Bocor teknologi jet pejuang KF-21: Pejabat KAI diserbu polis

BHarianonline 
Model jet pejuang tempatan Korea Selatan, KF-21. - Foto AGENSI
Model jet pejuang tempatan Korea Selatan, KF-21. - Foto AGENSI
SEOUL: Ibu pejabat Korea Aerospace Industries (KAI) diserbu polis Korea Selatan pada Jumaat berhubung dua warga Indonesia yang didakwa membocorkan teknologi berkaitan projek jet pejuang.

Kedua-dua jurutera itu dituduh melanggar Akta Program Pemerolehan Pertahanan Korea Selatan dan membocorkan teknologi berkaitan KF-21, jet pejuang tempatan Korea Selatan yang sebahagiannya disokong oleh Indonesia.

Serbuan bermula pada Khamis dan diteruskan untuk hari kedua, kata seorang pegawai di biro penyiasatan keselamatan Polis Wilayah Gyeongnam kepada Reuters.

Jurucakap KAI berkata, syarikat berkenaan memberi kerjasama penuh untuk memastikan ia dapat menyediakan apa sahaja yang diperlukan untuk siasatan polis bagi membuktikan kebenaran.

Jurucakap kementerian luar Indonesia bulan lalu memberitahu pemberita, kerajaan negara Asia Tenggara sedang mengumpul bukti mengenai dakwaan itu.

KF-21 adalah projek strategik kedua-dua negara dan mereka akan menguruskan sebarang masalah yang timbul daripada kerjasama ini sebaik mungkin, kata jurucakap itu pada masa itu.

Korea Selatan dan Indonesia menyelesaikan pertikaian mengenai pembiayaan untuk jet pejuang bersama itu pada 2022 dan sejak itu berjanji untuk mengembangkan kerjasama pertahanan.

Terdapat kebimbangan di Korea Selatan bahawa peraturannya tidak cukup kuat untuk menghalang percubaan untuk menyalurkan teknologi daripada syarikat teknologi tinggi. Suruhanjaya Penghukuman, yang diawasi oleh Mahkamah Agung Korea, tahun lalu memutuskan untuk mengeraskan hukuman dan memanjangkan tempoh penjara kerana membocorkan teknologi. - REUTERS

Tiga beranak cedera dipukul lelaki warga Indonesia

Kuala Lumpur post

AMPANG JAYA — Tiga beranak cedera dipukul lelaki warga Indonesia hanya kerana perselisihan faham berkaitan kerja, di Taman Kosas di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, wanita warga Indonesia, 27, itu berada di perhentian bas berhadapan Jalan 1/5, Taman Kosas, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, suspek berusia 39 tahun itu kemudian datang dengan membawa sebatang besi dan memukul wanita itu, adik mangsa yang berusia 24 tahun dan ibunya yang berumur 56 tahun.

Menurutnya, akibat dipukul, mereka mengalami kecederaan di kepala, muka dan tangan.

“Susulan itu, pada 3.45 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menangkap suspek yang juga pembantu kedai di Taman Kosas serta merampas senjatanya.

“Semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia negatif daripada penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula Khamis lalu hingga esok.

“Motif kejadian adalah disebabkan perselisihan kerja antara mangsa dengan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

3 ditahan kes culik, pukul remaja

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO tular
TANGKAP layar video tular di media sosial. FOTO tular
Johor Bahru: Polis menahan tiga lelaki dan sedang mengesan beberapa lagi individu yang disyaki terbabit dalam kejadian memukul dan menculik seorang remaja di kawasan taman perumahan Kota Masai, Pasir Gudang di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, remaja lelaki berusia 17 tahun itu diculik sekumpulan lelaki sebelum dipukul sehingga cedera.

Beliau berkata, kejadian itu turut tular selepas satu video berdurasi satu minit 14 saat dimuat naik di Facebook, semalam.

"Berdasarkan rakaman video yang tular, mangsa dipukul dengan objek dipercayai topi keledar serta ditarik masuk ke dalam bonet kereta Proton Satria berwarna kelabu.

"Mangsa dibawa ke sebuah rumah di kawasan berhampiran dan dipukul dengan kayu cota serta beberapa objek lain sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, tiga lelaki berusia antara 15 hingga 37 tahun ditahan di lokasi berasingan sekitar Pasir Gudang, hari ini, bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 363, Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi terus talian hotline IPD Seri Alam 07-3864222 atau menghubungi terus pegawai penyiasat kes, Inspektor Randall Alister Manggie di talian 011-21010320," katanya.

Budak tertinggal dalam van, jeritan sayup-sayup didengari ketika azan

NURUL IZZATI ZAINI
Gambar yang dimuat naik Ahmad Syafiee di akaun Facebooknya memaparkan murid perempuan berusia tujuh tahun itu diselamatkan selepas terperangkap di dalam bas.
PETALING JAYA – Seorang lelaki tidak menyangka naluri hati untuk mendengar azan di luar pagar rumah akhirnya berjaya menyelamatkan murid perempuan yang terperangkap di dalam bas sekolah.

Ketika kejadian kira-kira pukul 7.15 petang kelmarin, Ahmad Syafiee, 33, bersama anak perempuannya berusia tiga tahun berada di luar pagar di kawasan perumahan di Tampoi, Johor Bahru sebelum terdengar jeritan sayup-sayup yang semakin kuat.

Ahmad Syafiee berkata, jeritan itu mengalihkan perhatiannya ke arah sebuah bas sekolah yang diletakkan di parkir di depan rumahnya sebelum hatinya tergerak untuk memeriksa lebih lanjut.

“Terkejutnya saya apabila ada budak sekolah lingkungan usia tujuh tahun terperangkap dalam bas tu. Saya letakkan anak kecil saya dalam rumah dahulu sebelum kembali ke bas untuk cari cara selamatkan murid itu.

“Keadaan murid tu memang pucat kerana kepenatan menangis tambah pula kelmarin cuaca di sini memang sangat panas terik. Saya anggap anak kecil tu tertidur kerana penat balik dari sekolah.

“Setelah gagal buka pintu bas yang berkunci, saya cuba keluarkan murid tersebut melalui tingkap belakang yang boleh dibuka walaupun agak tinggi. Murid tersebut campak dulu barang-barangnya sebelum dia panjat keluar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambah Ahmad Syafiee, setelah itu kanak-kanak tersebut dibawa untuk berbuka bersama keluarganya kerana dilihat berada dalam keadaan amat keletihan dan kelaparan.

Bercerita lanjut, Ahmad Syafiee berkata, dia menghubungi ibu kanak-kanak tersebut setelah terlihat ‘tag’ nombor telefon pada beg murid perempuan itu.

“Lepas saya berjaya menghubungi nombor telefon itu, saya terus terdengar suara sayu seorang ibu yang mencari anaknya. Saya beritahu tentang kejadian yang menimpa murid perempuan itu.

“Saya berikan alamat rumah dan tak lama lepas tu ibunya datang ambil anaknya. Ibunya cerita, pemandu kata murid ni tak naik bas sekolah. Katanya, silap pemandu tak tengok bas sebelum ‘off-service’.

“Pesanan saya kepada syarikat-syarikat bas supaya kisah ini dijadikan iktibar untuk tambah baik prosedur ‘check seat’ sebelum hentikan servisnya,” katanya.

Terdahulu, hantaran Ahmad Syafiee di media sosial mendapat perhatian pengguna media sosial apabila lebih 2,400 tanda suka dan 1,300 perkongsian.

Beberapa gambar turut dimuat naik memaparkan murid tersebut yang sedang makan akibat kelaparan dan bas sekolah yang dinaikinya ketika kejadian. – KOSMO! ONLINE

‘Bom Raksasa’ meletup di Krasnogorovka

KOSMO!
LETUPAN akibat penggunaan bom raksasa di Ukraine baru-baru ini. - Foto Twitter
MOSCOW – Tentera Russia menggunakan bom pemusnah bersaiz besar yang menghasilkan bola api setinggi 45 meter atau menyamai ketinggian bangunan 20 tingkat, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Bom tersebut berupaya memusnahkan keseluruhan blok perumahan di Ukraine.

Digelar ‘Bom Raksasa’, senjata mega seberat 1,500 kilogram untuk sebutir bom itu menghancurkan sebuah bangunan apabila meletup di Krasnogorovka, dekat Donetsk, baru-baru ini.

Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan pengeluaran besar-besaran bom yang paling berat di dunia itu, FAB-1500-M54 baru-baru ini selepas melihat kekuatannya memusnahkan sasaran.

Satu rakaman video menunjukkan sebutir bom tersebut menyasarkan sebuah bandar di Ukraine dan merempuh sebuah bangunan lapan tingkat.

Rakaman menunjukkan senjata itu meluncur di langit sebelum jatuh di kawasan perumahan yang tenang dan meletup dengan mengeluarkan bola api besar setinggi 20 tingkat.

Bom membawa lebih 675 kilogram bahan letupan itu turut menyebabkan kepulan asap tebal yang menjangkau jauh dan luas ke seluruh bandar itu.

Bom FAB-1500 dilaporkan boleh meluncur sejauh 40 kilome­ter dan mengenai sasaran dengan tepat menggunakan panduan satelit atau navigasi laser.

Apabila mengenai sasaran, bom itu boleh menyebabkan kemusnahan dalam radius 200 meter.

Penggunaan bom tersebut menimbulkan kebimbangan kepada Ukraine kerana saiz bom yang besar dan sukar untuk menghalangnya.

Ketua Tentera Udara Ukraine, Mykola Oleshchuk pertama kali memberi amaran pada November 2023 bahawa Russia sedang melakukan persediaan untuk menempatkan bom FAB-1500 secara besar-besaran.

