 Jenayah Syariah (kecuali Wilayah Persekutuan) diperbuat dan digubalkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
 
Takzir yang digubal oleh DUN Kelantan dibatalkan kerana DUN Kelantan telah melampaui batas kuasa yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dengan menggubal undang-undang yang bercanggah dengan peruntukan tersedia ada di peringkat Persekutuan.

Maknanya kesalahan jenayah yang dilakukan tetap terlaksana hukumannya dalam undang-undang persekutuan sebagai takzir. Bagaimana boleh dikatakan kononnya keputusan ini untuk menghapuskan undang-undang Islam? Takzir boleh dibatalkan jika undang-undang yang sama telah sedia wujud di Persekutuan bagi mengelakkan dua hukuman pada jenayah yang sama dikenakan kepada pesalah sebagai menghormati prinsip keadilan.

Peruntukan kuasa
Untuk menggubal undang-undang syariah, DUN tertakluk kuasanya yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Jadual ke 9 Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan kuasa Parlimen dan badan perundangan negeri (DUN). Ia juga tertakluk kepada kuasa yang diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Hal demikian sepatutnya dalam pengetahuan semua ADUN PAS di Dewan Undangan Negeri Kelantan khususnya Speaker Dewan yang berperanan memastikan setiap enakmen tidak melampaui kuasa yang ada padanya. Pembatalan 16 peruntukan dalam EJSK adalah kegagalan ADUN Pas Kelantan untuk meneliti kesemua 18 peruntukan yang dipertikaikan.

Rakyat Kelantan perlu persoalkan siapa ADUN yang telah meluluskan EJSK ini dan siapa Speaker Dewan Kelantan yang mengendalikan sidang DUN ketika itu dan siapa penasihat undang-undang yang dirujuk waktu itu.

DUN Kelantan gagal
Secara moral perundangannya, pembatalan 16 peruntukan dalam EJSK oleh Mahkamah Persekutuan adalah kegagalan fungsi ADUN dan Speaker. Ia sekaligus mencalarkan imej Dewan Undangan Negeri kerana tidak menghormati bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepadanya.

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9hb Feb 2024 adalah satu tamparan hebat kepada kerajaan negeri Kelantan dan betapa lemahnya kerajaan ini dalam menggubal undang-undang jenayah syariah. Negeri lain sepatutnya turut mengambil iktibar dalam keputusan ini supaya tidak lagi berlaku pelanggaran bidang kuasa di masa hadapan.

Peliknya Pas dalam hal ini menyalahkan pempetisyen, mengheret penyokong dan umat Islam yang terkeliru dengan fitnah “Mahkamah Syariah dicabar” dan terus mentakfirkan mereka yang berbeza pandangan dalam soal ini. Walhal keputusan Mahkamah Persekutuan jelas membuktikan kelemahan sendiri.

Ahli Parlimen Pas dan ADUN Pas dan semua komuniti legaslatif perlu sentiasa muhasabah diri sebagai meningkatkan peranan lebih berkesan sebagai wakil rakyat yang sebenar, jangan jadi bak kata pepatah “Buruk muka cermin dibelah”.

Memperjudikan nyawa penumpang dengan membenarkan pemandu tiada lesen memandu bas

Pemandu bas tiada lesen, perjalanan pelancong tertangguh

Pemandu yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan semalam itu memberi alasan mahu membantu syarikat abangnya yang mengalami masalah kekurangan pemandu.

Bernama
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Lokman Jamaan (kanan) menahan seorang pemandu bas persiaran yang tidak memiliki lesen memandu ketika Ops Tahun Baharu Cina (TBC) 2024 di Plaza Tol Kemuning arah Kuala Lumpur/Shah Alam semalam. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM: Perjalanan sebuah bas persiaran menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tertangguh kira-kira sejam apabila pemandunya ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Kemuning, di sini semalam kerana tidak mempunyai lesen memandu.

Pemandu lelaki berusia 33 tahun itu antara individu ditahan menerusi Ops Tahun Baharu Cina 2024 yang dijalankan pihak JPJ.

Ketika ditahan, dia sedang membawa 11 penumpang tempatan dari Bandar Puteri, Klang menuju KLIA dan memberi alasan mahu membantu syarikat bas abangnya yang mengalami masalah kekurangan pemandu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Lokman Jamaan, berkata pihaknya mengeluarkan kompaun terhadap pemandu itu dan bas berkenaan kemudian dibenarkan meneruskan perjalanan selepas pemandu gantian tiba.

“Memandu tanpa lesen ini, jika apa-apa berlaku tidak boleh buat tuntutan insurans. Bahaya… lebih-lebih lagi membawa pelancong,” katanya kepada pemberita.

Mengulas mengenai penubuhan pasukan khas khusus bagi mengendalikan kes kenderaan berat melebihi had muatan, beliau berkata sebanyak 60 sitaan dibuat sejak mula dikuatkuasakan enam bulan lepas.

“Semua kes sitaan itu sudah didakwa di mahkamah dan dalam proses untuk mendapatkan perintah lucut hak,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan melaksanakan operasi khas kenderaan berat yang melebihi had muatan fasa dua selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

Dalam pada itu, Lokman berkata setakat lapan hari Ops Tahun Baharu Cina 2024 dijalankan di seluruh negara pihaknya merekodkan 57,110 notis atas pelbagai kesalahan dengan sebanyak 243,257 kenderaan diperiksa.

“Berdasarkan analisis awal data operasi ini dalam tempoh lapan hari, kami mendapati tahap kesedaran dan pematuhan peraturan berada pada tahap rendah dan tidak memuaskan untuk keselamatan pengguna jalan raya terutamanya membabitkan kenderaan komersial,” katanya.

Kenapa ada 'dua darjat' dalam pengampunan?

Ili Aqilah

Di saat ada ahli politik yang dikurangkan hukuman walau belum sampai dua tahun di penjara, Intan Diana, 40, begitu marah apabila abangnya yang sudah meringkuk di penjara sejak 2001 belum berpeluang mendapat pertimbangan pengampunan diraja.

"Kami berasa marah. Bezanya adalah kami orang biasa. Jadi tiada orang yang melihat kes kami," keluhnya kepada Malaysiakini.

Intan berkata abangnya, yang tidak dinamakan kerana wanita itu risau kesan yang mungkin menimpa, dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan atas kesalahan berkaitan senjata api 23 tahun lalu.

Sepanjang menjalani hukuman, lelaki berusia 43 tahun itu menerima pelbagai anugerah kerana menjadi banduan contoh, serta mempelajari banyak kemahiran baru termasuk menjahit, kata Intan.

Pada 2020, pihak keluarga menulis surat kepada Lembaga Pengampunan namun tidak menerima sebarang maklum balas.

Intan berkata keluarganya membelanjakan ribuan ringgit, sehingga menggadaikan barang kemas dan menjual tanah, bagi menampung bayaran guaman untuk abangnya.

Dia benar-benar merasakan seorang "VIP" seperti ahli politik ada jalan pintas untuk mendapat pengampunan, berbanding banduan biasa.

"Tolong jangan ada 'double standard'. (Seolah-olah) jika anda 'somebady', anda sedikit istimewa," katanya lagi.

Intan merupakan antara ahli keluarga kepada ramai banduan yang sedang menunggu peluang kedua untuk mereka - sama ada pengampunan diraja mahupun pengurangan atau peringanan hukuman.

Malaysiakini menghubungi ahli keluarga mereka, serta aktivis dan peguam susulan keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara dan denda bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes rasuah SRC International.

Terdahulu, Lembaga pengampunan mengurangkan hukuman Najib daripada 12 tahun penjara kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Demokrasi maksudnya kesaksamaan

Menurut Intan, abangnyalah yang menghubungkannya dengan kumpulan hak asasi manusia Suaram. Dia kemudian bertemu dengan pengurus programnya, Azura Nasron.

Azura telah mengendalikan banyak kes seumpama itu, dan mengimbas kembali betapa dia tidak menerima sebarang maklum balas daripada Lembaga Pengampunan berhubung satu lagi permohonan pengampunan diraja yang dibuat abang Intan pada 2022.

"Kami rasa sedih kerana sudah bertahun keluarga (banduan) melawan kes ini. Bapanya sudah meninggal dunia dan ibunya yang tua pula tak sihat.

"Mereka adalah keluarga B40 yang tinggal di PPR (Program Perumahan Rakyat)," katanya ketika dihubungi.

Menurut Azura, memandangkan kerajaan sedang menilai semula hukuman penjara seumur hidup dan hukuman mati, permohonan pengampunan banduan itu tidak akan dilayan kerana dia perlu menunggu - barangkali selama beberapa tahun lagi - untuk penetapan semula hukuman.

"Banduan itu perlu tunggu lama lagi kerana kerajaan akan mengutamakan banduan yang tua dan sakit," katanya lagi.

Justeru, dia berkata tidak adil untuk "ahli politik elit" yang dipenjara akibat rasuah diberi keutamaan.

"Ada ramai banduan yang telah dipenjara 20, 30 tahun yang lebih layak dapat pengampunan."

