Mayat korban kebakaran ditemui bertindan

NOOR HASLIZA NUSI
Anggota bomba ketika memadamkan kebakaran di sebuah rumah kedai di Jalan Utama, Kampung Paya Kongsi, Balik Pulau, pagi tadi.
GEORGE TOWN – Mayat tiga beranak yang maut dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Jalan Utama, Kampung Paya Kongsi di sini, pagi tadi ditemui dalam keadaan bertindan di tingkat bawah kediaman berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomda dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Mohd. Faris Mansor berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dijumpai secara berdekatan dipercayai ketika mahu menyelamatkan diri daripada kebakaran yang berlaku.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui mayat wanita yang juga ibu bersama anak lelakinya di aras bawah dan diikuti mayat anak perempuan sebaik api dipadamkan sepenunhnya.

“Pihak kami difahamkan yang pada mulanya tiga beranak terdiri ibu dan dua anak lelaki memasuki semula ke kediaman terbabit sebaik menyedari anak perempuannya berada di tingkat atas.

“Dalam keadaan api yang marak, salah seorang anak lelakinya itu keluar semula daripada kediaman disebabkan keadaan api yang terlalu marak dan terselamat dalam kebakaran.

“Ketiga mayat ditemui dalam keadaan bertindan, mungkin semasa turun daripada tangga untuk mencari jalan keluar. Keadaan ketiga-tiga mayat ditemui melecur pada badan dipercayai akibat terperangkap dalam kebakaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, sebentar tadi.

Beritahu beliau lagi, mayat pertama iaitu anak lelaki dijumpai pada pukul 8 pagi, mayat si ibu pukul 9.04 pagi manakala mayat anak perempuan ditemui berada di bawah kedua-dua mangsa terbabit pada 10 pagi.

Operasi memadamkan kebakaran itu turut melibatkan bantuan dari BBP Balik Pulau dan api berjaya dikawal pada pukul 8.06 pagi tadi. -KOSMO! ONLINE

Perbuatan melampau, tak hormat agama dan pemilik kubur

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
WANITA berkenaan melangkah kubur seperti yang tular di media sosial. FOTO tular.
WANITA berkenaan melangkah kubur seperti yang tular di media sosial. FOTO tular.
Kuala Lumpur: Tindakan dua wanita melangkah kubur di sebuah tanah perkuburan seperti tular di media sosial, hari ini mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan perbuatan itu melampaui batas dan tidak menghormati agama serta waris pemilik kubur berkenaan.

Terdahulu video berdurasi 37 saat yang memaparkan tindakan keterlaluan dua wanita itu dipercayai dikongsikan seorang pengguna akaun TikTok miliknya sebelum video sama turut dikongsikan di Facebook (FB) oleh pengguna lain.

Berdasarkan video berkenaan, seorang wanita merakam video itu memberitahu rakannya mengenai dakwaan jika melangkah kubur, pemiliknya (individu yang sudah meninggal dunia itu) akan datang mencari individu itu pada waktu malam.

Rakannya kemudian bertanya mengenai dakwaan itu dan kemudian wanita yang merakam video itu memberitahu rakan perempuannya itu pasti akan marah jika kuburnya dilakukan perbuatan seperti itu.

"Kalau kau pun takkan kau tak marah orang langkah kubur kau," katanya dalam video tular itu tanpa menyebut lokasi sebelum seolah-olah terkejut apabila melihat rakannya itu melangkah kubur berkenaan.

Wanita berkenaan turut mengulangi perbuatan sama sekali lagi sebelum meminta rakannya itu juga melakukan tindakan sama biarpun pada mulanya individu berkenaan enggan melakukannya.

Bagaimanapun rakannya itu turut melakukan perbuatan sama sebelum kedengaran berbual seolah-olah bimbang jika pemilik kubur berkenaan mencari mereka.

Harian Metro cuba menghubungi pemilik akaun TikTok berkenaan melalui media sosial itu namun individu terbabit belum memberi sebarang maklum balas serta mendapati video berkenaan tiada di akaunnya dan di percayai sudah dipadam.

Semakan di ruangan komen di beberapa video dikongsikan wanita itu di akaun TikTok itu juga mendapati netizen meninggalkan komen berkaitan video viral berkenaan.

Ada netizen membuat andaian ia hanya kandungan dan kubur itu bukan kubur sebenar jika melihat kepada keadaan tanah yang masih baru berbanding kubur lain di kawasan berkenaan, namun tetap menganggap ia tidak sepatutnya berlaku.

"Aku tak rasa itu kubur betul sebab dekat situ semua kubur lama yang itu saja nampak baru.. Macam untuk konten saja," tulis pengguna FB Zahidah Abdullah yang turut menganggap tindakan dua wanita itu tidak beradab.