Pada Februari lalu, Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu dilihat melawat kilang yang bertanggungjawab menghasilkan bom tersebut.

Media pro-Moscow melapor-kan bom itu sedang dalam pengeluaran sejak permulaan perang Ukraine lebih dua tahun lalu tetapi bilangannya telah digandakan.

FAB-1500-M54 dilihat sebagai kemajuan besar pembuatan bom di Russia.

Ini kerana ia adalah yang senjata konvensional terbesar selepas bom KAB-1500 buatan Kesatuan Soviet pada tahun 1970-an.

Putin sebelum ini berkata, beliau mempunyai bom untuk setiap situasi dan telah memberi jaminan kepada dunia bahawa senjata dimiliki Russia mampu melakukan kemusnahan secara besar-besaran.

Sebelum ini, Russia mengumumkan ujian tembakan peluru berpandu balistik Yars yang boleh membawa peledak nuklear.

Video yang dikeluarkan oleh media negara itu, menunjukkan senjata seberat 50,000 kilogram dan sepanjang 22.86 meter itu dilancarkan daripada platform pelancar peluru berpandu mudah alih. – AGENSI

Tindakan keras wajib dikenakan terhadap majikan curang ini untuk dijadikan pengajaran pihak lain

Empat majikan ditahan guna dokumen palsu mohon RTK 2.0

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
Penguat kuasa Imigresen memeriksa pekerja warga asing yang melakukan kerja pembersihan di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil. NSTP/Ihsan Imigresen
Penguat kuasa Imigresen memeriksa pekerja warga asing yang melakukan kerja pembersihan di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil. NSTP/Ihsan Imigresen
KUALA LUMPUR: Empat syarikat perladangan dikesan cuba membuat permohonan Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) untuk menggajikan ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menggunakan dokumen dan maklumat palsu.

Perkara itu dibongkar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kuala Lumpur menerusi Operasi Sapu (Ops Sapu) yang dilaksanakan kelmarin dan semalam.

Operasi dijalankan hasil risikan selama 30 hari, selain pemantauan ke pejabat pengeluar dokumen dari enam negeri dan aduan orang awam.

Pengarah Imigresen Negeri, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata empat pemilik syarikat terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki itu ditahan kerana dipercayai cuba memalsukan permohonan RTK 2.0 untuk menggajikan PATI bagi kuota pekerja asing mereka.

"Tangkapan adalah hasil tiga Ops Sapu oleh Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur di syarikat yang terletak di sekitar Kuala Lumpur.

"Seorang lagi majikan dipanggil ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta bagi memberi keterangan lanjut," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, modus operandi yang dikesan adalah dengan memalsukan dokumen, menggunakan pendaftaran serta alamat syarikat yang tidak wujud.

"Pemilik syarikat didapati memalsukan beberapa dokumen permohonan dan mengemukakan alamat syarikat yang mengelirukan serta sengaja didaftarkan bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa dan lain-lain dokumen syarikat yang dipercayai turut dipalsukan.

"Tindakan ini bertujuan mendapatkan kelulusan permohonan ratusan kuota untuk pekerja warga asing yang memohon melalui syarikat mereka dalam Program RTK 2.0," katanya.

Mohammed Saupee berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 56(1)(k), Akta Imigresen 1959/63 iaitu cubaan memperoleh untuk diri orang lain (pekerja warga asing) suatu pas dengan memberi kenyataan palsu.

Katanya, sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM30,000 dan penjara lima hingga 10 tahun dan sebatan tidak lebih enam sebatan.

"Semua majikan yang berurusan dalam mana-mana permohonan perlu bertanggungjawab memastikan semua dokumen yang dikemukakan ketika permohonan adalah tulen dan diperoleh daripada agensi pengeluar dokumen dan bukan melalui ejen atau pihak ketiga.

"Majikan yang sudah mendaftarkan PATI untuk program RTK 2.0 diminta segera hadir ke pejabat RTK 2.0 Imigresen Kuala Lumpur untuk menyelesaikan proses verifikasi.

"Ini bagi membolehkan urusan pengeluaran permit kerja sementara disempurnakan tanpa menunggu sehingga saat akhir dan bagi mengelakkan sebarang kesulitan," katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan semalam, sebuah syarikat pembersihan dikesan menggajikan 15 PATI Indonesia sebagai pekerja mereka untuk kerja pembersihan di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil.

Mohammed Saupee berkata, menerusi operasi itu, seramai 15 PATI terdiri daripada lima lelaki dan 10 wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun ditahan di sekolah sukan terbabit.

"Dua saman dikeluarkan terhadap wakil sekolah sukan terbabit untuk diambil keterangan lanjut berhubung tangkapan 15 PATI yang didapati digaji secara haram sebagai pekerja perkhidmatan pembersihan di premis mereka.

"Buat masa ini, kesemua PATI itu ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pas atau permit sah untuk tinggal di Malaysia.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c), akta sama iaitu tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan," katanya.

Mohammed Saupee menegaskan, tindakan pemilik atau operator premis serta majikan melindungi PATI dengan membenarkan mereka berada di dalam premis adalah suatu kesalahan, apatah lagi menggajikan PATI.

Rekod 131 tahun Liverpool dipadam

KOSMO!
SALAH menjadi pemain Liverpool pertama berjaya menjaringkan lebih 20 gol selama tujuh tahun berturut-turut. – AFP
LIVERPOOL – Pengendali Li­verpool, Jurgen Klopp mengharapkan penggempur utama, Moha­med Salah terus cemerlang dalam usaha membantu pasukan memburu gelaran quadruple pada kempen musim ini.

Sebagai rekod, Salah mempamerkan prestasi cemerlang untuk memastikan The Reds mara ke suku akhir Liga Europa selepas menewaskan Sparta Prague 6-1 pada aksi kedua kalah mati pusingan 16 terbaik di Stadium Anfield awal pagi semalam.

Pada aksi tersebut, Liverpool berjaya meraih gol menerusi Darwin Nunez, Salah, Bobby Clark, Dominik Szoboszlai selain dua jaringan Cody Gakpo untuk mengesahkan kemenangan 11-2 secara agregat.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh pemain antarabangsa Mesir itu jelas terbukti apabila menjadi tonggak Liverpool pertama dalam tempoh 131 tahun yang menjaringkan lebih 20 gol buat tujuh tahun berturut-turut.

Kata Klopp, Salah adalah salah seorang pemain terbaik yang pernah dibimbingnya kerana tidak pernah memberikan masalah selain konsisten sepanjang musim.

“Sejak tujuh tahun bersama, saya rasa dia tidak pernah berada pada prestasi yang teruk, sebaliknya kekal konsisten sekiranya bebas daripada kecederaan.

“Selain itu, dia juga telah mempamerkan peningkatan drastik dan jika dia tidak ce­dera pada Ja­nuari lepas, mungkin dia sudah mendapatkan 20 gol yang direkodkan lebih awal.

“Apa yang pasti, saya sangat gembira apabila dia kini sudah cergas sepenuhnya dan berjaya menamatkan ­saingan secara 90 minit meskipun ada ketika saya sudah mahu gantikan de­ngan pemain lain,” katanya.

Liverpool kini berada di landasan terbaik untuk memburu trofi Liga Europa, Piala FA dan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berjaya menjulang Piala Liga Inggeris (EFL) bulan lalu. – AGENSI

Lagi masalah warga asing: Mereka selalu mabuk, bergaduh kami risau- Penduduk

ASLIZA MUSA
MEOR Hezbullah (kiri) memeriksa dokumen warga asing yang ditahan dalam Op Pintu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak di Rumah Pangsa Bercham, Bercham, Perak, hari ini.
IPOH – “Bila mabuk, mereka buat bising dan bergaduh. Keadaan ni buat kami bimbang,” luah penduduk warga tempatan di Rumah Pangsa Bercham, di sini hari ini.

Hanya mahu dikenali sebagai Kamal Izham, 30, dia mendakwa kebanjiran terlalu ramai warga asing di perumahan berkenaan menyebabkan penduduk berasa tidak selesa.

“Setakat ini, mereka tidak mengganggu orang tapi bila mabuk, mereka akan buat bising dan bergaduh sesama sendiri sehinggakan ada yang cedera.

“Bilangan warga asing di sini semakin hari semakin bertambah. Apabila terlalu ramai, ia dah jadi seperti perkampungan mereka.

“Buat masa sekarang, memanglah tidak kacau tapi akan datang kita tidak tahu. Kami bimbang keselamatan keluarga terutama wanita dan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui semasa Op Pintu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, di sini.

Bagi penduduk, K. Satthiya, 42, kebanjiran warga asing di perumahan berkenaan mula ketara sejak lima tahun lalu apabila kebanyakan unit kediaman dijadikan hostel pekerja.

Katanya, faktor sewa rumah yang rendah antara RM250 hingga RM450 sebulan selain berhampiran lokasi strategik dengan kemudahan asas menjadikan perumahan itu tumpuan golongan berkenaan.

“Kebanyakan yang tinggal di sini adalah warga Indonesia dan Bangladesh. Mereka ini bekerja sebagai buruh binaan, pencuci rumah dan di pasar raya.

“Masa mula-mula mereka datang ke sini tidak ramai pun sebab kebanyakannya seorang diri tapi bila bertahun duduk di sini, mereka mula membina keluarga dan jumlahnya semakin ramai,” ujarnya.

Dalam operasi bermula pukul 12.30 tengah malam yang disertai anggota penguatkuasa JIM Perak dibantu Batalian 1, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, sebanyak 15 blok kediaman diperiksa membabitkan 560 unit rumah.