Menurut Azura, atas nama ketelusan, Najib sepatutnya "menunggu giliran", bukannya menggunakan kelebihan yang ada agar permohonannya dipercepatkan.

"Demokrasi bermakna semuanya sama di sisi undang-undang. Tapi di sini ada diskriminasi jelas antara 'elit' dan orang lain," katanya lagi.

Peguam Goh Cia Yee mempersoalkan mengapa semua individu yang dituduh tidak mendapat kelebihan sama seperti yang dinikmati 'golongan elit' dalam sistem keadilan jenayah.

Dia membangkitkan kes dua anak guamnya yang dipenjara atas kesalahan berkaitan dadah, yang menunggu lima tahun untuk perbicaraan dan rayuan mereka didengar.

"Seorang anak guam ditahan lima tahun lalu, disabit bersalah pada 2022, dan menunggu rayuan didengar tahun ini.

"seorang lagi ditahan lima tahun lalu atas kesalahan sama dan masih menunggu keputusan perbicaraan," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata masa menunggu menjadi lebih lama bagi kes yang tidak boleh diikat jamin.

Menurut Goh, antara sebab mengapa kes tertangguh adalah masa yang lama untuk analisis diselesaikan dan kes dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Menjadikan kes Najib sebagai contoh, dia mengakui status seseorang individu dalam masyarakat boleh memberi kelebihan kepadanya dalam sistem keadilan jenayah.

"Layanan yang baik dan berperikemanusiaan adalah hak asasi, namun ada kala seolah-olah ia hanya diberikan bergantung kepada status anda dalam masyarakat," katanya lagi.

Dibunuh ketika rakam video jalan raya rosak

Agensi
DIANA Carnero. FOTO Agensi
DIANA Carnero. FOTO Agensi
Quito: Seorang ahli majlis Ecuador dibunuh di hadapan orang ramai ketika membuat rakaman video mengenai keadaan jalan raya yang teruk, lapor portal Mirror.

Diana Carnero, 29, dilaporkan mempengerusikan mesyuarat majlis di bandar Naranjal di Guayas pada petang Rabu kemudian merakam video mengenai keadaan jalan raya yang teruk di sekitar bandar itu.

Polis berkata, dua suspek lelaki menaiki motosikal menghampiri dan menembaknya di kepala sebelum melarikan diri.

Pejabat Peguam Negara Ecuador berkata, pihaknya akan mengetuai siasatan tetapi setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Ecuador berada dalam gelombang jenayah yang terikat dengan kumpulan pengedar dadah.

Penduduk Ecuador bimbang keganasan akan terus meningkat di negara itu selepas calon presiden dibunuh tahun lalu.

Dua minggu lalu Presiden Daniel Noboa mengisytiharkan darurat dan perang maya terhadap kumpulan gengster dengan memberi kuasa kepada tentera untuk bertindak terhadap mereka.

Susulan itu, ramai orang bertindak tinggal di rumah dan sekolah serta kedai ditutup ketika askar meronda di jalan di bandar-bandar terbesar Ecuador.

Carnero bertanding di bawah Gerakan Revolusi Rakyat, parti politik sosialis demokratik yang ditubuhkan oleh penyokong bekas Presiden Rafael Correa dan dipilih menganggotai majlis bandar Naranjal pada Februari tahun lalu.

Correa yang berkhidmat sebagai presiden dari 2007 hingga 2017 memberi penghormatan kepada Carnero di X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

"Diana berusia 29 tahun. Ini adalah mimpi ngeri. Pelukan kepada keluarganya dan seluruh Naranjal.

"Apabila anda mempunyai anak seusia itu, anda memahami apa yang ibu bapa mereka deritai. Sungguh memalukan!" ciapnya.

Timbalan Datuk Bandar Guayaquil Blanca López juga menulis di X, dengan berkata, wilayah itu berada dalam bahaya.

"Ini mesti berakhir, mahukan hari yang lebih baik, wilayah dan negara kita tidak bermakna meletakkan nyawa kita dalam risiko," tulisnya.

Pembunuhan Carnero berlaku hanya sehari selepas Gabenor Guayas Alberto Molina bertemu dengan penguat kuasa undang-undang di Naranjal untuk menangani gelombang keganasan baru-baru ini.

Sebelumnya, Ahli Majlis Charbel Rouhana, 50, ditembak mati di hadapan rumahnya di bandar pantai Yaguachi pada 24 Oktober lalu.

Bolivar Vera, 42, seorang anggota majlis di Durán, ditemukan mati pada 8 September, sehari selepas dia diculik.

Pada Ogos lalu, calon presiden Fernando Villavicencio, 59, dibunuh selepas meninggalkan acara kempen di Quito.

Pada Julai pula, Datuk Bandar Manta, Agustín Intriago, 38, ditembak mati semasa memeriksa kerja.
- hmetro 

Tentera Israel guna anjing serang rakyat Palestin

Bernama-Wafa

Episod kekejaman tentera Israel terhadap penduduk Palestin seolah tiada penghujung, malah semakin menjadi-jadi apabila mereka turut melepaskan anjing terlatih untuk memburu dan mencederakan sesiapa saja termasuk kanak-kanak dan orang tua.

Ibrahim Jamal Hashash, tiga tahun, mengalami cedera parah pada badan dan kepala akibat digigit anjing tentera Israel dalam satu serbuan di rumah keluarganya di Kem Balata yang terletak di Nablus, Tebing Barat.

Kanak-kanak malang itu kini terlantar di hospital kerajaan Rafidia.

Menceritakan detik cemas itu, ibunya Amani Hashash berkata sebaik pintu rumah dirobohkan, anjing tentera terus menerpanya dan menggigit anaknya yang ketika itu dalam dukungannya sebelum menyeretnya ke luar rumah.

“Saya dan anak-anak yang lain cuba menghalang anjing itu, namun sia-sia”, katanya tentera Israel langsung tiada belas kasihan apabila hanya membiarkan sahaja anjing itu terus menggigit dan menyerang Ibrahim tanpa henti.

“Suara jeritan dan tangisannya tidak akan saya lupakan”, katanya kepada Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Pakar Pembedahan Pediatrik di Hospital Rafidia, Dr Abdel Nasser Bani Odeh berkata keadaan Ibrahim adalah stabil setakat ini namun perlu dipantau rapi oleh doktor khas.

“Gigitan anjing boleh menyebabkan keradangan kulit atau kecederaan pada tisu, kadang kala ia memerlukan pemindahan kulit, bergantung kepada kedalaman kecederaan”, katanya pasukan perubatan akan sedaya upaya membantu pesakit walaupun dalam keadaan kekurangan alatan dan bekalan ubat.

Keganasan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt telah meragut lebih 27,800 nyawa, manakala 67,300 lagi cedera dan ribuan lagi gagal dikesan.

- Bernama-Wafa

Bawa balik ‘pump gun’, 11 ‘pak guard’ bank ditahan

Bernama

SHAH ALAM: Polis menahan 11 pengawal keselamatan bank di Sabak Bernam dan Kuala Selangor pada 6 dan 7 Feb lalu kerana melanggar syarat lesen iaitu menyimpan senjata api di rumah.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata semua lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 53 tahun ditahan di rumah masing-masing hasil risikan dijalankan pihaknya.

Beliau berkata, sebanyak 11 laras senapang jenis “pump gun”, 55 butir peluru dan sebuah kereta turut dirampas.

“Semasa serbuan dijalankan, semua pengawal keselamatan itu telah tamat tugas di bank dan didapati menyimpan senjata api jenis ‘pump gun’ di rumah seperti meletakkan di bawah katil, tepi dan dalam almari pakaian serta dalam kereta,” katanya pada sidang media.

Menurutnya, siasatan mendapati pengawal keselamatan tersebut membawa senjata api balik ke rumah menggunakan motosikal dengan cara tidak selamat seperti menggalasnya di belakang, selain memaklumkan mereka diarahkan oleh syarikat untuk menyimpan senjata api di rumah selepas tamat kerja.

Kejadian itu, katanya berlarutan selama lebih kurang dua tahun dan hasil siasatan mendapati syarikat tersebut yang dilesenkan di Kuala Lumpur melakukan lima kesalahan sebelum ini sejak 2015.

Hussein berkata, semua pengawal keselamatan tersebut didapati melakukan kesalahan bawah Seksyen 8 (b) Akta Senjata 1960 kerana melanggar syarat lesen dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000.

Katanya, siasatan sedang dijalankan ke atas syarikat tersebut dan jika didapati melakukan kesalahan terbabit pihaknya akan menarik lesen yang diberikan.

Beliau turut mengingatkan semua syarikat yang memiliki senjata api untuk mematuhi syarat lesen bagi mengelakkan kejadian seperti samun menggunakan senjata api, pemerasan atau kejadian kehilangan senjata atau dicuri.

“Syarikat keselamatan tidak boleh mengambil mudah dalam aspek keselamatan senjata api seperti tidak membuka cawangan di kawasan tempat bertugas dan tidak membina bilik kebal senjata api hanya kerana untuk menjimatkan kos,” katanya.