Sementara itu, Noriana Ismail berkata, tindakan itu juga tiada adab dan mempersoalkan perbuatan individu terbabit yang melangkah kubur berkenaan.

"Macam mana kalau orang pijak kubur orang yang kita sayang? Kalau tak boleh memberi manfaat kepada si ahli kubur janganlah menghina mereka," tulisnya.

Semangat Jebat berkata, "Cara pemikiran dan cara budak zaman sekarang berhibur..Mereka sondol (buat) dulu baru fikir benda itu baik buruknya kemudian. Malu, adab akhlak tolak tepi janji gembira ini 'level' mereka," tulisnya.

Apa punya baghal: Orang bukan Islam punyalah bersungguh-sungguh melancarkan boikot untuk menghentikan zionis membunuh orang Palestin, alih-alih kita pula kata tak islamik

Isu khutbah: JMNPk diarah beri penjelasan

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Ipoh: Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) diarahkan memberi penjelasan lanjut susulan isu khutbah Jumaat semalam berkaitan amalan boikot atau memulaukan perniagaan tertentu yang dianggap bertentangan prinsip keadilan Islam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Perundingan Masjid (MPM) hari ini yang dipengerusikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Saarani berkata, secara dasar beliau tidak mahu mengulas apa-apa dan menjelaskan teks khutbah terbabit sememangnya disediakan JMNPk dan ditandatangani Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.

"Mohd Annuar memberi penjelasan sebab yang hadir ketika itu adalah kalangan ahli MPM yang terdiri dari pengerusi-pengerusi masjid mengikut daerah masing-masing.

"Mohd Annuar sudah berikan penjelasan, dan juga meminta Datuk Seri Mufti juga memberi penjelasan. Saya tak nak mengulas apa-apa melainkan saya nak bagi tahu bahawa betul, ia (khutbah) adalah teks yang kandungannya disediakan oleh Jabatan Mufti dan ditandatangani.

"Saya bukanlah orangnya yang nak buka (ruang), nak berdebat dan sebagainya.... Kita sudah putuskan tadi, (bahawa) Mufti akan memberi penjelasan disebabkan tempoh 20 minit untuk teks (khutbah) itu dibacakan barangkali tidak sampai kepada tujuan.

"Jadi Mufti, Jabatan Mufti akan memberi penjelasan tentang latar belakang dan juga maksud sebenar dalam teks terbabit," katanya selepas Majlis Perasmian bagi Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Utara dan Jelajah Hari Usahawan, Agro dan Koperasi Perak Tahun 2024 di perkarangan Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Saarani dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar tidak melampau termasuk bertindak menghasut dalam mengutarakan pandangan berhubung isu berkenaan yang dianggap tidak akan menyelesaikan masalah, sehingga penjelasan berhubung perkara itu diperoleh dari JMNPk sendiri.

"Nasihat saya pada orang ramai tak perlulah kita mengamuk dan tak perlu menghasut kerana ianya tidak akan menyelesaikan masalah. Jadi kita bertenang dan kita dapatkan penjelasan JMNP dan semua kita hendaklah ingat bahawa kita perlu sama-sama menjaga sensitiviti antara satu sama lain seperti yang diajarkan Islam," katanya.

Polis tangkap penyanyi popular liat bayar ansuran TV

KOSMO!
KINGSTON ditangkap selepas polis menyerbu rumah agamnya di Florida. - Foto Getty/ WSVN Composite
WASHINGTON – Penyanyi  terkenal Amerika Syarikat (AS), Sean Kingston ditangkap beberapa jam selepas polis menyerbu rumah agamnya di negeri Florida, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Kingston yang popular dengan lagu Beautiful Girls, ditahan kerana tidak membayar baki harga sebuah televisyen gergasi dan sistem audio yang dibelinya.

Dia ditangkap di Fort Irwin, selatan California atas tuduhan menipu dan mencuri, kata polis.

Dalam satu kenyataan di laman sosial selepas kejadian, Kingston berkata, dia berada dalam keadaan baik dan peguamnya sedang mengendalikan kes tersebut.

Polis menyerbu rumah agam Sean Kingston atau nama sebenarnya,  Kisean Anderson dekat Fort Lauderdale, Florida minggu ini. Nama Kingston berada dalam dalam rekod mahkamah sejak Februari lalu.

Ia berikutan syarikat yang menjual televisyen gergasi dan sistem audio itu menuduh Kingston tidak membayar sepenuhnya untuk barangan tersebut.

Polis turut menahan ibu penyanyi itu.