Sementara itu Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, dalam operasi itu, seramai 358 orang warga asing diperiksa di mana 158 orang daripada mereka ditahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 93 orang terdiri daripada lelaki, 54 perempuan dan 11 kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 60 tahun.

“Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi ini adalah dari Bangladesh, Indonesia, China, Pakistan, Nepal, India, Sri Lanka, Myanmar dan Vietnam.

“Kesemua PATI itu disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Sekali lagi Google buat khianat terhadap Malaysia

Google salah lagi lapor nilai ringgit, kata BNM

FMT Reporters

Insiden kali kedua berlaku semalam apabila enjin carian itu papar ringgit pada paras 4.98/USD, berbanding tukaran sebenar dalam lingkungan 4.70.

BNM berkata, pelaporan tidak tepat tukaran wang boleh mengakibatkan implikasi serius terhadap pasaran kewangan.
PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) buat kali kedua menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit 4.98 berbanding dolar Amerika Syarikat diterbitkan Google semalam.

Menurut kenyataan, sebaliknya kadar tukaran ringgit pada 15 Mac berada pada 4.7015 pada 9 pagi dan 4.7045 pada 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti diterbitkan dalam laman web BNM.

“Insiden ini merupakan kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat pada tahun 2024. BNM telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Feb 2024.

“Susulan insiden salah lapor yang kedua ini, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang punca pelaporan yang tidak tepat ini berlaku,” menurut kenyataan itu.

BNM berkata, isu berulang itu telah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan yang lalu.

Bank pusat turut menasihatkan orang ramai merujuk data rasmi, termasuk data daripada BNM.

“Orang ramai juga perlu mengelak daripada menggunakan, menyebarkan atau membuat spekulasi berhubung dengan sumber yang tidak disahkan sebagai rujukan bagi ringgit,” katanya.

Katanya, kadar pertukaran ialah data yang peka pasaran dan sebarang laporan yang tidak tepat serta penyebaran data yang tidak disahkan boleh mengakibatkan implikasi serius terhadap pasaran kewangan.

Dr Maza: Kita patut puji dan berterima kasih kepada Perdana Menteri

SITI NUR ZAWANI

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin memuji tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan pendirian dan pembelaannya terhadap Palestin di hadapan negara Barat.

Menulis di Facebook miliknya, Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, pendirian Anwar itu patut dipuji walau apa pun perbezaan politik yang ada.

Kenyataan beliau itu hadir ketika penyokong pembangkang melihat usaha Anwar bercakap tentang Palestin di pentas antarabangsa tidak bermakna apa-apa.

“Kita patut memuji dan berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang telah menyatakan pendirian dengan baik dan tegas berhubung dengan isu Palestin di hadapan pihak Barat. 

“Apa pun perbezaan politik yang ada, hormatilah kenyataan YAB PM negara kita yang mewakili suara majoriti kita dalam isu tersebut,” katanya.

Dr Maza pada masa sama berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu jelas tidak mengambil hati Barat dan tidak apologatik dengan kenyataan yang dikeluarkannya di Jerman baru-baru ini.

Sebelum ini kritikan Perdana Menteri Malaysia terhadap kurangnya tindakan negara Barat terhadap kekejaman Israel di Gaza meraih sokongan individu berpengaruh di seluruh dunia.

Anwar menarik perhatian antarabangsa apabila beliau mengkritik negara Barat semasa sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada 11 Mac, kerana kurangnya tindakan mereka terhadap kekejaman Israel di Gaza.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan enam hari ke Jerman ketika itu, mempersoalkan kemanusiaan Barat dan mengutuk sikap “selektif” dan “ambivalen” mereka terhadap konflik itu.

Wartawan warga British-Amerika yang terkenal Mehdi Hasan berkata Anwar kini mewakili suara majoriti rakyat dunia yang mempertahankan hak warga Palestin.

Sewa anak kawan bawa pergi mengemis

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Alor Setar: Masuk ke negara ini sebagai pelancong menggunakan pasport antarabangsa yang dicop secara sah tetapi rupanya datang untuk mengemis di negara ini.

Itu taktik sindiket rakyat asing ke negara ini untuk melakukan kegiatan meminta sedekah atau pengemis untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, tidak dapat dinafikan ada warga asing yang sanggup melakukan perbuatan seperti meminta sedekah atau pengemis terutama di bulan Ramadan setiap tahun.

Beliau berkata, malah ada yang masuk ke negara ini seolah-olah untuk melancong tetapi menukar 'uniform' sebaik tiba di negara ini untuk meminta sedekah.

"Apabila sudah mencapai sasaran wang yang diperoleh mereka akan pulang semula ke negara asal melalui sempadan Malaysia-Thailand sama ada melalui Bukit Kayu Hitam atau Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Anak Bukit, di sini.

Mohd Ridzzuan berkata, peningkatan pengemis atau gelandangan warga asing ini boleh dilihat di sekitar kawasan tumpuan iaitu di bandar seperti di hadapan bank, pekan, Bazar Ramadan atau sekitar masjid di Kedah.

Beliau berkata, malah ada juga yang menggunakan kanak-kanak untuk menarik simpati orang ramai bagi mendapatkan wang selain mempunyai elemen penipuan dan eksploitasi.

"Mereka sanggup menyewakan anak rakan untuk menjalankan aktiviti ini bagi mendapatkan wang.

"Selain itu, keuntungan yang diperoleh hasil mengemis juga berlipat ganda berbanding bulan biasa dan mereka bijak mengambil kesempatan terhadap sifat pemurah rakyat negara ini.

"Kemunculan mereka ini bukan saja bebas menjalankan aktiviti ini (meminta sedekah) malah turut mencacatkan suasana persekitaran di kawasan itu," katanya.

Mohd Ridzzuan berkata, mereka akan masuk ke negara ini melalui kenderaan persendirian namun apabila tiba di negara ini ada kemungkinan mereka dibayar upah oleh pihak lain di negara ini untuk melakukan aktiviti mengemis dan meminta sedekah.

Beliau berkata, sebelum ini modus operandi warga asing ini adalah dengan menjual tisu atau makanan ketika meminta sedekah tetapi pada bulan Ramadan, cenderung untuk meminta wang cari orang ramai.

Selain itu, mereka juga dilihat berani, agresif dan secara terangan mengemis di kawasan berkenaan.

"Kebanyakan warga asing yang dikesan melakukan kegiatan ini adalah warga Thailand, Myanmar, Bangladesh, Pakistan dan lain-lain.

"Namun, hasil semakan sepanjang tahun lalu tiada rekod Notis Penolakan Masuk (NPM) ke atas golongan kuturayau atau peminta sedekah di bawah Seksyen 8(3)(g) Akta 155 yang masuk melalui ICQS Bukit Kayu Hitam atau Kota Putra di Durian Burung.

"Kemasukan warga asing berkenaan juga tidak dapat dikenal pasti kerana tidak menunjukkan ciri-ciri kuturayau atau peminta sedekah semasa pemeriksaan di kaunter.

"Kita boleh mengambil tindakan di bawah Akta 155 Seksyen 8(3)(g), imigran terlarang - gelandangan dan pengemis biasa (seseorang tanpa rumah yang menetap atau kerja tetap yang merayau dari satu tempat ke satu tempat dan hidup dengan mengemis)," katanya.

Mohd Ridzzuan berkata, bagaimanapun pihaknya hanya menerima satu rekod serahan orang kena tuduh (OKT) dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan kes pengemis pada 13 Februari lalu untuk tindakan JIM iaitu Perintah Tahan dan Usir.

Beliau berkata, selaras dengan arahan penguat kuasaan kawasan 'hot spot' JIM Kedah akan mempertingkatkan penguatkuasaan di lokasi- lokasi tumpuan warga asing di enam daerah di negeri ini iaitu di Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Kulim dan Pendang.

"Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada pihak kami (JIM) untuk memudahkan tindakan diambil sekiranya mendapati ada warga asing yang dikesan melakukan aktiviti mengemis atau mengutip derma di kawasan mereka.

"Kita akan membuat pemeriksaan secara menyeluruh termasuk memeriksa dokumen perjalanan dan sebagainya sebelum tindakan lanjut dilakukan.

"Kita akan siasat kes mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta 155 jika tidak memiliki suatu pas yang sah yang dikeluarkan kepadanya bagi memasuki Malaysia," katanya.

Nenek tidak pulang rumah ditemukan mati di hutan

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
PASUKAN penyelamat mengangkat mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN penyelamat mengangkat mayat mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Beaufort: Seorang wanita warga emas yang tidak pulang ke rumah sejak semalam ditemukan meninggal dunia di hutan Kampung Binunuk, di sini, hari ini.

Mangsa, Kamariah Sungkim, 74, ditemukan pada jarak 1.7 kilometer dari bahagian belakang rumah mangsa pada 2.52 petang, sehari selepas mangsa disedari hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, panggilan kecemasan berkenaan kehilangan mangsa diperoleh daripada polis pada 10 pagi hari ini.

Katanya, sepasukan anggota serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan segera ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Berdasarkan maklumat, mangsa keluar ke kebun kira-kira 9.30 pagi pada semalam dan disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah sehingga petang.

"Mangsa berjaya ditemukan oleh agensi penyelamat dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi keseluruhan pada 3 petang.