Polis siasat dakwaan pempengaruh dipukul dalam tahanan

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Polis menyiasat dakwaan seseorang pempengaruh yang mendakwa dipukul dan dicederakan ketika dalam siasatan, bulan lalu.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata M Vikram Naidu telah membuat laporan pada 9 Jan lalu dan siasatan telah dibuat termasuk membawanya ke hospital untuk pemeriksaan kecederaan.
l
Menurutnya, Vikram ditahan susulan laporan polis terhadapnya oleh seorang wanita yang mendakwa telah diugut oleh enam lelaki dengan meminta wang perlindungan sekiranya tidak mahu disusahkan.

“Telah pun dituduh di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh pada 15 Jan lalu terhadap penama yang mengaku tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan.

Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang membabitkan jenayah pemerasan jika disabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat.

Yusri mengulas penularan sebuah video yang mendakwa seorang pempengaruh dipukul ketika dalam tahanan polis selain pihak berkuasa melindungi kegiatan menjual nombor ramalan tidak berlesen.

“Orang ramai diminta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang tuduhan terhadap polis serta melaporkan sebarang kegiatan jenayah mengikut saluran yang sepatutnya.

“Ia kerana dibimbangi kegiatan yang membelakangkan undang-undang ini sebenarnya sebagai helah menakut-nakutkan orang ramai bagi kepentingan pihak tertentu,” katanya.

Polis panggil bekas pegawai tinggi kerajaan beri kemudahan FPX pada sindiket judi dalam talian

Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor
am@hmetro.com.my
MUHAMMED Hasbullah (tiga dari kiri) bersama barang rampasan wang haram dan telefon bimbit ketika sidang media tangkapan sindiket yang menawarkan perkhidmatan kepada perjudian atas talian. FOTO arkib NSTP
MUHAMMED Hasbullah (tiga dari kiri) bersama barang rampasan wang haram dan telefon bimbit ketika sidang media tangkapan sindiket yang menawarkan perkhidmatan kepada perjudian atas talian. FOTO arkib NSTP
Kuala Lumpur: Bekas pegawai tinggi kerajaan akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pemberian kemudahan 'Payment Gateway' (FPX) kepada sindiket perjudian dalam talian.

Difahamkan, individu terbabit memberikan kelulusan kepada syarikat perjudian dalam talian ketika berkhidmat di sebuah kementerian.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, individu berkenaan dipercayai menjual lesen untuk kegunaan syarikat berkenaan.

"Kita akan panggil bagi membantu siasatan, surat berkenaan ditandatangani oleh beliau yang memberi kelulusan sebagai syarikat pemberi perkhidmatan dalam talian," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mengulas berhubung siasatan sindiket kemudahan FPX, beliau berkata, siasatan kini sudah memasuki fasa kedua dan akan memfokuskan operator perjudian dalam talian.

"Polis menerima maklumat mereka ini (operator perjudian) sedang melakukan sesuatu iaitu 'layering' bagi mengelakkan wang kadar perolehan (turnover) dikesan.

"Kita jangkakan kadar perolehan mereka akan meningkat sehingga RM1 bilion. Kita sudah mengesan mereka ini, tindakan susulan akan diambil," katanya.

Selasa lalu, Pasukan Siasatan AMLA menumpaskan sindiket yang memberi kemudahan FPX kepada puluhan sindiket perjudian dalam talian.

Sindiket yang berselindung di belakang sebuah entiti atas satu nama syarikat itu dikenal pasti menyalahgunakan kelompongan sistem pembayaran dalam talian, untuk membantu aktiviti perjudian dalam talian.

Malah, sindiket sama pernah menjalankan transaksi pembayaran judi dalam talian berjumlah RM576 juta dalam tempoh setahun, selain aktiviti jenayah lain.

Seramai 10 ahli sindiket termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri, berusia antara 27 hingga 49 tahun yang menjalankan kegiatan berkenaan sejak pertengahan tahun 2022 ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Lembah Klang, antara 28 hingga 31 Januari lalu, dibantu Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Polis: Tidak boleh main bunga api melebihi jam 12 tengah malam

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebarang bentuk penjualan bunga api secara dalam talian adalah dilarang walaupun membabitkan jenis produk yang dibenarkan untuk jualan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Alzafny Ahmad berkata, sebanyak 45 bunga api yang dibenarkan untuk dijual.

"Manakala sembilan bunga api tidak boleh diniagakan oleh orang awam kecuali ejen berlesen kerana bunga api berkenaan dalam kategori bersyarat.

"Penjualan bunga api secara dalam talian adalah dilarang sama sekali dan menjadi kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua penjaga bunga api perlu mematuhi syarat yang ditetapkan antaranya ialah perlu mempunyai tempat selamat yang disahkan bahagian persenjataan PDRM.

"Selain itu peniaga juga perlu mempunyai lesen dan tidak boleh di pindah milik; hanya pemilik lesen saja yang dibenarkan untuk menjual bunga api; satu lesen jualan hanya boleh dikeluarkan kepada satu pemohon di satu lokasi dan tidak menjual bunga api kepada pembeli di bawah umur 18 tahun," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga diingatkan untuk tidak bermain bunga api melebihi jam 12 tengah malam yang boleh mendatangkan kacau ganggu atau bahaya kepada umum.

"Sekiranya ingkar, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) atau Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya bermain bunga api di kawasan yang lapang dan tidak mengganggu ketenteraman awam serta mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat," katanya.

Berikut adalah senarai bunga api untuk jualan umum:

1. Pop-pop

2. Happy boom glow of sunset

3. Happy boom sunset bar

4. Happy boom glories

5. Happy boom flower silver cracking rain (20 shot)

6. Happy boom birthday candle

7. Happy boom dush 20 (roman candle)

8. Happy boom dush 30 (roman candle )

9. Happy boom 10 shoots (roman candle)

10. Happy boom 8 shoots roman candle (new)

11. Happy boom sun sparkles

12. Happy boom colour sun sparkle (18 inci besi)

13. Happy boom fountain

14. Happy boom 10 inci ice cream (fountain)

15. Happy boom 15 inci ice cream (fountain)

16. Happy boom 13 inci conic (fountain)

17. Happy boom mini ice cream (fountain)

18. Happy boom peacock fountain

19. Happy boom happines fountain

20. Happy boom ground boom flower

21. Happy boom camelia flower

22. Happy boom firework

23. Happy boom pili cracker

24. Happy boom pili cracker 3 minutes

25. Happy boom moon (rockets)

26. Happy boom thunder clap (rockets)

27. Happy boom top gun (UFO)

28. happy boom top gun

29. Happy boom sky dragon (new)

30. Happy boom 14 inci besi

31. Happy boom bee

32. Happy boom mancis

33. Happy boom cili padi

34. Happy boom party pooper

35. Happy boom banana kecil

36. Happy boom banana hujan

Sembilan bunga api dalam kategori bersyarat dan tidak boleh diniagakan oleh umum:

1. Happy boom red cracker (8 inci)

2. Happy boom red cracker (cake)

3. Happy boom celebration red fire cracker

4. Happy boom assorted celebration cake repeater (1 inci 49 shot)

5. Happy boom assorted celebration cake repeater (1.5 inci 138 shot)

6. Happy boom shoot cake (1 inci 16 shot)

7. Happy boom shoot cake (1 inci 25 shot)

8. Happy boom shoot cake (1 inci 36 shot)

9. Happy boom tikus 50 (50 missile)

'Aneh' ada pihak pertahan perasuah berpuluh bilion wang negara - Anwar

Amir Mamat
am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Datuk Seri Anwar Ibrahim merasa 'aneh' apabila ada pihak yang menyalah serta menyindir kerajaan kerana mengambil tindakan terhadap golongan 'maha kaya' yang perasuah.

Kata Perdana Menteri, ramai yang mengeluh apabila tindakan pendakwaan dikenakan kepada individu tertentu yang didapati mengumpul kekayaan yang dikatakan berbilion ringgit.

"Masih ada yang pertahankan (perasuah), saya rasa aneh bagaimana boleh kita pertahankan kerana orang itu kononnya sudah tua atau kes sudah lama, (sebenarnya) dia (mereka) tak kira sama ada berbilion ringgit yang diambil.

"Polis (berpangkat) sarjan kalau ditangkap ambil (rasuah) RM500 didakwa, di kampung kalau curi motosikal didakwa dan dipenjara, (tidak kira) sama ada dia sakit atau di hospital atau kena pukul, dia tidak kira.

"Tetapi bila kita ambil tindakan pada golongan perasuah besar negara itu, timbul kenyataan-kenyataan mengapa dendam, mengapa zalim, mengapa tak mengira umur... saya (merasa) aneh," katanya ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata, beliau sangat menyanjungi serta berbangga kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertindak tegas terhadap perasuah tanpa mengira kedudukan.

"Saya nak sebut, saya percaya dan bangga pada badan penguatkuasaan, baik SPRM, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) atau PDRM (Polis Diraja Malaysia) kerana tegas dan bertindak profesional terhadap golongan yang diketahui 'merompak' kekayaan berpuluh bilion dari negara ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedang menanggung sejumlah hutang terkumpul mencecah RM1.5 trilion menyebabkan perbelanjaan tidak boleh sewenangnya namun jika terlalu cermat, bimbang menjejaskan bidang pendidikan, penduduk miskin serta kesihatan sehingga memaksa kerajaan merangka ekonomi dengan begitu cermat.