“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan, kami menahan seorang wanita dewasa, Janice Turner (ibu Kingston) atas tuduhan menipu dan mencuri. Siasatan kes ini masih berjalan,” kata peiabat Syerif  daerah Broward County dalam satu kenyataan. – AGENSI

Pekerja restoran didakwa guna alat memasak bersihkan longkang

KOSMO!
SEORANG pekerja didakwa menggunakan alat 'memasak' untuk membersihkan longkang restoran di Mumbai. - Foto X
NEW DELHI – Satu rakaman video yang tular menunjukkan seorang pekerja restoran di sebuah hotel di India didakwa membersihkan longkang dapur dengan menggunakan peralatan memasak dikenali sebagai  ‘frying net’, lapor portal berita India Today semalam.

Alat itu digunakan untuk mengeringkan  ayam goreng yang sudah dimasak supaya tidak berminyak.

Seorang pengguna di platform X mendedahkan bahawa pekerja restoran tersebut membersihkan longkang  dengan menggunakan peralatan dapur itu.

Dalam hantaran di platform X, dia menulis: “hati-hati jika anda makan sesuatu yang digoreng”. 

Namun, pemilik hotel tersebut menyangkal dakwaannya.

Dia menjelaskan bahawa alat yang digunakan pekerja itu sebenarnya  khusus digunakan  untuk membersihkan longkang dapur dan tidak sesekali digunakan pada makanan. 

“Jangan percaya apa yang anda lihat di internet,” katanya. – AGENSI

Dah ada tanda-tanda PN nak melingkup, kata UMNO

SITI NUR ZAWANI

Kenyataan Mursyidul Am Pas untuk meletakkan calon di kesemua kerusi milik ahli Bersatu yang berpaling tadah, memberi petanda Perikatan Nasional bakal melingkup.

Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata, apabila seorang mursyidul Pas bersuara, ia menandakan pemimpin tertinggi parti itu tidak lagi menghormati rakan gabungan mereka.

Ia secara tidak langsung kata Lokman, memberi isyarat bahawa suara Bersatu tidak lagi ‘laku’ dalam PN.

“Kita lihat Bersatu sudah hilang taring akibat daripada pelbagai perkara yang menyebabkan Pas sendiri tidak menghormati kepimpinan Bersatu, Perikatan Nasional.

“Terlebih dahulu saya nak beri peringatan kepada Bersatu, bila Mursyidul Am Pas ini mula buka mulut, ini bermakna suara Bersatu dah tak laku lagi.

“Inilah gambaran jelas bibit awal kehancuran PN di mana suara Mursyidul Am Pas mendahului pengerusi PN iaitu Tan Sri Mahiaddin Md Yasin,” katanya dalam ulasan terbaru menerusi video di Facebook.

Terdahulu Pas menyatakan kesediaannya untuk meletakkan calon di tujuh kerusi milik Bersatu sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kerusi berkenaan ekoran tindakan ahli parti itu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Mengulas lanjut kata Lokman, kenyataan tersebut menandakan bahawa parti itu tamak haloba.

Beliau berpendapat, Pas tidak lagi meyakini rakan gabungannya mampu memberi saingan hebat kepada Kerajaan Perpaduan jika pilihan raya kecil diadakan di kerusi berkenaan.

“Ini jelas menunjukkan Pas dah tak hormat Bersatu. Malulah Din. Takkanlah nak biarkan semua kerusi yang sebelum ini dimiliki oleh Bersatu, tiba-tiba semuanya Pas nak bertanding.

“Dia nak rampas semua. Bayangkan betapa tamak halobanya Pas ini. Ini bermaksud Bersatu itu pun sudah tidak diyakini boleh memberikan cabaran kepada Barisan Nasional atau pun kepada Kerajaan Perpaduan di kerusi-kerusi yang telah mereka menangi sebelum ini. 

“Saya juga rasa cukup hairan kenapa kenyataan ini dikeluarkan oleh seorang yang begitu tinggi pangkatnya dalam Pas.

“Jarang Mursyidul Am Pas keluarkan kenyataan penting seperti ini kecualilah sudah berbincang dengan presiden Pas itu sendiri. Ini tanda-tanda tak lama lagi PN lingkup,” ujarnya.

Ibu maut cuba selamatkan anak terperangkap kebakaran

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita dan dua anaknya maut dalam kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian jam 7 pagi itu dikenali Nurul Bowjiya, 58, dan anak lelakinya Muhamad Ibrahim,33, serta anak perempuannya Rahbiah Jasmin,20, lapor Bernama.

Ketika kejadian wanita terbabit berada di premis itu bersama tiga anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Menurut Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal, berdasaran temu bual ke atas seorang mangsa yang terselamat iaitu anak lelaki wanita itu yang berusia 30 tahun memaklumkan dia, ibu serta abangnya telah berjaya keluar dari rumah kedai tersebut sebaik menyedari berlaku kebakaran.