Otak bersepai dalam helmet, pembonceng maut bertembung lori di Gelang Patah

NUR IFTITAH ROZLAN
Tangkap layar memaparkan keadaan mangsa kemalangan di Gelang Patah, Johor Bahru, Johor pada Jumaat.
SEORANG remaja perempuan maut selepas motosikal yang diboncengnya terlibat dalam nahas dengan sebuah lori di Gelang Patah, Johor Bahru, Johor pada Jumaat.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa yang membonceng motosikal ditunggang rakannya berusia 19 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superitenden Ibrahim Mat Som berkata, penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HAS).

"Siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan tidak mengalami kecederaan.

"Punca kemalangan masih dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Identiti dan usia mangsa bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.

Berdasarkan beberapa gambar dan video kemalangan yang dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp, kedua-dua mangsa berkenaan berada dalam keadaan yang sangat parah.

Impak daripada kemalangan itu, kepala pembonceng berkenaan dipercayai berkecai dan serpihan tempurung kepalanya memenuhi ruangan topi keledar mangsa.

Mereka turut dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian. — Majoriti

DSA: Pesawat RAF Bawa Setiausaha Pertahanan Britain Kena “Jamming” Oleh Tentera Russia

DSA
Jamming
RAF Dassault 900LX Falco
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sistem GPS pesawat Tentera Udara British (Royal Air Force – RAF) membawa setiausaha pertahanan negara itu Grant Schapps dilaporkan telah “diganggu” (jamming) semasa ia melalui ruang udara wilayah Kaliningrad milik Russia.

Media-media Britain dan sumber pertahanan negara itu menyalahkan Russia atas insiden yang dianggap sebagai “amat tidak bertanggungjawab” dan mendedahkan pesawat milik RAF serta penumpangnya kepada risiko bahaya yang tinggi.

Mereka mendakwa apa yang dialami oleh pesawat RAF membawa setiausaha pertahanan Britain itu adalah serangan peperangan elektronik (Electronic Warfare – EW) oleh pihak Russia.

“Akibat serangan elektronik daripada Russia itu, telefon-telefon pada pesawat itu gagal dihubungkan dengan sistem WIFI, selain menyebabkan pesawat itu terpaksa menggunakan sistem navigasi yang lain untuk memastikan ia sampai ke destinasi dengan selamat,” menurut laporan oleh media Britain.

Ketika kejadian pesawat RAF membawa setiausaha pertahanan Britain itu sedang dalam penerbangan pulang selepas berada di Poland untuk menyaksikan latihan perang besar-besaran NATO di Poland.
Jamming
Setiausaha Pertahanan Britian Grant Schapps ketika melawat anggota tentera Britain di Poland.
Ketika berada di ruang udara wilayah Kaliningrad, sistem Global Positioning System (GPS) milik pesawat Dassault 900LX Falcon dinamakan “Envoy” milik RAF itu telah diganggu oleh serangan elektronik selama 30 minit ketika ia berada di ruang udara wilayah Russia itu.

Kaliningrad itu berada di antara Poland dan Lithuania.

Setiausaha Pertahanan Britain itu diberikan jaminan oleh pegawai-pegawainya bahawa serangan elektronik oleh Russia itu tidak mengancam keselamatan pesawat membawanya itu.

Bagaimana sumber pertahanan Britain sebagaimana dipetik oleh media-media negara itu menyatakan bahawa walaupun RAF bersedia untuk menghadapi situasi itu, namun ia tetap menimbulkan risiko tidak sepatutnya kepada pesawat awam.

“Ia berkemungkinan boleh mendatangkan bahawa kepada nyawa penumpang. Tiada alasan untuk kejadian itu dan adalah amat tidak bertanggungjawab di pihak Russia, “ kata sumber pertahanan Britain itu.
Jamming
Pesawat RAF Dassault 900LX Falcon
Satu lagi sumber menyatakan bahawa insiden serangan elektronik atau “jamming” sering berlaku terhadap pesawat-pesawat yang melalui ruang udara Kaliningrad.

Insiden yang menimpa pesawat membawa setiausaha pertahanan Britain Grant Schapps di ruang udara Kaliningrad itu bukanlah kali pertama dialami oleh pesawat-pesawat negara itu.

Pada 2021, pesawat-pesawat yang baru sahaja meninggalkan pangkalan udara RAF di Akrotiri di Cyprus dilaporkan berhadapan dengan serangan elektronik Russia sehingga menyebabkan sistem GPS mereka gagal berfungsi.

Pesawat-pesawat yang terlibat itu dikatakan adalah Eurofighter Typhoon dan F-35 serta pesawat pengangkut A400M.

Walaupun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kerosakan atau kemalangan terhadap pesawat-pesawat kombat Britain, namun pihak British menuduh Russia bertanggungjawab melakukannya terutama anggota tenteranya yang ditempatkan di Syria.
Krasukha
Sistem “Krasukha EW” tentera Russia
Poland dan beberapa negara Baltik juga melaporkan peningkatan insiden-insiden gangguan GPS sejak beberapa bulan lepas.

Institut Kajian Perang (Institute for the Study of War) dalam laporannya menyatakan bahawa kawasan-kawasan di utara dan timur Poland berhadapan dengan gangguan GPS yang dipercayai berpunca daripada serangan elektronik Russia.

Dengan peningkatan penggunaan dron dalam konflik di antara Russia-Ukraine, penggunaan peperangan elektronik seperti “jamming” sistem GPS telah mencatatkan peningkatan bukan sahaja di Ukraine tetapi juga negara-negara sekitarnya. — DSA

Rasuah penjawat awam, 3 pemilik syarikat ditahan SPRM

FMT Reporters

Tiga pemilik syarikat ditahan susulan operasi khas SPRM bersama LHDN dan BNM.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga pemilik syarikat, termasuk dua bergelar ‘Datuk’, kerana disyaki memberi rasuah kepada penjawat awam bagi tujuan tidak mengambil tindakan terhadap penyeludupan.

Menurut sumber, mereka disyaki memberi rasuah kepada penjawat awam bagi tujuan tidak mengambil tindakan terhadap penyeludupan tembakau, rokok, dan arak melalui pintu masuk negara.

Penahanan ini susulan operasi khas Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan Bank Negara Malaysia.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka,” menurut sumber.

Mereka yang ditahan dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2018 hingga 2023, tambahnya.

Katanya lagi, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai ditahan semalam pada kira-kira 11.30 malam, di pejabat SPRM Putrajaya ketika diminta hadir memberi keterangan.

Pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer peribadi, wang tunai, rumah, dan beberapa buah kereta mewah turut disita.

Pengarah AML SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tiga suspek tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM.

Sumber memaklumkan suspek pertama direman tiga hari bermula hari ini sehingga 17 Mac, manakala suspek kedua dan ketiga yang bergelar ‘Datuk’ direman sehari bermula hari ini.

Sementara itu, SPRM turut mendapat kebenaran untuk menyambung reman dua lagi suspek yang ditahan pada Isnin dan Selasa lalu berhubung kes yang sama.

Misteri mayat di dapur

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

KEADAAN mayat mangsa yang hampir reput di rumah kuarters sebuah agensi kerajaan di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Kota Kinabalu: Panggilan tidak dijawab sejak beberapa hari lalu membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas yang ditemui mati di kuarters agensi kerajaan di Jalan Sulaman, di sini, Isnin lalu.

Mayat lelaki berusia 66 tahun itu ditemui mati oleh anak saudaranya yang pulang ke kediaman itu selepas selesai bertugas di luar kawasan sejak lima hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian dapur rumah itu kira-kira jam 9.30 malam.

Katanya, mangsa dikatakan tinggal seorang diri berikutan dua anak saudaranya tidak pulang ke rumah kerana masing-masing bertugas di luar kawasan.

"Siasatan awal mendapati, mangsa mempunyai sejarah penyakit paru-paru berair dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) Februari lalu.

"Anak saudara mangsa mendakwa pernah cuba menghubungi mangsa namun panggilannya tidak dijawab. Dia hanya mengetahui kematian mangsa ketika pulang ke rumah Isnin lalu," katanya semalam.

Mohd Zaidi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dipanggil ke lokasi kejadian,..

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Faiz Na’aman: Tapi adakala kita harus hijrah, jawapannya kepada Hassan Karim

Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA: Bekas ahli majlis pemimpin tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman yang memohon untuk menyertai PKR baru-baru ini menyifatkan teguran wakil rakyat parti itu, Hassan Karim, sebagai ‘rasional’.

“Teguran Hassan tersebut ada rasional. Jika saya berada di tempatnya pun mungkin saya akan menasihati kepimpinan parti,” katanya kepada FMT.

“Namun kita tidak boleh pukul rata atau buat sangkaan mudah dalam hal ini kerana tidak semua watak yang hendak menyertai PKR sama latar belakangnya.”

Semalam, Hassan berkata bekas pemimpin parti lain yang mahu sertai PKR perlu ditapis dan disemak terlebih dahulu latar belakang mereka.

Beliau mengalu-alukan pemimpin besar untuk menyertai PKR dengan syarat mereka jujur menerima dasar dan cita-cita PKR.

Hassan mengulas kenyataan Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail yang menjangkakan lebih ramai bekas pemimpin daripada Perikatan Nasional akan menyertai PKR.

Faiz menyatakan keyakinan akan kebijaksanaan pengurusan tertinggi PKR dalam mempertimbangkan permohonannya.

“Adakalanya seseorang itu terpaksa berhijrah wadah setelah menimba pengalaman dan melihat kepincangan saf kepimpinan terdahulu yang terkeluar daripada prinsip asal perjuangan untuk menentang korupsi, mempromosi semangat kebangsaan untuk semua warganegara, serta melawan ekstremisme pihak yang menggunakan sentimen 3R (raja, kaum, dan agama) untuk menghalalkan matlamat politik.”