"Sebab itu saya kata, biar ada satu mesej jelas apa pun mahu disergah, mahu disinggung, saya tidak peduli. Saya mohon penjawat awam, termasuk di Melaka faham, dalam kesempatan yang ada, biar kita beri mesej jelas pada negara ini dan pimpinan kini dan akan datang, gunalah kebijaksanaan gunalah kuasa sebaiknya.

"Sebaik saja kamu `punggah' kekayaan negeri untuk kepentingan peribadi atau keluarga, kami tetap bertindak, tangkap dan dakwa kamu, barulah kita boleh jamin keselamatan negara pada masa akan datang," katanya.

'Siapa kata tak boleh masuk, baca dan tanyalah polisi dulu'

Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my
PENGUNJUNG  mendapatkan pas masuk ke taman tema BAP. FOTO Ihsan pembaca
PENGUNJUNG mendapatkan pas masuk ke taman tema BAP. FOTO Ihsan pembaca
Kuala Lumpur: "Siapa kata bukan muslim tidak boleh mandi di sini. Kami ada polisi sendiri. Bacalah dulu sebelum nak labelkan macam-macam," kata pemilik Kumpulan Berangan Fatimah Ab Nawawi.

Katanya, pihaknya mengambil maklum berita yang tular mengenai taman tema air, Berangan Pool & Cottage di Sungai Petani, Kedah yang dikatakan hanya menerima pengunjung muslim saja sejak mula beroperasi pada 2021.

Katanya, sesiapa juga yang mengunjungi kawasan rekreasi keluarga itu, namun tertakluk kepada polisi dan syarat yang dikenakan untuk memberikan keselesaan kepada semua.

"Beberapa hari ini tular mengenai Berangan Aqua Park (BAP) yang dikatakan hanya menerima kunjungan dari bangsa Melayu Islam saja dan juga dilabelkan sebagai rasis.

"Pengurusan mengambil keputusan untuk menetapkan konsep patuh syariah kerana taman tema air ini dibangunkan di kawasan kampung yang keseluruhannya beragama Islam.

"Pengunjung bukan Islam pula boleh menempah untuk menggunakan kolam yang sama setiap Selasa jam 11 pagi hingga 5 petang dan setiap Sabtu jam 7.30 petang hingga 12 tengah malam untuk aktiviti kumpulan, syarikat, pertubuhan dan komuniti setempat, dengan mematuhi segala peraturan," katanya kepada Harian Metro.
BAP menjadi tumpuan pengunjung terutama pada musim cuti. FOTO Ihsan pembaca
BAP menjadi tumpuan pengunjung terutama pada musim cuti. FOTO Ihsan pembaca
Menurutnya, peraturan itu ditetapkan berdasarkan sensitiviti kawasan setempat yang mengambil kira lokasi kampung itu yang berdekatan sekolah agama, tahfiz, dan masjid.

Katanya, BAP bukanlah seperti taman tema lain yang lebih terkenal dan bersaiz besar sebaliknya hanya mampu menampung 200 hingga 250 saja.

"Saya tidak pasti apa niat mereka membangkitkan isu ini. Kita juga mengesyorkan kepada pengunjung untuk pergi ke kemudahan lain yang berdekatan kerana memikirkan keselesaan terutama apabila cuti umum.

"Ini adalah perniagaan persendirian yang kami jalankan untuk merancakkan ekonomi penduduk kampung. Jadi, tidak timbul langsung isu kami bangkitkan isu perkauman dan sebagainya.

"Apa yang berlaku ialah, mereka tidak membaca polisi dan peraturan dengan betul terlebih dulu, katanya.

Terdahulu, tular di media sosial komen netizen mengenai BAP yang dikatakan rasis seperti dilaporkan portal tempatan.

Ramai yang mempersoalkan tindakan itu, namun penduduk tempatan tampil mempertahankan pengurusan BAP yang mengambil kira sensitiviti di situ sejak awal dibuka kepada orang ramai.

Fatimah berkata, dia menganggap isu berkenaan sebagai ujian dalam perniagaan dan tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menyediakan kemudahan terbaik.

"Pengurusan juga bercadang mewujudkan satu lagi taman tema air yang lebih besar untuk kegunaan pelbagai kaum di masa akan datang," katanya.

Tengku Maimun: Pihak cabar undang-undang negeri tidak menentang Allah

SITI NUR ZAWANI

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, menegaskan mana-mana pihak yang mencabar undang-undang dibuat badan perundangan negeri tidak boleh dituduh sebagai menentang Allah kerana undang-undang yang dicabar itu bukan ditetapkan oleh Tuhan.

Tengku Maimun berkata demikian dalam ringkasan penghakimannya ketika membuat keputusan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

“Jika ada pihak mencabar undang-undang yang dibuat oleh badan perundangan negeri yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah atas alasan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tertentu, dan jika Mahkamah Sivil membenarkan cabaran tersebut, pihak yang mencabar dan Mahkamah Sivil tidak boleh dikatakan menentang Allah.

“…kerana undang-undang yang dicabar itu bukan yang ditentukan atau ditetapkan oleh Allah, tetapi oleh badan perundangan negeri,” katanya.

Tengku Maimun berkata, sekiranya semua pihak melihat isu pencabaran undang-undang dari sudut yang disebutkannya, maka tidak akan timbul soal Mahkamah Sivil tidak mempertahankan kedudukan agama Islam, atau tidak memperkasakan Mahkamah Syariah.

Beliau turut menegaskan, apa yang dicabar dalam petisyen membabitkan Nik Elin Zurina terhadap kerajaan Kelantan bukanlah mengenai kedudukan undang-undang syariah di Malaysia.

“Dakwaan-dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan kerajaan Kelantan yang mengikut hujahan pempetisyen, telah melangkaui kuasa berkenaan jenis-jenis kesalahan yang boleh diluluskan oleh kerajaan negeri, dalam ruang lingkup yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tengku Maimun menambah, Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pernah berkubur dan diletakkan batu nisan seperti didakwa oleh peguam, Yusfarizal Yusof.

“Maka melihat kepada cabaran ini sahaja, Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur dan diletakkan batu nisan seperti didakwa oleh peguam Yusfarizal Yusof kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kuasa perundangan kepada semua kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah,” ujarnya.

Terdahulu, Tengku Maimun dalam penghakiman panel hari ini berkata, mahkamah membenarkan petisyen difailkan Nik Elin Zurina dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Sebelum ini kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Nampak sangat pemalasnya

Abdullahjones

Dalam satu iklan di radio, pengacaranya meminta pendengar agar “sapot lokal”. Kami yang mendengarnya merasakan ia adalah sesuatu yang wajar.

Ketika semua orang sibuk memulaukan pelbagai perniagaan yang disangka menyokong pembunuhan warga Palestin, sekarang adalah masa paling sesuai untuk jenama tempatan mengambil peluang.

Jenama tempatan seharusnya menggiatkan usaha mereka untuk merampas pasaran yang selama ini dikuasai orang luar. Mencintai barangan keluaran kita sendiri dan melangganinya adalah satu daripada seribu jalan menunjukkan kasih sayang kepada negara.

Dan jenama tempatan pula - jika mahu memberi nama pada perniagaan - pilihlah istilah yang dekat dengan kita. Malu juga apabila tinggal di Negeri Sembilan tapi nama taman perumahan kita digelar Bandar Ainsdale, misalnya.

Kalau dinamakan sebagai Bandar Eden pun tidak apa rasanya. Bunyinya macam taman sorga, tapi sebenarnya bandar "saya". Pandai-pandailah kamu bermain kata.

Bukan tak ada nama taman perumahan yang bagus di Negeri Sembilan. Taman Godang Jaya, Bandar Sunggala atau Taman Tanjung Gemuk adalah antara nama yang baik.

Cuma nama Taman Hadapan Hospital di Jelebu tu nampak sangat pemalasnya.

Jika Singapura boleh maju dengan Hospital Kandang Kerbaunya, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama.

Dan sudah-sudahlah dengan istilah seperti avenue, precinct atau nama-nama lain yang seumpamanya.

Buat marah dek budak-budak yang percaya Islam adalah Melayu itu saja nanti.

Nama perniagaan juga biasanya amat mempengaruhi keluaran mereka.

Sebuah syarikat perumahan yang didaftar sebagai Wong Fei Hong Constructions misalnya akan menamakan taman perumahan mereka sebagai Taman Wong Fei Hong.

Ia adalah langkah promosi dan menguntungkan syarikat berkenaan.

Lalu jika semua entiti komersial diwajibkan untuk mendaftar nama perniagaan mereka mengikut bahasa kebangsaan maka secara tidak langsung ia tidak akan memungkinkan nama-nama yang jengkel digunakan pada taman perumahan di tempat kita.

Tapi itulah, kami yang tadinya berkobar-kobar dengan semangat cinta negara tersentak apabila mengingat kembali apa yang disebut oleh pengacara radio berkenaan.