“Bagaimanapun emak dan abangnya yang menyedari adik perempuannya masih berada di dalam rumah telah bertindak memasuki semula rumah kedai itu bagi menyelamatkan mangsa, namun ketiga-tiga mereka terperangkap dalam premis tersebut,” katanya.

Kamarul Rizal berkata ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia ditemui bomba selepas api dapat dipadamkan dan dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau Mohd Faris Mansor berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.06 pagi dan terus ke lokasi bersama dua jentera dengan dibantu pasukan dari BBP Balik Pulau.

“Sebaik tiba, kami mendapati api sedang marak dan kerja-kerja pemadaman telah membabitkan tiga jentera tangki air termasuk mengawal api daripada merebak,” katanya di sini.

Beliau berkata kebakaran itu mencetuskan asap tebal kerana ia membabitkan barangan perabot seperti permaidani dan tilam.

Penguat kuasa PBT ditahan, minta sogokan RM12,000 daripada pemilik restoran

Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM12,000 daripada pemilik restoran.

Sogokan itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan kerana pemilik restoran terbabit meletakkan meja dan kerusi tambahan di kawasan parkir kereta.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan petang semalam di sekitar Selangor.

"Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak November 2023 hingga kini. Dia disyaki meminta serta menerima bayaran tunai secara bulanan sebanyak kira-kira RM2,000.

"Siasatan juga mendapati suspek sering menghantar mesej melalui WhatsApp pada setiap bulan kepada pemilik restoran itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Menurutnya, suspek sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.

4 guni ganja terdampar tepi pantai

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my
POLIS merampas 123 ketulan mampat dadah jenis ganja yang ditemui ditinggalkan di pesisiran Pantai Kuala Perlis. FOTO Ihsan PDRM
POLIS merampas 123 ketulan mampat dadah jenis ganja yang ditemui ditinggalkan di pesisiran Pantai Kuala Perlis. FOTO Ihsan PDRM
Kangar: Empat guni mengandungi 123 ketulan mampat disyaki ganja ditemukan terdampar di pesisiran pantai Kuala Perlis, kelmarin.

Bahan terlarang itu ditemukan kira-kira 10.30 pagi oleh pasukan rondaan terdiri daripada anggota Balai Polis Kuala Perlis, Unit Risik Marin Kedah/Perlis, Risik Kompeni D Batalion 2, Kuala Perlis serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, ganja dianggarkan seberat 123.4 kilogram itu dipercayai dibawa dari Thailand.

Katanya, pemantauan di sekitar lokasi tidak mengesan sebarang pergerakan kumpulan atau individu yang akan menghampiri barang kes itu.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM382,540 dan boleh digunakan oleh 248,000 penagih dadah.

"Kita percaya ia dibawa menggunakan jalan laut sebelum dipindahkan ke negara ini menggunakan jalan darat," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengesan pihak yang terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tular video warga asing kena jerkah beli minyak masak subsidi, “You Malaysian ke?”

SITI NUR ZAWANI

Baru-baru ini tular video seorang lelaki tempatan menegur sekumpulan warga asing yang membeli minyak masak paket bersubsidi di sebuah pasar raya.

Dalam video berdurasi 42 saat itu, lelaki tersebut bertanya kepada seorang warga asing mengapa mereka mengambil minyak masak paket yang didakwanya adalah milik rakyat Malaysia.

Dia juga mengarahkan mereka meletakkan kembali minyak masak itu, dan mengambil minyak masak botol sahaja.

“Ini warga asing boleh ke ambil minyak subsidi. Kita yang bayar cukai (tapi) depa ambil minyak tu. Mana boleh. Saya pun pakai minyak tu tau.

“Eh you kena ambil minyak botol eh mana boleh minyak paket. Ini Malaysia punya orang sahaja boleh dapat. You Malaysia punya orang ka? Haa lepas itu apa pasai ambil ini.

“Kita bayar cukai tau. You bayar cukai tak. Kalau you duduk di Pakistan, you mahu beli apa pun tak ada masalah. Tapi ini rakyat Malaysia yang punya. Kita punya duit cukai tu,” katanya dalam rakaman tersebut.


Kumpulan warga asing itu kemudian dilihat meletakkan kembali minyak masak paket yang diambil.

Sementara itu di ruangan komentar, ada yang memberi cadangan agar pihak pasar raya meletakkan had pembelian minyak masak untuk mereka yang bukan warganegara.

Ada undang-undang larang warga asing beli minyak masak paket?