Faiz mengumumkan hasrat untuk menyertai PKR pada awal minggu lalu, selepas meninggalkan Bersatu pada Ogos.

Beliau berkata sejak keluar Bersatu, beliau secara terbuka menyatakan sokongan kepada PKR, Pakatan Harapan, dan pentadbiran Anwar Ibrahim.

“Saya tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti politik sebelum ini kecuali Bersatu,” katanya.

Penasihat Aman Palestin maut akibat serangan bom di Gaza

Wartawan BH
bhnews@bh.com.my
Keadaan kemusnahan kereta dinaiki mangsa, Nidal Sheikh (gambar) ketika dibom Israel di Gaza, semalam
Keadaan kemusnahan kereta dinaiki mangsa, Nidal Sheikh (gambar) ketika dibom Israel di Gaza, semalam
KUALA LUMPUR: Seorang lagi Ahli Lembaga Penasihat Aman Palestin Gaza, terkorban dalam serangan bom oleh tentera rejim Israel di Gaza, semalam.

Mangsa, Nidal Sheikh Al-Eid turut dikenali sebagai Abu Yassin, yang juga Ketua Jawatankuasa Kecemasan di Rafah, syahid bersama Timbalan Ketua Operasi Polis, Mahmoud Abu Hasna, ketika mereka berada dalam sebuah kereta.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, ketika berkongsi tragedi itu, merakam jutaan penghargaan atas jasa dan pengorbanan As-syahid Nidal sepanjang bersama dengan Aman Palestin.

"Keberadaan beliau sebagai Ahli Majlis Penasihat Aman Palestin, memberi impak yang besar terhadap pergerakan dan misi bantuan Aman Palestin di Gaza.

"Kami menjadi saksi bahawa beliau adalah 'dinamo' pada kerja kemanusiaan di Gaza. Beliau sentiasa mengorbankan masa dan tenaga dalam membantu rakyat Palestin yang berada di dalam kesusahan.

"Pemergian beliau adalah suatu kehilangan besar buat rakyat Palestin dan umat Islam secara keseluruhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan insiden itu, Aman Palestin mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan rejim pengganas Israel yang telah memperlakukan rakyat awam Gaza seperti binatang dan tidak berperikemanusiaan.

Sebagai rekod, selain Nidal Al Sheikh, tiga orang kakitangan Aman Palestin telah syahid bersama keluarga mereka sejak bermulanya serangan rejim Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, menjadikan keseluruhannya empat orang setakat ini, merangkumi dua ahli majlis penasihat dan dua kakitangan.

As-syahid Toriq Musa Al Najjar yang juga bekas kakitangan Aman Palestin di Gaza, syahid bersama seluruh keluarganya pada 12 November 2023.

As-syahid Tholal An-Nakhalah yang juga Ahli Majlis Penasihat Aman Palestin Gaza syahid bersama seluruh keluarganya pada 12 November 2023.

As-syahidah Rabab Zuhair Al-Masri selaku Pengurus Jabatan Program Tajaan Aman Palestin Gaza syahid bersama 21 ahli keluarganya pada 7 Februari 2024.

Ketiga-tiga mereka terkorban dalam serangan bom rejim Israel terhadap kediaman masing-masing.

Ada yang nak lancar kempen boikot bazar Ramadan

KOSMO!

PETALING JAYA – Memasuki hari ketiga umat Islam berpuasa, pelbagai perkongsian dan maklum balas diberikan oleh orang ramai terutama melibatkan harga jualan di bazar Ramadan yang dikatakan terlalu mahal.

Ramai beranggapan harga disediakan untuk setiap juadah tidak masuk akal apabila ada yang menjual kuah kosong dengan caj RM3.

Tinjauan Kosmo! di platform media sosial mendapati, beberapa pengguna mula merangka strategi untuk melancarkan kempen boikot bazar Ramadan dengan tujuan mahu memberi kesedaran kepada golongan peniaga terlibat.

Pengguna laman X @chairmanGLC, memuat naik ciapan dengan mengatakan ‘Jangan sampai netizen boikot bazar Ramadan’ susulan dakwaan yang dibuat pengguna Roni Yaakub mengatakan ada peniaga menjual sekeping telur mata goreng pada harga RM4.50.

Dalam pada itu, antara perkongsian lain dikongsikan pengguna media sosial, rata-rata lauk di bazar Ramadan dijual bermula RM7 hingga RM14 untuk satu senduk, manakala aneka pilihan nasi ditawarkan serendah RM10 sebungkus.

Sementara itu, ada juga yang mempertikai, kebanyakan peniaga bazar Ramadan adalah peniaga sama berniaga di pasar malam.

Namun, harga jualan makanan mereka jauh berbeza dengan kenaikan RM3 hingga RM7 ringgit meskipun menu yang sama.

“Aku cam lebih dari lima orang peniaga sama yang berniaga di pasar malam dan sekarang berniaga di bazar Ramadan. Kenapa ya aku beli minggu lepas nasi ayam dia masih RM6 sebekas. Hari ini aku beli pada mak cik sama harga naik sampai RM10. Jauh sangat beza.

“Berapa puluh ribu sewa tapak bazar sampai peniaga naik harga hampir dua kali ganda. Kalau aku lancar kempen boikot Bazar, ada yang nak jadi ahli?,” soal Azriuddin dalam hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Kosmo! melaporkan kisah tular seorang pembeli yang terkejut apabila pulut panggang yang dibelinya keras seperti kayu dan tidak dapat dimakan sewaktu berbuka. – KOSMO! ONLINE.

Terima kasih bayar hutang, tapi jangan lupa baki RM2 juta – Bekas pencetak Harakah

SITI NUR ZAWANI

Pengurus NAJ Press Resourcess (M) Sdn Bhd, Hussin Jan yang merupakan bekas pencetak akhbar Harakah mengesahkan Pas sudah pun melunaskan hutangnya berjumlah lebih setengah juta ringgit.

Ketika dihubungi Harapan Daily, Hussin memberitahu hutang bernilai RM659,000 itu dibayar pada Isnin baru-baru ini iaitu 11 Mac lalu.

Sambil mengucapkan terima kasih atas komitmen Pas melangsaikan hutang, Hussin bagaimanapun mengingatkan parti itu agar tidak lupa dengan hutang yang berbaki lebih RM2 juta.

Sejak 2019, Pas mempunyai pertikaian hutang yang melibatkan Harakah dan dua pencetaknya iaitu – Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd dan NAJ Press Resources.

Jumlah hutang dengan Angkatan Edaran dikatakan berjumlah lebih RM2 juta, namun syarikat itu telah diisytiharkan muflis.

Bagaimanapun, pengurusan yang sama menubuhkan NAJ Press Resources sebagai pengganti dan terus mencetak Harakah ketika itu.

“Semua hutang dari Angkatan Edaran dia (Pas) pernah bersetuju untuk letak atas nama NAJ. Dia yang bersetuju supaya hutang itu dialihkan kepada NAJ. Tapi bila nak bayar, dia tak nak bayar semua.

“RM659,000 yang kita bawa ke mahkamah pun sebab mereka tak nak bayar.

“Terima kasihlah dah bayar. Tapi pada masa sama, jangan lupa baki lagi RM2 juta lebih tu. Kalau boleh bayarlah. Kita ini orang Islam kan. Tak kiralah syarikat itu bankrap ke tidak, hutang itu wajib bayar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama Hussin berkata, beliau sebenarnya gembira selepas hakim mengarahkan Pas membayar hutang NAJ Press Resources kerana ia dapat membersihkan namanya yang selama ini dianggap sebagai ‘kaki fitnah’ oleh penyokong Pas.

“Selama ini penyokong Pas ini anggap saya fitnah. Bila mahkamah suruh bayar baru terbukti bahawa Pas tu betul-betul ada hutang dan saya pun tak memfitnah.

“Selama ini dia orang tak percaya, semua orang ingat saya ini pemfitnah. Sebelum ini orang cakap Hussin Jan ni kaki fitnah.

“Benda ini walaupun berkait politik tapi kena neutral lah. Kalau dia dah bayar kita jangan cakap tak bayar. Tak betul lah,” katanya lagi.

Notis hutang Harakah yang tular pada 2019
Pada 2019 tular notis yang mendedahkan jumlah tunggakan hutang akhbar rasmi Pas iaitu Harakah yang mencecah lebih RM3 juta

Kandungan notis itu memaparkan hutang cetakan Harakah, cetakan buku dan cetakan Siasah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,053,204.59.

Notis makluman mengenai penyata akaun itu ditandatangi Pengurus NAJ Press waktu itu dan dilaporkan bahawa jumlah hutang terkumpul itu adalah yang dipersetujui pihak Harakah.

Pelik boleh terlepas pandang, kedai serbaneka popular teruk dikecam selepas jual stoking

KIM SYAZIE

Sejak kelmarin tular sebuah kedai serbaneka popular didakwa menjual stoking putih yang tertera kalimah Allah dalam bahasa rumi dan jawi.

Perkara itu didedahkan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di Facebook beliau kelmarin.

Firdaus turut mempersoalkan tindakan pengurusan kedai tersebut yang dianggap melampaui batas apabila secara terbuka menawarkan produk yang menyentuh sensitiviti orang Islam.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa menyiasat segera perkara tersebut.

“Bagaimana stoking yang tertulis ‘Allah’ ini boleh dijual di sebuah kedai serbaneka di Sunway? Terlepas pandang atau kurang sensitif?

“Harap pihak berkuasa siasat segera,” tegasnya seperti dilapor Kosmo!.