Papan tanda di perpustakaan

Perkataan "sapot lokal" itu sendiri sebenarnya langsung tidak local! Kedua-dua patah perkataan tersebut diragut dengan biadab dari bahasa Inggeris.

Kami tidak tahu sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka sudah memasukkan dua perkataan itu ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu. Jika sudah, maka maafkan kami.

Jika tidak, maka tidak adakah cerdik pandai bahasa Melayu yang boleh datang dengan perkataan yang lebih elok?

Dulu pernah ada kempen yang dinamakan sebagai Belilah Barangan Buatan Malaysia. Sedap telinga mendengarnya.

"Lokal" itu mungkin boleh dimaafkan namun perkataan "sapot" adalah sangat rempit.

Sebut fasal pustaka, yang sedang kecoh sekarang ini adalah mengenai papan tanda di sebuah perpustakaan di Bangi, Selangor.

Perkataan Library tertera begitu besar di bumbung khutub khanah milik kerajaan itu. Entah sebagai simbol megah, entah sebagai tanda mengah.

Ada yang marah mengenai tindakan tersebut dan ada juga yang membenarkannya.

Yang marah ialah pejuang bahasa Melayu. Memang ada kebenaran pada kemarahan mereka itu.

Mana mungkin sebuah perpustakaan milik kerajaan memartabatkan bahasa Inggeris di tempat sedemikian, kata mereka.

Dan yang lebih menyakitkan ia terletak di tempat tinggi, seolah-olah sedang dijulang.

Tanam tikar mengkuang

Mereka yang membenarkannya pula mengatakan bahawa bukan hanya perpustakaan di Bangi menggunakan bahasa Inggeris pada papan tandanya, malah perpustakaan di Terengganu dan beberapa negeri lain juga terlebih dulu berbuat perkara yang sama.

Masing-masing mahu berada di tempat yang benar sambil membiarkan perkataan "janitor" atau "koreksional" digunakan dengan seluas-luasnya.

Sebut fasal koreksional, kami ada bermacam jenaka mengenainya namun kami simpan sebagai hiburan diri sendiri.

Kami tinggalkan kamu semua dengan sebuah kisah yang makin dilupakan. Kisah-kisah nakal zaman lama ini kadang-kadang menjadi hiburan dan pada waktu lain boleh dijadikan sebagai teladan.

Semasa Pak Pandir melihat Mak Andeh bersedih setelah anak mereka mati direbus oleh suaminya itu, Pak Pandir memujuk isterinya dengan mengatakan: "Bukan anak kita saja yang mati... anak orang lain pun mati juga".

Semasa pulang dari pengebumian budak itu, Pak Pandir terjumpa mayat kanak-kanak sebaya anaknya.

Mayat yang disangka sebagai anak orang lain itu sebenarnya adalah mayat anak dia sendiri yang menggelunsur keluar tanpa disedari dari tikar yang membalut tubuhnya.

Yang ditaman oleh Pak Pandir adalah tikar mengkuang yang kosong.

Wanita usia 70 tahun bergelut dengan 2 penjenayah

Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my
Norhayati Maasin menunjukkan kediaman rumah ibu saudaranya yang dimasuki pencuri. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Norhayati Maasin menunjukkan kediaman rumah ibu saudaranya yang dimasuki pencuri. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Kuala Pilah: Biarpun berusia lebih 70 tahun, wanita warga emas tu terpaksa bergelut dengan penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Kampung Air Besar, Kepis Ulu, di sini, jam 3 pagi tadi.

Kejadian itu menyebabkan Pasah Amat trauma dan kini dia dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah sebaik mengadu sakit di tulang rusuk selain sesak nafas.

Anak saudaranya, Norhayati Maasin, 34, berkata, dia bergegas ke rumah Pasah atau mesra disapa Mak Teh sebaik dimaklumkan berkaitan kejadian.

Katanya, jiran Pasah terdengar wanita berkenaan menjerit meminta tolong jam 7 pagi.

"Mak teh beritahu, dia dikejutkan dengan bunyi bising di bahagian atas rumah sebelum membuka pintu tengah untuk memeriksa.

"Mak Teh bagaimanapun dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki bertopeng sebelum berlaku pergelutan.

"Penjenayah kemudiannya melarikan telefon bimbit dan dompet Mak Teh. Bagaimanapun, kehilangan barangan lain masih belum dapat dipastikan," katanya ditemui.

Menurutnya, Pasah tinggal berseorangan namun anak dan saudara maranya yang tinggal berhampiran kerap menjenguknya.

Sementara itu, anak sulung Pasah, Rogayah Ahmad, 62, berkata, penjenayah dipercayai mengumpil papan dinding rumah dan memanjat ampaian besi beroda di luar untuk masuk ke kediaman berkenaan.

"Kami sudah buat laporan polis dan berharap penjenayah segera ditahan.

"Ia juga membimbangkan penduduk kerana ini julung kali rumah dipecah masuk penjenayah," katanya.

Anak pemimpin politik tak mengaku salah amang seksual fizikal gadis

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
MOHD Nadzmi (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
MOHD Nadzmi (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Tawau: Anak lelaki seorang ahli politik di Semporna di hadapan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan Tingkatan Lima, 13 Disember lalu.

Bagaimanapun, Mohd Nadzmi Abdul Manan, 25, tidak mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menunjukkan kemaluannya kepada seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner di kawasan tepi jalan di Jalan Pokas-Kuala Bebang, Semporna, kira-kira jam 2.30 petang, 13 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi sepuluh tahun atau denda maksimum RM20,000.00 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya diberikan ikat jamin.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana tidak menawarkan ikat jamin memandangkan kes berkenaan tidak boleh diberi ikan jamin selain tempoh hukuman bagi kesalahan itu adalah melebihi lima tahun.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh di ikat jamin dan menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengurusan dan sebutan semula kes.

Lelaki ada 9 rekod jenayah ditahan selepas meragut

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang mempunyai sembilan rekod jenayah ditahan selepas meragut wanita di kawasan tempat letak kereta Jalan Tun Ahmad Zaidi Edruce, Kuching, hari ini.

Ketua Polis Kuching, Ahsmon Bajah, berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) IPK Sarawak selepas mendapat maklumat di tempat kejadian.

“Turut dirampas sebuah motosikal dan serangkai kunci motosikal serta barangan peribadi milik mangsa yang disamun (ragut) suspek ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Ahsmon berkata, selain mempunyai sembilan rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan, lelaki berkenaan juga terlibat penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda. Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kuching, esok,” katanya.

Daim mungkin ada aset lain, perlu disoal siasat sekali lagi - SPRM

Harapandaily

Mantan menteri kewangan Tun Daim Zainuddin mengkin akan dipanggil sekali lagi ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana SPRM mengesyaki Daim masih mempunyai aset yang belum diisytiharkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mendedahkan bahawa pegawai penyiasat di agensi tersebut telah meneima maklumat baru berkenaan aset Daim dan sedang menyiasat kesahihan dakwaan terbaru.

“Siasatan (terhadap Daim) masih diteruskan,” kata Azam, lapor Malaysiakini.

“Kita kena buat banyak pengesahan harta-harta yang tak diisytiharkan. Jadi menjadi tanggungjawab kita untuk menyemak harta-harta yang kita dapat maklumat tak isytiharkan,” katanya tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Sumber berkata aset yang disiasat termasuk hartanah, saham dan akaun bank di Malaysia dan luar negara.

“Pada peringkat ini belum (panggil untuk soal siasat). Biar pegawai penyiasat kumpul (maklumat) harta-harta lainyang kita syak di dalam dan luar negara.

“Saya jangka kalau banyak maklumat lagi diperolehi, dia akan dipanggil kemudian,” kata Azam ketika ditanya sama ada Daim akan dipanggil sekali lagi,” kata Azam.

Daim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana gagal mengisytiharkan harta meliputi 38 syarikat, 25 unit hartanah, tujuh kenderaan mewah, dan dua akaun dana pelaburan.

Lelaki hilang ditemui dalam mulut buaya

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kehilangan seorang lelaki berhampiran sebatang sungai di Kinabatangan, Sabah pada Rabu lalu terjawab apabila sebahagian badan mangsa ditemui dalam mulut seekor buaya.

Menurut laporan Sinar Harian, Roberto Martinus, 48, dilaporkan hilang ketika berada di tebing Sungai Koyah dan mangsa disyaki dibaham buaya selepas pihak berkuasa menemui kesan tapak kaki haiwan itu.

Operasi mencari mangsa yang dilancarkan berjaya mengesan buaya berkenaan yang masih mengigit sebahagian badan lelaki itu, kira-kira 3km dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba Kinabatangan, Nurul Azlan Shah berkata, mayat mangsa berada dalam mulut buaya tersebut dan usaha melepaskan badan mangsa dilakukan dengan bantuan pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Hidupan Liar.

“Polis bertindak menembak buaya tersebut dengan 12 tembakan sehingga haiwan itu melepaskan mangsa yang berada dalam mulutnya,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya berjaya diambil tetapi hanya anggota badan sebelah kiri ditemui.