Untuk pengetahuan, tiada undang-undang yang boleh menghalang warga asing daripada membeli minyak masak peket bersubsidi di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagaimanapun peruncit hanya boleh menghadkan jualan kepada tiga peket sahaja untuk setiap individu.

Biarpun sehingga kini tiada akta yang melarang pembelian oleh warga asing, namun orang awam percaya ia sepatutnya dijadikan hak istimewa warganegara Malaysia sahaja.

Ketua pembangkang Britain mahu iktiraf negara Palestin jika menang pilihan raya

BHarianonline
Pemimpin pembangkang Parti Buruh Britain, Keir Starmer bercakap semasa acara kempen pilihan raya umum Buruh di Stadium Priestfield, rumah kelab bola sepak Gillingham di Gillingham, tenggara Britain. - Foto REUTERS
Pemimpin pembangkang Parti Buruh Britain, Keir Starmer bercakap semasa acara kempen pilihan raya umum Buruh di Stadium Priestfield, rumah kelab bola sepak Gillingham di Gillingham, tenggara Britain. - Foto REUTERS
LONDON: Ketua pembangkang Britain, Keir Starmer, hari ini berkata, beliau mahu mengiktiraf negara Palestin jika mendapat kuasa pada pilihan raya umum akan datang, namun langkah sedemikian katanya, perlu dilakukan pada masa yang sesuai dalam proses damai.

Ireland, Sepanyol dan Norway minggu ini mengumumkan, mereka akan mengiktiraf negara Palestin pada 28 Mei ini, mencetuskan kemarahan Israel, yang mendakwa ia sebagai "ganjaran untuk keganasan" dan memanggil semula dutanya dari tiga ibu kota negara berkenaan.

Parti Buruh berdepan konflik dalaman berhubung dasarnya terhadap perang di Gaza sejak serangan 7 Oktober oleh Hamas, yang membawa kepada pencerobohan Israel.

Starmer berdepan kritikan daripada beberapa pengundi Parti Buruh tradisional hanya kerana secara beransur-ansur mengubah kedudukan parti ke arah menyokong gencatan senjata di Gaza.

Pendirian parti itu menyebabkan 10 Ahli Parlimen kanannya berhenti daripada peranan dasar mereka dan dipersalahkan atas beberapa keputusan yang mengecewakan dalam pilihan raya tempatan pada bulan ini di beberapa kawasan dengan populasi Islam yang ramai.

Ditanya sama ada Palestin harus menjadi sebuah negara, Starmer memberitahu BBC: "Ya dan saya fikir pengiktirafan terhadap Palestin adalah sangat penting.

"Kita memerlukan negara Palestin yang berdaya maju, selain Israel yang selamat dan terjamin, dan pengiktirafan harus menjadi sebahagian daripadanya," katanya.

Starmer berkata, pengiktirafan negara Palestin perlu datang pada masa yang tepat dalam proses damai, namun "saya benar-benar percaya padanya", dengan alasan penyelesaian dua negara adalah penting untuk keamanan berkekalan di rantau itu.

Penyelesaian dua negara sudah lama menjadi rangka kerja dasar luar Britain dan usaha antarabangsa untuk menyelesaikan konflik itu tetapi proses damai sudah hampir "mati" selama bertahun-tahun.

Kerajaan semasa pimpinan Konservatif dan negara Eropah besar lain, seperti Perancis dan Jerman juga menyuarakan sokongan pada dasarnya untuk negara Palestin, tetapi dengan masa pengiktirafan menjadi sebahagian daripada proses damai yang lebih luas.

Minggu ini, Buruh menyokong kebebasan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selepas ia memohon waran tangkap untuk kedua-dua pemimpin Hamas dan Israel atas jenayah perang, membuka ruang perpecahan dengan Parti Konservatif yang memerintah.

Kerajaan Konservatif berkata, ICC tidak mempunyai bidang kuasa untuk meminta waran tangkap dan ia tidak akan membantu mengeluarkan tebusan Israel dari Gaza, mendapatkan bantuan kemanusiaan atau membawa kepada gencatan senjata yang mampan. - REUTERS

Kantoi bukan suami isteri: Pasangan tular bawa anak sakit kronik, diarah berpisah

NUR SYAZWANA MANSOR

ALOR SETAR – Pasangan yang tular berikutan tindakan membawa anak berusia 11 bulan yang memakai alat bantuan pernafasan menaiki motosikal ke hospital di sini, baru-baru ini diarahkan berpisah kerana tiada hubungan perkahwinan.

Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi Seberang Kota, di sini, Muhammad Hazamer Muslim berkata, pasangan tersebut Mohd. Azlan Ishak, 35, dan Nor Hidayu Halim, 34, terpaksa difaraqkan (dipisah) sementara hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh tersebut pihaknya akan cuba membantu untuk melengkapkan dokumen dan proses pernikahan mereka.