Bagaimanapun selepas beberapa jam isu tersebut dibangkitkan sehingga mendapat kecaman teruk oleh netizen, pengendali kedai rangkaian serbaneka terbabit tampil membuat permohonan maaf.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pihaknya memaklumkan tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.

“Kami juga sudah berhubung dengan mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu ini.

“Terima kasih di atas keprihatinan warga umum yang telah menegur dan memberi komen terhadap isu ini, sekali lagi kami memohon maaf dan akan memastikan ia tidak berlaku lagi,” katanya

Tak boleh sebut nama Anwar Ibrahim atau Erdogan depan Haji Hadi?

‘Ayah Cik’ rupanya sejak dulu dengki dengan pencapaian, sokongan dimiliki Anwar

Harapandaily

AHMAD SAYUTI BASHIRON

Bagi saya ‘ibrah dari jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah, empayar Islam terahir tanggal 4 Mac 1924, genap 100 tahun hari ini mempunyai pelbagai pengajaran untuk kita semua jadikan iktibar. Bukan sekadar bersedih dan menyalahkan musuh di sana-sini.

Kenapa?

Ada kisahnya.

Saya cuba kaitkan apa yang saya pernah lalui. Realiti pemimpin politik yang ada bersama kita hari ini, dan kebenaran sabda Junjungan Besar kita.

Lebih 10 tahun lepas, ketika mana Pas masih bersama dalam Pakatan Rakyat (PR) dan bersedia memasuki PRU13 yang sebulat suara meletakkan Anwar Ibrahim sebagai satunya calon PM jika PR menang, adanya kisah pengkhianatan yang kita tidak sedari, atau cuba ditutup dari penganut Pas.

Saya dipertanggungjawabkan musafir di luar Negara bersama Haji Hadi Awang (termasuk pergi memancing dan shopping).

Saya jadi pemandu, jadi jurubahasa, juga jadi event manager, menyusun pertemuan pelbagai kelompok masyarakat.

Perjalanan hampir 2,000 km, lebih dua hari dalam kereta. Kerap berhenti dan banyak spend masa lihat alam semulajadi di persisiran pantai dan bukit.

Tiba-tiba saya ditegur Setiausaha Politik Haji Hadi Awang yang duduk di belakang, seraya ingatkan saya;

“…enta (kamu) jangan sesekali sebut nama Anwar Ibrahim atau Erdogan depan Ayah Cik tu (merujuk Haji Hadi Awang)”

Saya tanya kenapa?

Ayah Cik ‘tak boleh gi’ dengan dua orang tu. Ayah Cik akan rasa hati kalau enta sebut dua nama tu.

Pendeknya saya tak akur pada arahan pentaksub buta Haji Hadi itu.

Lepas musafir saya tanya lagi, kenapa sampai macam itu? Nak sebut nama pun tak boleh? Apa dah jadi dengan Haji Hadi?

Sedangkan masa itu Pas bersama dengan PKR dan DAP dalam PR dan pendirian rasmi Pas istiqamah meletakkan Anwar sebagai ketua yang akan jadi PM, jika menang PRU13 kelak.

Jawapan diberi, panjang, tak menjawab, meleret-leret cuba mereka-reka dan menokok tambah cerita itu ini. Tak spesifik.

Tok Guru tak suka Anwar sebab tak suka Erdogan. Tak suka Erdogan sebab khianat parti lama (Refah) dan khianat guru sendiri (Ustaz Erbakan). Erbakan member kamceng Haji Hadi. Bla bla.

Anwar pula rapat dengan Erdogan. Dan Anwar sokong tindakan Erdogan khianat Erbakan. Maka mereka itu samalah.

Tapi Tok Guru juga terpaksa tunjuk sokong Anwar hanya kerana nak jaga hati ahli. Panjang lagi. Erdogan itu ini itu, Anwar itu ini itu pula sebenarnya.

Hasad dengki sungguh tinggi

Saya simpulkan sendiri…

Tok Guru itu adalah manusia bergelar ustaz atau ulamak politik yang hatinya punya hasad dengki yang sungguh tinggi pada pencapaian dan sokongan Anwar miliki.

Dengki pada tahap sungguh mendalam dan terpendam yang cuba dikawal-kawal. Dendam sejak “Anwar khianati dia” dengan ijtihad Anwar masuk Umno 1982 dahulu.

Hakikatnya, dia amat bencikan susuk Anwar itu selamanya, sekali pun berbeza dengan pendirian syura parti yang dia sendiri pimpin.

Ini kerana pendirian parti dia sejak 1999 adalah berbeza dengan apa dalam hati dia itu.

Sebab masa keputusan sokongan itu dibuat, Ustaz Fadhil Nor yang menerajui Pas. Sedangkan dia rupanyan tak pernah sokong pun.

Dan Tok Guru itu terpaksalah berlakon dan mengekalkan lakonannya sokong Anwar sebagai bakal PM. Hinggalah meletup segalanya pada Jun 2015 di Kuala Selangor.

Segala lakonan dan hasad kedengkian penuh hipokrasi yang lama dipendam itu sudah tidak lagi terkawal sebaik Muktamar tersebut.

Saya hairan, amaran yang diberikan pada saya itu atas alasan “demi jaga hati Tok Guru”.

Saya tak faham, kalau tak suka sekali pun, biar saya dengar dari mulut Haji Hadi sendiri, kenapa dia pula yang beriya cuba sekat kebebasan saya.

Namun, saya tak akur pada arahan SuPol itu. No hold barred. Biarlah saya tanya apa saya nak tahu dan faham.

Itu kisah lama yang sungguh terkait dengan apa yang berlaku. Masa itu saya bertindak atas kapasiti sebagai Setiausaha untuk Lujnah (Biro) Antarabangsa parti lama.

Dari ada terjadi itu, ia jelas mengingatkan saya pada Sabda Rasulullah SAW (status sahih dengan beberapa periwayatan);

دبّ إليكم داءُ الأمم قبلكم: الحسدُ والبغضاء، هي الحالقة، لا أقولُ تحلقُ الشعر، ولكن تحلقُ الدين، والذي نفسي بيده لا تدخلوا الجنة حتى تؤمنوا، ولا تؤمنوا حتى تحابوا، أفلا أنبّئكم بما يُثبّت ذلك لكم، أفشوا السلامَ بينكم

DUA CIRI kenapa musnahnya pelbagai kerajaan atau umat terdahulu adalah atas sifat pemimpin dan rakyat masa itu miliki dua ciri utama;

(1)Sifat hasad dengki sesama mereka

(2) Ditanam perasan benci dan permusuhan demi jatuhkan kawan yang berkuasa.

Dan dalam semua kajian sejarah mengiyakan itulah antara faktor-faktor utama kejatuhan empayar-empayar dan Khilafah sebelum ini termasuklah Uthmaniyyah yang pernah menguasai dua pertiga dunia.

Tertanam subur

Dalam pelbagai permusafiran saya dahulu di Andalusia, dan baru ini di Balkan, apa yang dinakalkan hadith tersebut adalah sangat benar terjadi!

Benar terjadi pada kita dahulu, dan hari ini, dan contoh pada diri Haji Hadi itu adalah sebenar sifat dan punca kerosakan yg ada pada masyarakat kita zaman ini.

Dan ianya dimulakan oleh seorang ulamak politik yang bergelar Tok Guru, yang diangkat persis Ayatollah dalam Syiah. Segala dia lakukan seolah-olahnya maksum dan wajib ditaati penganut parti…

https://www.facebook.com/ahmadsayutibashiron/posts/10161002756109876
Sebab itu yang saya lihat, dan berdasarkan apa yang saya kenali, saya simpulkan kedua-dua sifat itu tertanam subur pada diri Haji Hadi Awang itu.

Itulah nilaian politik saya sejak dulu. Itulah sebab dia tak suka Anwar. Tak suka sungguh sampai sanggup berkata bangga depan saya;

“…ana dah tengking Anwar (dan Saifuddin) masa dia datang dulu…” ie. masa datang berjumpa dia untuk bincang berkaitan Pakatan Rakyat pada tahun 2014 dahulu.

Rasa benci dan hasad yang subur semulajadi dalam diri dia sampai to the level tiada sedikit pun ruang berbicara atau bincang lekat di hati dia.

Di akhir permusafiran ke Balkan baru-baru ini, dua hari sebelum pulang ke tanah air, selepas solat Subuh di salah sebuah Masjid Tua di tengah Kota Sarajevo, saya diajak bersungguh-sungguh oleh 10 pemuda Muslim dari Jerman, berumur sekitar 35-45 tahun yang melancong ke Bosnia untuk minum pagi bersama.

Mereka nak sungguh belanja saya kopi Bosnia, dan kami hampir sejam sembang hal-hal perniagaan, kebudayaan, pendidikan di Jerman, Bosnia, Turkey dan cabaran membesarkan anak-anak mereka di Jerman.

Mereka kata “how we wish in one day, we want to travel to Malaysia and I want my kids to study there, and to become like your new Prime Minister who is so strong in Islamic principles…”.

Mereka berkongsi banyak keburukan dan cabaran tentang Islamophobia dan LGBT yang disuburkan oleh media dan pemerintah di Jerman termasuk daripada pemerintah.

Saya seronok sembang dengan mereka. Dari secangkir kopi pahit tanpa gula, kami berpelukan dan bertukar nombor telefon.

Saya akan jadi tetamu mereka kelak, dan mereka pun nak datang KL untuk cuti musim sejuk.

Balik Malaysia kelmarin,

Baru saya tahu rupanya Anwar Ibrahim pada masa sama menjadi tetamu khas atas jemputan Jerman.