‘Muhyiddin layak jadi PM, kenapa nak pilih calon lain?’

Shamz Johan, Zarrah Morden & Nadjwatul Huda

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin mempersoalkan dakwaan pihak luar yang menamakan pemimpin lain sebagai calon perdana menteri bagi Perikatan Nasional (PN) selain daripada pengerusinya, Muhyiddin Yassin.

Dia menjawab soalan mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa PN mempunyai calon lain sebagai perdana menteri seperti Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan juga termasuk dirinya.

Hamzah turut menafikan wujudnya situasi 'tidak gembira' dalam kalangan ahli parti dalam gabungan itu berhubung isu calon perdana menteri pembangkang.

Dia menegaskan tidak adil untuk mengatakan Muhyiddin tidak layak sebagai calon kerana ahli parlimen Pagoh itu meletak jawatan sebagai perdana menteri setelah ahli parlimen BN menarik sokongan.

"Adakah adil nak kata dia letak jawatan? Tidak. Dia masih ada peluang.

"Muhyiddin adalah presiden (Bersatu) saya, apa masalahnya jika nak promosi dia sebagai Perdana Menteri, saya rasa tidak ada salah untuk meletak dia sebagai calon perdana menteri.

"Kenapa tiba-tiba kita nak kata ada calon lain sedangkan dia pengerusi PN,” kata Hamzah pada sidang media selepas mesyuarat bersama ketua-ketua jawatankuasa portfolio Dewan Rakyat PN di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah ahli parlimen Larut itu, PN akan mengumumkan calon perdana menteri mereka sekiranya gabungan itu berjaya menawan Putrajaya.

Nafi jumpa kerajaan

Dalam pada itu, Hamzah turut menafikan perjumpaan antara pihaknya bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk berunding mengenai jawatan dalam kerajaan.

Malah, dia bertegas mengatakan tidak pernah bertemu Anwar setelah presiden PKR itu memegang jawatan perdana menteri pada Nov lalu.

Dia turut menafikan dakwaan bahawa ada pemimpin Bersatu lain yang berjumpa Anwar bagi tujuan sama.

"Itu fitnah. Saya tak pernah berjumpa Anwar sejak dia menjadi perdana menteri, kalau terjumpa di Parlimen itu adalah.

"Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), pemimpin yang dikatakan terlibat bersumpah tak ada berjumpa Anwar," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Hamzah mengesahkan parti Bersatu telah melantik peguam bagi tindakan saman terhadap enam ahli parlimennya yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan.

Mayat wanita dalam kereta tiada unsur jenayah

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Rawang: Tiada unsur jenayah dikesan pada penemuan mayat wanita tempatan dalam kereta di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kundang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 33 tahun itu masih berpakaian ketika ditemui pada 11 pagi.

"Mangsa dalam keadaan bersandar pada kerusi pemandu dengan barang peribadinya masih ada di dalam kenderaan.

"Pemeriksaan tidak menemui kecederaan fizikal pada badan wanita berkenaan dan dia sudah meninggal dunia lebih 24 jam.

"Pengecaman mayat wanita itu dilakukan oleh adik serta rakannya di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Abang Kaderi berkata, polis menemui satu bekas diperbuat daripada tanah liat yang berisi arang yang sebahagiannya sudah terbakar di ruang kaki tempat duduk penumpang hadapan.

Menurutnya, mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Sarjan Zulkifli Nordin di talian 011-69728629 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Dituduh tekup muka isteri hingga mati, lelaki diperintah bela diri

Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang bekas kontraktor untuk membela diri atas pertuduhan membunuh isterinya dengan cara menekup muka mangsa menggunakan selimut di kediaman mereka, tiga tahun lalu.

Hakim K Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Chuah Chin Hoe, 50, di akhir kes pendakwaan.

“Pada akhir kes pendakwaan, dengan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah ini secara menyeluruh dan diberikan penilaian maksimum, kesimpulan dibuat bahawa tertuduh orang terakhir bersama isterinya yang meninggal dunia di dalam bilik mereka pada malam sebelumnya dan pada pagi selepas dia ditemukan mati.

“Dalam rantaian situasi yang dikemukakan oleh pendakwaan untuk membuktikan dakwaan terhadap tertuduh, keadaan ini merupakan yang paling kuat. Ia merupakan pertimbangan material sebagai keadaan terhadap tertuduh,” kata hakim sambil menambah ini memerlukan penjelasan daripada tertuduh.

Selepas keputusan diumumkan, peguam Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Muniandy kemudian menetapkan prosiding membela diri selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 April ini.

Mengikut pertuduhan, Chuah didakwa membunuh Lau Bee Hong yang ketika kejadian berusia 46 tahun di sebuah unit kondominium di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini antara 2.30 pagi dan 9.30 pagi, 9 Mei 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Seramai 17 orang saksi pendakwaan termasuk dua anak pasangan itu, telah dipanggil memberi keterangan sejak hari pertama perbicaraan yang bermula pada 11 Okt 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir, manakala tertuduh turut diwakili peguam Lavinia Raja dan Revin Kumar.

Wanita dipenjara 15 tahun, sebabkan kematian bayi sendiri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita dipenjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini atas dakwaan sengaja menyebabkan kematian bayi lelaki yang baru dilahirkannya di tandas sebuah hospital, 13 Okt lalu.

Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Mazidah Minggo, 24 dan mensabitkannya dengan pertuduhan mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan, menurut Berita Harian.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkap iaitu pada 19 Okt 2023.

Rosli dalam penghakiman ringkasnya berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira fakta kes, hujah dan faktor pemberat pihak pendakwaan, rayuan tertuduh serta faktor kepentingan awam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia dengan sengaja meninggalkan bayi baru dilahirkan sehingga menyebabkan kematiannya.

Kesalahan dilakukan di tandas awam perempuan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau, di sini, kira-kira 7.10 pagi pada 13 Okt tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Mazidah dalam rayuannya memohon mahkamah supaya diberi hukuman ringan.

Bagaimanapun, Suhaimi memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih berat memandangkan kesalahan dilakukan tertuduh serius selain perlu mengambil kira kepentingan awam.

Tegasnya, mangsa adalah anak kandung tertuduh yang sepatutnya dipelihara dan dijaga dengan penuh kasih sayang, namun tertuduh tergamak memperlakukan dengan tindakan kejam yang membawa kepada kematian bayinya itu.

“Kes ini juga mendapat liputan meluas media,” katanya.

Lelaki miliki kad UNHCR ditahan edar dadah

MASZUREEN HADZMAN

KUALA LUMPUR : Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) selepas disyaki mengedar dadah di hadapan kedai tukang kunci sekitar Taman Wilayah Selayang pada 3 Februari lalu.

Suspek yang menetap di negara ini sejak 2000 ditahan pada pukul 10.15 malam hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, sebanyak 42 peket plastik berwarna biru berisi dadah jenis pil yaba seberat 824 gram (g) dan 16 botol warna putih bertulis ‘PROME’ disyaki dadah jenis kodein seberat 1,920 milliliter (ml).

Kata beliau, sebuah kereta Proton Waja dengan nilai keseluruhan rampasan dadah bernilai RM45,140 berjaya dirampas.

“Siasat lanjut mendapati, suspek berusia 50 tahun itu mula bergiat aktif mengedar dadah sejak enam bulan kebelakangan ini.

“Suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan daripada rakan warga sama dari Thailand,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas beliau, rakan kepada suspek berjaya ditahan polis Thailand pada 2 Februari lalu iaitu sehari sebelum suspek ditahan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek mendapati positif dadah morfin dan benzo.

“Suspek direman sehingga Sabtu ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Bekas pegawai Najib serah RM4.5j wang 1MDB, 3 kondo RM7.05j dilucut hak

Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak menyerahkan secara sukarela wang AS$972,251.25 atau RM4,551,399.45 daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penyerahan wang berkenaan oleh Datuk Amhari Effendi kepada Kerajaan Malaysia dibuat pada 29 September lalu, hasil usaha pemulihan aset dana 1MDB di dalam dan luar negara yang giat dijalankan secara berterusan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memaklumkan perkembangan terbaharu usaha berkenaan, SPRM dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan wang termasuk aset yang berjaya diperoleh semula berjumlah RM23,911,460.90 dalam tempoh 2023 hingga 5 Februari lalu.

"Wang dan aset ini telah berjaya diperoleh menerusi proses lucut hak, termasuk di mahkamah, selain penyerahan secara sukarela membabitkan lima individu dan seterusnya telah dipulangkan semula kepada Kerajaan Malaysia.

"Kejayaan memperoleh semula wang ini susulan proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM pada 2023 dan terbaharu pada 5 Februari 2024," menurut SPRM.

Memperincikan perkembangan itu, SPRM menjelaskan, wang berjumlah RM556,275.64 berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023 daripada Nurzahid Taib, pegawai 1MDB yang menerima dana syarikat pembangunan strategik negara itu.

Dana diterima bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated, di mana individu berkenaan mempunyai kepentingan.

Menurut SPRM, wang itu telah diperoleh menerusi Perintah Pelepasan Akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023.