Selain anaknya, Mohd. Aariz Zafran, Nor Hidayu juga mempunyai empat lagi anak hasil perkahwinan sebelum ini namun tiga daripadanya tinggal bersama ibunya di kampung berhampiran di sini.

“Anak keempat dan anak bongsunya yang menghidap paru-paru kronik itu adalah anaknya bersama Azlan,” jelasnya.

Terdahulu Muhammad Hazamer menafikan dakwaan orang ramai bahawa pihak masjid tidak mengambil berat mengenai masalah keluarga tersebut.

Beliau berkata pihak jawatankuasa masjid itu telah mengadakan perbincangan sejurus selepas kisah pasangan itu dan anak mereka ditular di media sosial Ahad lalu sehingga ada yang mempersoalkan pihak masjid tidak mengambil tahu.

Katanya, sebelum ini pihak Masjid sudah beberapa kali menyalurkan bantuan kotak makanan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) kepada Azlan yang tinggal bersama ibunya yang menghidap angin ahmar.

Beliau berkata, selain bantuan makanan, pihak masjid pernah memberi bantuan kerusia roda kepada ibunya selain bantuan luar yang diberikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) atau individu lain.

“Kami sentiasa mengambil berat hal Azlan yang menjaga ibunya sebelum wanita ini tinggal bersama mereka sejak tahun lalu,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Pekung bapa perkosa anak berulang kali terbongkar ketika kaunseling pelajar

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Pengkalan Hulu: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan sumbang mahram dengan menjadikan anak gadisnya yang berusia 17 tahun sebagai tempat melampiaskan nafsu serakahnya.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, laporan polis berhubung perkara itu dibuat seorang kaunselor sekolah berusia 37 tahun tengah hari semalam selepas dimaklumkan mangsa sendiri ketika sesi kaunseling yang berlangsung pada hari yang sama.

Beliau berkata, dalam keterangannya mangsa memaklumkan kejadian pemerkosaan itu kali pertama berlaku pada 2017 ketika mangsa berusia 10 tahun dan ia berlanjutan sehingga 2020, ketika mangsa berusia 14 tahun.

"Menurut mangsa juga, kejadian ini pernah diadukan kepada ibu saudaranya yang kemudian bertindak berhadapan dengan suspek namun suspek menafikan sekeras-kerasnya perkara itu," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan laporan polis yang dibuat 3.40 petang semalam, suspek yang berusia 43 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu itu.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Khamis depan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan," katanya.

Polis antara 4 didakwa rompak warga Bangladesh

Bernama

PETALING JAYA: Empat lelaki termasuk seorang anggota polis antara yang didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan hari ini atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua lelaki warga Bangladesh dua minggu lepas.

Di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, anggota polis Norizam Ambiah, 34, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas, menyamun barang kemas termasuk rantai dan gelang tangan bernilai RM264,000, wang tunai RM4,202, sebuah telefon bimbit, visa dan kad Touch N Go milik Arif Hossain, serta barang kemas bernilai RM231,000, dan pelbagai barangan lain termasuk wang tunai RM3,600 dan enam telefon bimbit milik Shakel Ahmed.

Kesalahan didakwa dilakukan di kaunter letak kenderaan di depan sebuah pusat beli-belah di Jalan Munshi Abdullah pada 11 Mei lepas, lapor Bernama.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan ikat jamin, pihaknya mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Harcharanjit Singh yang mewakili Norizam memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sementara itu, tiga lagi tertuduh, iaitu Muhammad Kamaruzzaman Imran, 34, Muhamad Azam Ab Rahim, 33, dan Roshaizol Lajat, 45, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi atas pertuduhan mengikut seksyen sama di lokasi, masa dan tarikh sama.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif menawarkan jaminan RM12,000 kepada setiap tertuduh manakala peguam Tharamjit Singh mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan mereka menanggung keluarga.

Nu’aman membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan sebutan kes pada 28 Jun.

Saksi dakwa tak pernah goda atau ada hubungan dengan Ebit Lew

Bernama

TENOM, 24 Mei: Saksi kesembilan dalam kes gangguan seksual melibatkan Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret beliau tidak pernah menggoda mahupun mempunyai sebarang hubungan dengan pendakwah tersebut.

Wanita berusia 40-an itu berkata, beliau menghubungi Ebit Lew hanya untuk menyelesaikan masalah kekeluargaan dan tertuduh pada masa sama juga mengambil berat terhadap masalahnya.

Saksi itu berkata, tertuduh akan memberi pujian sebelum menghantar mesej-mesej berunsur lucah selain meminta gambar.