Saya pun forwardkan foto dan video dua pemimpin dunia di Jerman itu dalam sidang media bersama.

Mereka sungguh kagum dengan keberanian Anwar bercakap depan Ketua Negara mereka. Satu kebenaran yang lantang dan tegas yang tak ada orang lain lakukan.

Mereka kata pada saya, I’m speehless, we’re so proud with what we see. No one has ever dare to do this…

Jerman negara paling maju di Eropah dan kuasa besar dunia. Negara teknologi sangat kaya. Malaysia antara rakan perlaburan utama Jerman.

Apabila wartawan lontarkan soalan berkaitan pendirian dan langkah Malaysia berkaitan Palestin dan Gaza, jawapan tegas berhadapan sekutu rapat Israel itu sungguh membuka mata dunia.

Kalian sila tonton video yang saya sertakan, dengar juga yang penuh (link), dan bacalah sendiri setiap komen rakyat luar Malaysia, dari barat atau bukan Islam yang faham dan bersama apa yang diperjuangkan Malaysia.

Moga Allah anugerahkan Malaysia Negara Rahmah. Negara yang diberkahi tatkala kepimpinannya beramanah dan melaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Moga Allah berikan kekuatan buat Perdana Menteri kita dalam memimpin Malaysia dan dunia dalam kebangkitan baharu. Malaysia dan dunia makin berbangga dan pasti bersama kamu.

Sekali pun dalam negara ini wujudnya manusia seperti Haji Hadi, Mahyuddin, Azmin atau pengkhianat lain yang selamanya dengki menjadi pengadu politik permusuhan tanpa henti pada perjuangan kamu Anwar, teruskan JIHAD atas kuasa yang kamu miliki.

Moga Allah tunjukkan kebenaran yang kamu perjuangkan, dan musnahkan segala perancangan jahat manusia-manusia dengki dan hasad itu.

14 cedera, kapal terbakar kena tembakan meriam tidak sengaja

BERNAMA
Tembakan artileri tentera laut terkena bahagian belakang HTMS Khirirat FOTO Agensi
Tembakan artileri tentera laut terkena bahagian belakang HTMS Khirirat FOTO Agensi
Bangkok: Seramai 14 anggota Tentera Laut Diraja Thailand mengalami kecederaan apabila tembakan meriam dari kapal tentera laut, HTMS Chonburi mengenai bahagian belakang kapal HTMS Khirirat di Pangkalan Tentera Laut Sattahip di Chon Buri.

Jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Muda Wirudom Muangjeen berkata dalam kejadian kira-kira tengah hari Khamis, tembakan artileri tentera laut itu dilepaskan dari artileri depan HTMS Chonburi terkena bahagian belakang HTMS Khirirat, sebuah frigat, yang berlabuh di Jeti Laem Thian.

Pasukan bomba bertindak memadamkan kebakaran di atas kapal berkenaan.

Semua mangsa dikejarkan ke hospital di Sattahip dan ramai kru yang terhidu asap.

HTMS Chonburi kembali ke pangkalan pada Rabu selepas mengalami pincang tugas semasa latihan menembak yang menyaksikan peluru tertinggal di dalam laras meriam.

Tembakan itu dilaporkan berlaku semasa pembaikan.

Amanah hadapi 17 tuduhan cabul, mencederakan rekrut

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
TERTUDUH (dua dari kanan) didakwa terhadap 17 pertuduhan mencabul dan mencederakan seorang rekrut di Kem Terendak, tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
TERTUDUH (dua dari kanan) didakwa terhadap 17 pertuduhan mencabul dan mencederakan seorang rekrut di Kem Terendak, tahun lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Melaka: Bekas tentera didakwa atas 17 pertuduhan termasuk 15 kesalahan mencabul rekrut lelaki di Kem Terendak, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Amanah Habhijullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 15, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang prebet berusia 20 tahun.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kem Terendak, Sungai Udang di sini, pada tarikh dan masa berbeza antara 12 tengah malam 25 Ogos 2023 hingga 6 pagi, 14 Oktober 2023.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-16 dan 17, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama di tempat sama pada 2 pagi, 15 Oktober 2023 dan pada 3 petang, 16 Oktober 2023.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 323 KK yang jika disabitkan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin menawarkan jaminan RM134,000 bagi semua pertuduhan, namun Peguam S Daniel merayu jaminan rendah, mengambil kira anak guamnya dalam proses pemberhentian kerja dan menggunakan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan.

Selain itu, tertuduh juga perlu menanggung ibu bapa yang uzur dan memberi kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan kes.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin bermastautin di Melaka.

Selain itu tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa. Kes disebut semula 30 April depan.

Dua lelaki terlebih berani pecah masuk rumah polis

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
RUMAH anggota polis dipecah masuk penjenayah. FOTO Ihsan Polis
RUMAH anggota polis dipecah masuk penjenayah. FOTO Ihsan Polis
Subang Jaya: Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai memecah masuk rumah seorang anggota polis di SS15/7, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota polis lelaki berusia 35 tahun berhubung kejadian itu 12.14 tengah hari, semalam.

"Rumah mangsa dipecah masuk dua lelaki bersenjatakan perengkuh paip. Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian RM15,000.

"Siasatan awal mendapati rumah mangsa dipecah masuk 11.50 pagi. Ketika kejadian, hanya seorang penghuni wanita di kediaman itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, berdasarkan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an di Kampung Baru di Rawang, 6.30 petang, semalam.

"Hasil tangkapan itu, kami menemukan beberapa barangan dipercayai milik penghuni rumah berkenaan.

"Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek mempunyai masing-masing 18 dan tujuh rekod jenayah serta dadah," katanya.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Kami sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Afiq Safullah Azid di talian 014-5378217 atau Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100," katanya.

Lapan lelaki dituduh sertai perhimpunan haram, belasah seorang individu

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
AKKASKUMAR dilihat keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput selepas dijatuhi hukuman denda RM2,000 susulan pengakuan salahnya menyertai perhimpunan haram hingga mengakibatkan kecederaan terhadap seorang individu, Isnin lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
AKKASKUMAR dilihat keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput selepas dijatuhi hukuman denda RM2,000 susulan pengakuan salahnya menyertai perhimpunan haram hingga mengakibatkan kecederaan terhadap seorang individu, Isnin lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Sungai Siput: Lapan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyertai perhimpunan haram hingga mengakibatkan kecederaan terhadap seorang individu, Isnin lalu.

Tiga daripada mereka iaitu K Lengeswaran, 22, S Thinakaren, 22, dan M Akkaskumar, 24, mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda.

Manakala pengakuan tidak bersalah dibuat lima tertuduh yang lain iaitu S Guna Segaran, 21, K Logen, 21, A Ignisrao, M Nagaraj, 22, dan R Naresh, 23, sejurus pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kelapan-lapan mereka dituduh secara bersama menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki iaitu V Arvind Ranair, 28, di mana semasa perhimpunan itu semua ahli atau lebih daripada seorang ahli memukul dan mendatangkan kecederaan pada tubuh mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di tepi tokong kecil bersebelahan jalan utama Taman Tun Sambanthan, di sini, antara jam 9.30 malam hingga 11.15 malam, 11 Mac lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun yang sama iaitu boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, hasil siasatan mendapati mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki menaiki motosikal yang membuat kekecohan sehingga cedera hingga memerlukan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput.

Ketika mitigasi hukuman, tiga orang kena tuduh (OKT) yang mengaku bersalah mohon denda minimum dikenakan dengan mengambil kira pelbagai sebab antaranya bekerja hanya sebagai pembantu di pusat cuci kenderaan dengan pendapatan sekitar RM30 sehari.

Vitthiyeswary bagaimanapun memohon hukuman maksimum dikenakan, mengambil kira kadar kecederaan dialami mangsa hingga memerlukan jahitan di bahagian kepala, jari dan belakang badan dengan ketika ditemui, mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

Manakala bagi lima OKT yang mengaku tidak bersalah, Majistret membenarkan mereka masing-masing dijamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk untuk lantikan peguam.

OKT yang mengaku bersalah dilihat membayar denda yang dikenakan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan rayu ahli selamatkan Harakah

Harapandaily

Pas merayu ahlinya menghulurkan sumbangan bagi membiayai perintah pembayaran oleh mahkamah terhadap akhbar parti itu, Harakah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata mahkamah telah memerintahkan Pas membayar tuntutan saman daripada bekas pencetak akhbar Harakah, NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd berjumlah RM656,233.69.

Menerusi kenyataan pada 5 Februari yang kembali tular, Takiyuddin berkata, semua peringkat Pas negeri, kawasan dan dewan-dewan pusat menghulurkan sumbangan.

Keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang dipengerusikan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu dibuat bagi mengelakkan tindakan undang-undang seterusnya dikenakan terhadap parti dan Harakah jika bayaran tersebut gagal dilunaskan segera.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan Pas Negeri dan Wilayah Persekutuan dikehendaki menghulurkan sumbangan sebanyak RM5,000.

Sementara itu, Dewan-Dewan Pusat iaitu Dewan Ulama Pas Pusat, Dewan Pemuda Pas Pusat, Dewan Muslimat Pas Pusat, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan Sidang As-Sabiqun perlu memberi sumbangan berjumlah RM4,000.

Sumbangan bernilai RM3,000 pula daripada setiap Pas Kawasan.