"Pada 29 September 2023 pula, wang berjumlah AS$972,251.25 atau RM4,551,399.45 dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia menerusi penyerahan secara sukarela oleh Amhari, iaitu pegawai khas Najib menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.

"Sementara itu, pada 8 November 2023, Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur mengeluarkan perintah melucut hak tiga unit kondominium bernilai RM7.05 juta milik Mohammad Kamal Yan Yahaya, pegawai penasihat hal ehwal luar negeri Najib," menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, individu berkenaan telah menerima dana 1MDB menerusi Projek Magnolia, Projek Maximus dan Projek Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Limited di BSI Bank, Singapura, di mana dirinya mempunyai kepentingan.

"Ketiga-tiga proses pemulihan aset ini diperoleh susulan perbicaraan bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.

"Susulan proses pemulihan aset yang giat dijalankan ini juga, pada 5 Februari 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan harta-harta milik sekutu Jho Low atau Low Taek Jho, iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isteri, Koay Ying Ying di Malaysia dan di Singapura yang keseluruhannya berjumlah RM11,753,785.81 dilucuthak kepada SPRM.

"Permohonan lucut hak ini telah dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 AMLATFPUAA 2001," menurut suruhanjaya itu.

Secara keseluruhan, SPRM menjelaskan, dari 2019 dan sehingga kini, sebanyak RM29.03 bilion nilai aset 1MDB berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama agensi luar negara.

Polis sahkan dua beranak lemas, bukan dibunuh

Abdul Rahemang Taiming
bhnews@bh.com.my

TAWAU: Polis mengesahkan punca kematian dua beranak yang ditemukan lemas di sebuah kolam berhampiran rumah mereka di Kampung Nasib Kita, dekat sini, semalam sebagai sebagai mati mengejut (SDR) dan bukan kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Tawau, pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini.

'Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah terhadap kedua-dua mangsa manakala punca kematian adalah disebabkan mati lemas.

"Selain itu, tiada sebarang kesan lebam, hirisan, tetakan dan sebagainya atau akibat perlakuan jenayah ataupun kejadian rogol," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Jasmin berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa iaitu kanak-kanak Risdy Rudy, 7, dipercayai telah lemas di dalam kolam terbabit sebelum ibunya, Suriani Amir, 41, cuba bertindak menyelamatkannya namun tidak berjaya dan turut lemas bersama.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang cerita yang tidak benar berkaitan kejadian ini.

Katanya, polis menjalankan siasatan yang telus berdasarkan bukti dan keterangan yang diperoleh selain mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berhubung kejadian itu.

Terdahulu, dua rakaman video masing-masing berdurasi 25 saat dan 37 saat berhubung kejadian itu tular di media sosial.

1MDB: SPRM peroleh semula aset, wang lebih RM23 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh semula RM23.9 juta wang hasil daripada proses pemulihan aset 1MDB dari Ogos 2023 sehingga hingga 5 Feb.

Agensi anti rasuah itu dalam kenyataan memaklumkan wang dan aset itu berjaya diperoleh menerusi proses lucut hak termasuk di mahkamah selain penyerahan secara sukarela daripada lima individu.

Jumlah itu termasuk RM4.55 juta daripada Amhari Effendi iaitu bekas pegawai bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurutnya, kejayaan memperoleh semula wang itu adalah susulan daripada proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM.

“Secara keseluruhannya dari 2019 dan hingga kini, sebanyak RM29.03 bilion aset 1MDB telah berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara,” katanya.

Berikut tarikh pemulangan wang dan aset daripada lima individu terbabit:

  • 30 Ogos 2023 : RM555,275 dana telah diperoleh daripada pegawai 1MDB Nurzahid Taib yang telah menerima dana bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated yang mempunyai kepentingan dengannya.
  • 29 Sep 2023 : USD972,251.25 atau bersamaan RM4.55 juta dipulangkan menerusi menerusi penyerahan secara sukarela oleh Amhari menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.
  • 8 Nov 2023 : Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur memberikan perintah melucuthak tiga unit kondominium bernilai RM7.05 juta milik Mohammad Kamal Yan Yahaya, iaitu penasihat hal ehwal luar negeri kepada Najib. Beliau juga telah menerima dana 1MDB menerusi projek Magnolia, projek Maximus dan projek Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Limited di BSI Bank, Singapura yang dirinya mempunyai kepentingan. Proses pemulihan aset ini telah diperoleh susulan perbicaraan ke atas bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.
  • 5 Feb 2024 : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan harta milik sekutu kepada Jho Low atau Low Taek Jho iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isterinya, Koay Ying Ying di Malaysia dan Singapura yang keseluruhannya berjumlah RM11.7 juta

Lelaki peluk, raba pekerja rawatan kecantikan diburu

ASLIZA MUSA
LELAKI yang diburu kerana disyaki mencabul kehormatan seorang wanita di hadapan sebuah premis rawatan kecantikan di Hutan Melintang, Bagan Datuk bulan lalu. - Foto IHSAN PDRM
BAGAN DATUK – Polis giat mengesan seorang lelaki yang disyaki mencabul kehormatan seorang wanita di hadapan sebuah premis rawatan kecantikan di Hutan Melintang, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian pada 1.30 petang, 13 Januari lalu itu membabitkan mangsa warga tempatan berusia 22 tahun.

Katanya, mangsa yang merupakan pekerja di premis berkenaan mendakwa telah dipeluk dan diraba dari belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali.

“Kejadian berlaku ketika mangsa sedang membuka pintu premis. Suspek telah meramas dada dan punggung mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri.

“Hasil siasatan polis di lokasi kejadian berjaya mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang merakam perbuatan dan wajah suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha dijalankan bagi mengesan suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Shahzawani di talian 05-6299222,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sarjan polis tak mengaku salah rogol remaja

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
SHARIL Amir (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO L Manimaran
SHARIL Amir (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO L Manimaran
Ipoh: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dakwaan merogol seorang remaja perempuan yang juga pelajar Tingkatan 4, bulan lalu.

Tertuduh, Sharil Amir Shaari, 42, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang wanita yang ketika itu berusia 16 tahun satu bulan dalam kereta di kawasan parkir hadapan sebuah pasar raya di Seri Iskandar Prima, Seri Iskandar kira-kira 4 petang, 12 Januari lalu.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalufah manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.

Qurratu'aini tidak menawarkan jaminan atas alasan kebimbangan tertuduh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dalam kes ini.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mac depan untuk sebutan kes.

Bahaya produk penyedut hidung: Denda RM25,000, penjara 3 tahun menanti

Harapandaily

Penjual produk penyedut hidung atau ‘energy stick’ boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Jika sabit kesalahan kali kedua dan berikutnya, penjual boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

Syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh didenda sehingga RM50,000 kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“KKM telah menerima aduan awam berkait penjualan secara dalam talian produk berkenaan yang disyaki tidak berdaftar.

“Hasil siasatan awal mendapati keluaran terbabit bukan keluaran berdaftar.

“Ia perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) seperti peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

“Justeru, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan ke atas penjual yang dikesan menjual produk berkenaan,” katanya.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau memaklumkan, hasil saringan awal di platform e-dagang, KKM turut mengesan pengiklanan dan penjualan produk berkenaan oleh penjual tempatan dan luar negara.

Sehubungan itu, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu memastikan iklan-iklan produk terbabit diturunkan.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan pengguna agar memastikan produk kesihatan mempunyai pelekat hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk terbabit.

Status pendaftaran produk boleh disemak di laman https://www.npra.gov.my di ruangan Status Produk atau dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1-800-88-6722.

Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan.

“KKM komited dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan secara berterusan,” menurut kenyataan itu lagi.

Kereta terbakar di Tapah, 1 maut, 3 melecur

Bernama
Anggota bomba menjalankan usaha memadam kebakaran membabitkan sebuah Proton Saga dalam kejadian di Jalan Bidor Lama, Tapah, pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang warga emas maut, manakala tiga lagi termasuk dua kanak-kanak melecur selepas kereta dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di Jalan Bidor Lama, Tapah, pagi tadi.

Penolong Pengarah (Bahagian Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata kebakaran itu membabitkan sebuah Proton Saga yang musnah kira-kira
98% dan mangsa yang maut adalah penumpang tempat duduk belakang.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.49 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba kita dapati wanita warga emas disahkan meninggal dunia manakala tiga lagi iaitu wanita dewasa dan dua kanak-kanak berusia sekitar lima dan lapan tahun melecur,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa lain dihantar hospital untuk rawatan susulan.

“Identiti semua mangsa belum dapat dipastikan kerana semua barangan peribadi termasuk kad pengenalan hangus ketika kejadian,” katanya.

Pemikiran Khawarij: 'Kenyataan Hadi penuh bongkak, sombong'

B Nantha Kumar

Kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menegaskan alasan parti itu menolak menubuhkan kerajaan perpaduan bersama PH selepas PRU15 adalah penuh bongkak dan sombong.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata kenyataan Abdul Hadi itu menunjukkan seolah-olah mereka mempunyai kuasa mutlak menghukum seseorang.