“Saya pun tidak pernah terfikir untuk jalinkan hubungan dengan Ebit (Lew) , apa lagi untuk tujuan seks,” kata saksi tersebut.

“Saya masih lagi layan mesej-mesejnya sehingga ada ketika saya ikut kehendak beliau yang meminta gambar saya.”

Wanita itu berkata demikian di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria pada perbicaraan hari ini.

Saksi berkata, beliau dikecam apabila membuat laporan polis terhadap Ebit Lew, malah ada pihak yang mendakwa beliau memfitnah tertuduh.

“Saya tidak ada keperluan (memfitnah tertuduh) dan saya tidak fitnah beliau,” katanya.

“Apa yang dia buat itu (gangguan seksual) memang betul dan dia (mempunyai) ramai mangsa pun betul, sebab dia mengaku kepada saya pada 29 Julai 2021.”

Wanita itu berkata, sepanjang Mac hingga Jun 2021, selain menerima mesej lucah, Ebit Lew juga membuat panggilan kepadanya melalui WhatsApp, serta panggilan video dan mesej di Instagram.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 tuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah kepada mangsa menerusi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Isteri polis mengaku tak salah racun suami, ibu mentua

Bernama

KUANTAN: Isteri seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara menggunakan racun terhadap suami dan ibu mentuanya lima tahun lepas.

Mou Ei Leen @ Eileen Mou, 42, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut tuduhan pertama, ibu dua anak itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap suaminya di sebuah rumah pada Julai 2019.

Bagi tuduhan kedua, wanita berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap ibu mentuanya di sebuah rumah penjagaan warga emas pada Jun 2020.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam Bob S Arumugam.

Terdahulu, Raja Zaizul Faridah mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu jaminannya dikurangkan kerana tertuduh mempunyai dua anak berusia 12 dan 15 tahun yang masih bersekolah.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan, menyerahkan pasport dalam masa tujuh hari kepada mahkamah, serta tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga selesai perbicaraan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Jun ini.

Adakah PN mahu terus subsidi orang kaya, warga asing? - PMX

Noor Soraya Mohammad Jamal

Penyasaran subsidi diesel bukanlah bertujuan untuk menyusahkan rakyat sebaliknya ditujukan kepada golongan kaya dan warga asing yang telah lama menikmati subsidi daripada bahan bakar berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mengapa dia (Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin) sibuk menentang penyasaran (subsidi). Dia nak pertahankan siapa? Kita tekankan penyasaran subsidi ini untuk menarik subsidi dari golongan kaya dan warga asing.

“Diesel tidak digunakan majoriti rakyat dan bagi golongan terkait seperti pemandu teksi, peniaga kecil, nelayan, semua diberi pengecualian dan bantuan untuk menampung kenaikan kos itu,” katanya membidas kenyataan Hamzah yang mengkritik penyasaran subsidi itu.

Beliau berkata syarikat-syarikat besar pula dipantau bagi membendung kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

“Adakah Perikatan Nasional (PN) akan terus memberi subsidi kepada orang kaya dan warga asing (jika mereka berkuasa)? Jawab itu dulu.

"Itulah yang akan menggusarkan rakyat," katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang media bagi mengakhiri siri lawatan ke Jepun, hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan Hamzah mendakwa pengumuman Anwar menimbulkan rasa kurang senang orang ramai serta gagal menyatakan secara tepat bila subsidi akan dihapuskan.

Anwar berkata secara prosedur, lazimnya perdana menteri akan mengumumkan dasar dan menteri berkaitan akan memberikan butiran dan tindakan susulan.

“Dia pernah jadi menteri, kenapa dia tanya soalan seperti itu? Benda ini dilakukan sejak sebelum merdeka,” kata Perdana Menteri.

Selasa lepas Anwar mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel yang melibatkan pengguna di Semenanjung dan subsidi itu melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.

Penyasaran bersubsidi diesel itu bagaimanapun tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

- Bernama

Adun Sungai Bakap meninggal dunia

Malaysiakini

Anggota dewan undangan negeri (Adun) Sungai Bakap Nor Zamri Latiff meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini.

Perkara itu dikongsi Adun Penaga Mohd Yusni Mat Piah dalam hantaran di media sosialnya sebentar tadi.

“Belasungkawa buat sahabat seperjuangan. Adun Sungai Bakap Pulau Pinang, YB Nor Zamri Latiff baharu sahaja menghembuskan nafas terakhir jam 1.38 petang di ICU Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang.

“Jenazah Allahyarham akan disembahyang dan dikebumikan jam 6:00 petang hari ini di Masjid Sungai Acheh, Nibong Tebal.