“Sesungguhnya sumbangan ini sahaja yang akan menjamin kelangsungan wadah dan menyelamatkan medium Pas iaitu Harakah yang telah memainkan peranan sejak sekian lama membantu perjuangan ummah yang diterajui oleh Pas khususnya dalam bidang tarbiyah, dakwah dan siasah,” kata Takiyuddin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, segala sumbangan bagi tujuan tersebut boleh didepositkan terus ke akan parti itu dengan meletakkan rujukan “Sumbangan Selamatkan Harakah’.

Tambahnya lagi, sumbangan seboleh-bolehnya dihulurkan sebelum atau pada 28 Februari lalu.

Untuk rekod, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 Disember 2023 memerintahkan Pas membayar RM656,233.69 kepada bekas pencetak akhbar Harakah, NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd yang menuntut baki bayaran perkhidmatan mencetak.

Perintah itu dibuat selepas membenarkan permohonan NAJ Press selaku plaintif untuk mendapatkan penghakiman terus dalam tuntutan samannya terhadap Pas.

Kes saman tersebut menyaksikan NAJ Press turut menamakan Takiyuddin selaku Setiausaha Agung Pas dan penerbit akhbar Harakah, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd sebagai defendan kedua dan ketiga.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 11 Julai 2023, NAJ selaku plaintif mendakwa ia beberapa kali membuat tuntutan terhadap baki bayaran perkhidmatan untuk mencetak akhbar Harakah.

Plaintif mendakwa, ia juga menghantar surat tuntutan bertarikh 3 April 2019 untuk menuntut baki bayaran tersebut.

Defendan kemudian melalui surat bertarikh 8 April 2019 mengakui jumlah tunggakan dan berjanji untuk melunaskan bayaran, tetapi gagal berbuat demikian.

Plaintif berkata, ia kemudian menghantar surat peringatan kepada Pas dan Harakah bertarikh 5 Ogos 2019 melalui Takiyuddin selaku Setiausaha Agung parti bagi menuntut tunggakan baki bayaran itu.

Walau bagaimanapun, semua defendan masih gagal berbuat demikian.

Pencuri kabel patah tulang selangka ketika lari dikejar polis

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
PASUKAN polis membuat pemeriksaan kenderaan suspek yang terbabas selepas cuba melarikan diri. FOTO Ihsan Polis
PASUKAN polis membuat pemeriksaan kenderaan suspek yang terbabas selepas cuba melarikan diri. FOTO Ihsan Polis
Ipoh: Tindakan dua lelaki mencuri kabel talian milik Telekom Malaysia (TM) mengundang padah apabila seorang daripada mereka patah tulang selangka selepas kereta dinaiki mereka terbabas ketika cuba melarikan diri daripada dikejar kereta peronda polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian yang berlaku di Jalan Pasir Mas, Taman Mayfair, di sini, kira-kira 5 pagi semalam.

Katanya, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Pasir Puteh membuat rondaan di lokasi berkenaan sebelum terserempak dua suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek melarikan diri menaiki kereta Proton Iswara. Melaui hebahan bantuan, dua lagi kereta peronda polis ditugaskan mengejar kereta suspek terbabit. Akhirnya kereta dipandu suspek terbabas.

"Seorang daripada suspek berjaya melarikan diri manakala seorang lagi suspek tersepit di dalam kereta dinaikinya itu. Suspek yang tersepit patah tulang selangka kanan akibat kemalangan itu," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, suspek lelaki berusia 58 tahun yang cedera itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan.

"Pemeriksaan ke atas kereta terbabit menemukan barang kes. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 kanun sama.

"Polis giat memburu seorang lagi suspek yang masih bebas. Orang ramai yang mempunyai maklumat diseru untuk tampil memberi maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Hakim Al Balkhis di talian 011-11256246 atau menghubungi balai polis berdekatan," katanya.

Helah dua lelaki Bangladesh tidak berjaya menipu KPDN

Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan (tengah) dan pegawainya memeriksa stor tidak berlesen menyimpan diesel bersubsidi yang diserbu di Taman Perindustrian Machang Indah, Bukit Mertajam, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan (tengah) dan pegawainya memeriksa stor tidak berlesen menyimpan diesel bersubsidi yang diserbu di Taman Perindustrian Machang Indah, Bukit Mertajam, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD
BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki Bangladesh mendakwa mereka pekerja sebuah motel di belakang stor haram menyimpan diesel bersubsidi yang diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Helah mereka yang berusia lingkungan 20-an itu bagaimanapun gagal memperdaya pihak berkuasa dan soal siasat kemudian mendapati kedua-duanya sebenarnya digajikan RM2,000 sebulan setiap seorang untuk menjaga stor di Taman Perindustrian Machang Indah itu.

Selain menjaga stor, tugas mereka juga termasuk mengumpul diesel bersubsidi yang dihantar ke situ untuk disimpan sebelum diedar ke destinasi sebelah utara dan kemudian ke sempadan, seterusnya diseludup ke negara jiran.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan, berkata pihaknya menyerbu premis itu kira-kira jam 7 pagi tadi dan menemukan diesel bersubsidi dipercayai untuk dihantar ke kawasan sempadan di Kedah sebelum diseludup ke Thailand.

"Dalam serbuan berkenaan, dua lelaki Bangladesh berusia lingkungan 20-an yang ditugaskan menjaga stor ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Sebelum itu dua lelaki terbabit berpura-pura kononnya mereka pekerja motel di kawasan belakang stor berkenaan. Ketika serbuan, mereka didapati berlari ke bahagian belakang stor dan ada sebuah motel dekat situ.

"Dalam soal siasat, mereka mengaku bekerja di stor itu dengan upah RM2,000 sebulan. Difahamkan, mereka bekerja sejak dua bulan lalu mengumpul diesel yang dihantar ke situ dan menjaga stor," katanya kepada pemberita.

Jegan berkata, pihaknya menyita hampir 14,900 liter diesel disimpan dalam 25 unit tangki dalam stor berkenaan serta beberapa peralatan yang digunakan dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM55,350.

"Berdasarkan maklumat awal yang kita terima, diesel di sini mungkin mahu dihantar ke Kedah dan destinasi seterusnya mungkin dibawa ke sempadan Thailand. Diesel ini dikutip dari stesen minyak sekitar Pulau Pinang dan kemudian dikumpul di stor ini," katanya.

Katanya, sindiket penyelewengan diesel kerap berpindah randah, selalunya tidak pernah beroperasi di satu-satu tempat sehingga enam bulan.

"Paling kurang, (operasi) hanya tiga bulan. Mereka hanya beroperasi sementara sahaja di satu-satu tempat, kemudian cari tempat baharu. Sebab itu kita perlu bantuan masyarakat untuk salur maklumat," katanya.

Remaja kira duit tabung masjid dalam pusat snuker

KOSMO
Remaja berkenaan menyedari aksinya dirakam, namun tetap meneruskan kiraan wang. – Instagram
JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan perbuatan  seorang remaja mengira duit daripada tabung infak masjid di sebuah pusat snuker, lapor laman berita Tribunnews kelmarin.

Kejadian berlaku di Asahan, wilayah Sumatera Utara.

Dalam video tersebut, remaja lelaki berkenaan dilihat duduk di atas kerusi. Di sebelahnya terdapat dua kotak infak masjid yang bertulis ‘Surau Al Ikhlas Jalan Pintu Air’ dan ‘Surau Al Ridho Jalan Pasar Baru.’

Wang tabung itu dikira sebelum disusun rapi. Dalam masa sama di ruangan tersebut, kelihatan beberapa remaja lain sedang asyik bermain snuker.

Menurut perakam, dia percaya tabung itu dicuri dari surau-surau berkenaan, manakala hasilnya digunakan untuk bermain snuker.

Remaja tersebut yang menyedari aksinya dirakam juga tidak mengendahkan keadaan itu, sebaliknya meneruskan kiraannya.

Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada  netizen.

“Maaf cakap, saya sering melihat orang yang meminta sedekah mukanya begini. Bukan tidak mahu beramal tetapi sekarang banyak kegiatan seperti ini,” kata seorang netizen. – AGENSI

Mampukah Salah mencipta rekod baru ketika menentang Sparta nanti

Agensi
SALAH bakal beraksi menentang Sparta awal pagi esok.
SALAH bakal beraksi menentang Sparta awal pagi esok.
London: Selepas gagal mencipta rekod baharu dalam aksi peringkat pertama peringkat 16 Liga Europa, Mohamed Salah kini berpeluang mencatat satu lagi pencapaian hebat dengan menjadi pemain Liverpool pertama menjaringkan 20 gol dalam tujuh musim berturut-turut.

Jurulatih Jurgen Klopp menekankan kepentingan kehadiran Salah ketika menentang Sparta Prague dalam aksi kedua awal pagi esok yang bukan hanya untuk memastikan kemenangan tetapi untuk meningkatkan kecergasan bintang Mesir itu.

Walaupun Liverpool menang besar 5-1 sebelum ini, Salah dijangka diturunkan beraksi ketika Klopp mempersiapkannya untuk berdepan cabaran lebih getir termasuk pertembungan dengan Manchester United di Old Trafford Ahad ini.

Salah kini meledak 19 gol musim ini sekali gus di ambang mencipta sejarah yang boleh mengatasi legenda seperti Ian Rush dan Roger Hunt sekali gus membuktikan ketajaman sentuhan penyudahnya.

Dia sudah pun bergelar penjaring terbanyak Liga Perdana sepanjang zaman untuk kelabnya selain turut berbisa di kejohanan Eropah dan masih mahu terus mencipta nama dalam legasi Liverpool.

Walaupun jaringannya dibatalkan ketika menentang Sparta Prague dalam aksi peringkat pertama, Salah tetap bersemangat untuk mencipta rekod baharu sekali gus mencipta sejarah sekali lagi.