"Kenyataan baru Abdul Hadi membuktikan beliau sangat mudah menghukum orang yang berbeza pandangan sebagai zalim dan sekular... dan sebelum ini (mereka digelar) munafik dan kafir. Ini amat dikesali.

Saifuddin Nasution Ismail
"Presiden PAS dan PAS sekarang menganggap mereka ada kuasa mutlak menghukum orang.

"Ini pemikiran Khawarij yang berbahaya kerana jika kita merujuk sejarah, kumpulan sebegitu boleh bertindak secara ekstrem sehingga membunuh pihak yang tak setuju dengan mereka.

"Pemikiran ekstremisme seperti ini wajar ditolak umat Islam termasuk kita di Malaysia," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Abdul Hadi dipetik sebagai berkata, PAS tetap beristiqamah bersama "Islam yang berkuasa" dan menolak pihak yang dilabelnya sebagai "Islam sekular yang tidak berkuasa".

Walaupun tidak memetik sebarang nama atau parti, kenyataam bekas duta khas bertaraf menteri pada zaman PN itu mengingatkan banyak pihak kepada peristiwa selepas PRU ke-15 pada tahun lalu.

Ia menyaksikan tiada satu pun parti dapat menguasai majoriti kerusi di Dewan Rakyat dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyarankan agar kerajaan perpaduan dibentuk.

Syahadah asas perpaduan

Bagaimanapun PN - yang diketuai Muhyiddin Yassin - menolak cadangan tersebut kerana yakin parti itu memiliki jumlah yang mencukupi untuk menjadi kerajaan.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sebenarnya PAS sebagai pentadbir boleh dianggap gagal seperti yang disaksikan di negeri diperintah parti itu.

"PAS berkuasa penuh di Terengganu. Tiada pembangkang.... PAS berpeluang menunjukkan bagaimana model pemerintahan yang boleh PAS amalkan.

"Yang jelas PAS gagal. PAS menutup kegagalan ini dengan cara mengembang politik dan pemikiran Khawarij," kata Saifuddin.

Tambahnya Abdul Hadi cuba memberi justifikasi kenapa PAS menolak cadangan Agong untuk menyertai kerajaan perpaduan yang digagaskan baginda.

"Justifikasi Abdul Hadi juga penuh bongkak dan sombong.

"Justeru saya mengajak Abdul Hadi menginsafi asas perpaduan sesama Muslim ialah mengucap syahadah.

"Asas perpaduan Muslim dan bukan Muslim pula ialah menjaga kepentingan bersama. Contohnya menjaga keamanan negara, keharmonian dalam kalangan rakyat, memakmurkan ekonomi dan lain-lain. Ini semua adalah kepentingan bersama," kata Saifuddin.

YB Pas sengaja cetus fitnah: Bendera China pada replika naga

Harapandaily

AHMAD MURSI

Replika Naga 588 kaki itu direka khas sempena sambutan Ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Bendera Malaysia diletakkan di satu sisi replika Naga, dan bendera China di satu sisi lain. Boleh tonton di sini:


Ada wakil rakyat Pas hanya tunjukkan video yang menampakkan bendera China.

Banyak komen walaun di hantaran itu membawa mesej bahawa komuniti Cina di Malaysia tidak setia dengan Malaysia.

YB Pas itu sengaja membiarkan fitnah itu berlegar.

Replika naga itu diarak oleh 180 pelajar dari Negeri Melaka dan Negara China sebagai tanda persahabatan.

Pada 17 Januari lalu, Wisma Putra mengeluarkan kenyataan bahawa, 2024 adalah ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia – China.

Pemeteraian hubungan dua negara itu berlaku semasa PM Tun Abdul Razak dan PM China Chou En-Lai pada 31 Mei 1974.

Pelbagai program dirancang antaranya pertukaran lawatan peringkat tinggi, pengeluaran setem peringatan, forum perniagaan dan persembahan kebudayaan.

Strategi Pas memainkan isu perkauman dan agama akan meruntuhkan keharmonian yang telah dibina sejak sekian lama.

DSA: Penyelesaian “Luar Kotak” Soviet Union/Russia Untuk Kesan Kapal Selam Amerika

Sistem "System Obnarujenia Kilvateranovo Sleda" atau SOKS yang unik ini merupakan jalan penyelesaian di luar kotak oleh Soviet Union/Russia dalam usaha mereka untuk mengesan kapal selam nuklear Amerika tanpa perlu bergantung pada sistem sonar, sama ada pasif atau aktif.
BERITAINTERNATIONALSERANTAU
Kazan
Kapal selam kelas-Yasen "Kazan" yang ditauliah kedalam perkhidmatan tentera laut Russia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pada akhir 1980-an, Soviet Union mendakwa ia telah berjaya mengesan kapal selam nuklear Amerika Syarikat, USS Simon Bolivar.

Ia dianggap sebagai suatu kejayaan yang besar kerana selama ini penganalisis tentera Barat menganggap kemungkinan kapal selam mereka terutama Amerika Syarikat dikesan oleh musuhnya terutama Russia/Soviet Union adalah amat amat tipis sekali.

Kejayaan Soviet Union mengesan kapal selam Amerika itu dicapai oleh kapal selamnya dikenali nama, K-147 daripada kelas “Victor”.

Amerika Syarikat pada ketika itu percaya kapal selam nuklearnya adalah amat sukar untuk dikesan oleh Soviet Union kerana beranggapan teknologi sonar untuk mengesan kapal selam berkuasa nuklear mereka yang dimiliki oleh negara Komunis adalah amat ketinggalan daripada segi teknologinya. 

Namun laporan rahsia oleh CIA pada 1972 yang hanya didedahkan pada 2017 menyatakan Soviet Union mempunyai cara tidak konvensional  (unconventional) untuk mengesan kapal selam nuklear Amerika tanpa menggunakan teknologi sonar sekalipun.
SOKS
Sistem SOKS
 
Teknologi bukan sonar yang dibangunkan oleh Soviet Union untuk mengesan kapal selam nuklear Amerika itu dinamakan “System Obnarujenia Kilvateranovo Sleda” atau SOKS.

Kapal selam K-147 Soviet daripada kelas-Victor itu dikatakan telah pun dilengkapi dengan sistem SOKS sejak 1969.

Walaupun tahu tentang kewujudan SOKS, tetapi Amerika dan sekutunya masih belum mengetahui secara mendalam mengenai sistem itu serta keupayaannya menyebabkan mereka memandang rendah keupayaan Moscow untuk mengesan kehadiran kapal selam mereka.

Ia ditambah pula, Soviet Union pada ketika amat menjaga rahsia tentang sistem SOKS ini.

Sistem SOKS ini dipasang di kapal-kapal selam Russia dan daripada pandangan luar sistem itu kelihatan seperti benda-benda tajam (spike) atau gerigi yang dipasang  dibadan kapal selam.
SOKS
USS Simon Bolivar

Sistem yang unik ini merupakan jalan penyelesaian di luar kotak oleh Soviet Union di dalam usaha mereka untuk mengesan kapal selam nuklear Amerika tanpa perlu bergantung pada sistem sonar, sama ada pasif atau aktif.

Dalam laporan rahsia CIA itu, salah satu instrumen SOKS dalam mengesan kapal selam musuh dipanggil “activation radionuclides”, iaitu keupayaan untuk mengesan radiasi lemah yang dihasilkan oleh rektor nuklear milik kapal selam itu.

Instrumen lain SOKS pula dipanggil “gamma ray spectrometer” yang berfungsi mengesan kesan-kesan radioaktif di dalam air laut.

Soviet Union terlebih dahulu menggunakan sistem SOKS terhadap kapal selam nuklearnya sendiri untuk memastikan keefektifannya sebelum mengerahkan supaya sistem itu digunakan untuk mengesan kapal-kapal selam musuh.

Laporan rahsia Amerika itu juga mendedahkan bagaimana kapal selam nuklear yang bergerak telah meninggalkan campuran kimia yang unik dalam gelombang ombak (wake) yang dihasilkannya.
SOKS
Antara bahan kimia yang dihasilkan apabila kapal selam nuklear itu bergerak itu termasuklah logam zinc daripada bahan anti-karat kapal selam itu.

Dengan instrumen SOKS, kapal selam Russia itu berkemampuan mengesan partikel Nickel yang terhasil daripada air laut yang digunakan untuk mendinginkan rektor nuklear kapal selam.

Rektor nuklear kapal selam memerlukan ribuan gelen air sejuk untuk menyejukkannya.

SOKS juga mampu mengesan hydrogen yang dihasilkan oleh sistem oksigen untuk krew kapal selam walaupun ia telah larut dalam air laut.

Walaupun bahan-bahan kimia yang terhasil itu adalah dalam jumlah yang amat kecil tetapi sistem yang canggih dan unik seperti SOKS  mampu mengesan kehadirannya.

SOKS

Dan itulah yang dilakukan oleh Soviet Union dan Russia dalam mengesan kehadiran kapal selam nuklear Amerika Syarikat di merata dunia.

Ia adalah penyelesaian “out of box” Soviet Union/Russia yang amat tidak disangka-sangka oleh Amerika Syarikat.

Kita perlu ambil iktibar. — DSA