“Istiqamah dengan perjuangan Islam hingga ke penghujung hayat. Berehatlah wahai sahabatku, kematian yang dicemburui. Hari Jumaat Sayyidul Ayyam,” katanya.

Pada 1 Mei lalu Nor Zamri, 56, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menerima rawatan di ICU Hospital Seberang Jaya kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff dilaporkan berkata dia dimaklumkan oleh ahli keluarga berhubung keadaan kesihatan Nor Zamri yang ketika itu ditidurkan.

3 tahun jatuh cinta pada lelaki disangka wanita

Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Licik menyamar sebagai wanita bertujuan menggoda lelaki sebelum diminta menyerahkan sejumlah wang demi cinta.

Itu tindakan seorang lelaki berusia 27 tahun yang ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti 'love scam' hingga mengakibatkan mangsa lelaki kerugian RM12,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal berkata, suspek ditahan Rabu lalu selepas mangsa seorang lelaki membuat laporan ditipu.

Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa yang tinggal di Bandar Baru Salak Tinggi memaklumkan berkenalan dengan seorang `wanita' melalui aplikasi 'Tinder' pada 4 Februari 2021.

"Suspek ada meminta bantuan kewangan daripada mangsa membabitkan jumlah keseluruhan RM12,000.

"Pada tahun 2022, suspek memberitahu kononnya adiknya pergi ke United Kingdom, England untuk menyumbang organ sebelum meninggal dunia akibat sakit.

"Mangsa menyedari ditipu selepas seorang rakan turut memaklumkan berkenalan dengan suspek menggunakan modus operandi sama. Susulan itu polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek lelaki di Cyberjaya," katanya semalam.

Menurutnya, suspek kini direman bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pukul ibu sedang solat, penganggur diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Bernama

KUALA KANGSAR: Lelaki yang mencederakan ibunya menggunakan senjata tajam ketika wanita itu menunaikan solat di rumah mereka di Kampung Bongor, Gerik, diarah menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.

Arahan itu dikeluarkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap Mohamad Helmi Hamzah, 29, selepas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ahli keluarganya iaitu Noraina Ismail, 54, dengan menggunakan sepana plag iaitu alat yang jika digunakan sebagai senjata untuk menyerang mungkin menyebabkan kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam rumah No 57, Kampung Bongor kira-kira 6.30 pagi, 21 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.

Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara hingga dua kali tempoh maksimum yang dia boleh dikenakan sekiranya disabitkan kesalahan itu di bawah seksyen berkaitan walau apa pun hukuman lain diperuntukkan bagi seksyen terbabit.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan apabila tertuduh mengangkat bahu tanda tidak memahami pertuduhan sebelum pihak mahkamah mengarahkan dia menjalani rawatan psikiatri.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Firdaus Nor Azlan memohon tertuduh yang tidak diwakili peguam dirujuk ke hospital berikutan mempunyai sejarah rawatan.

Mahkamah menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan psikiatri.

Penganggur itu ditahan polis Selasa lepas setelah mencederakan ibunya menggunakan senjata tajam ketika mangsa menunaikan solat, selain turut mencederakan adik lelakinya berusia 15 tahun yang cuba membantu ibu mereka.

Rezeki tak pernah salah alamat, ini buktinya

Prihatin dengan kisah
Mohd Aariz, tauke kereta terpakai hadiahkan Proton Persona

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Mohd Aariz Zafran Abdul Qaadir, 11 Bulan (dua kanan) bersama ibunya Norhidayu Halim, 35 (kanan) dan ayahnya Mohd Azlan b Ishak, 35 (dua kiri) yang tular di media sosial yang memakai alat bantuan pernafasan ketika di temuai pemberita di Taman Kota Nelayan. FOTO WAN NABIL NASIR
Mohd Aariz Zafran Abdul Qaadir, 11 Bulan (dua kanan) bersama ibunya Norhidayu Halim, 35 (kanan) dan ayahnya Mohd Azlan b Ishak, 35 (dua kiri) yang tular di media sosial yang memakai alat bantuan pernafasan ketika di temuai pemberita di Taman Kota Nelayan. FOTO WAN NABIL NASIR
Alor Setar: "Alhamdulillah, rezeki anak saya terus melimpah sehinggakan ada yang sanggup menghadiahkan kereta terpakai untuk kami, semalam, " kata Mohd Azlan Ishak, 35.

Katanya, dia menerima hadiah kereta Proton Persona dari seorang pengusaha kereta terpakai di Jalan Langgar yang bersimpati dengan nasib mereka selepas kisah dia dan isteri tular di media sosial kerana membawa anak mereka Mohd Aariz Zafran, 11 bulan yang memakai alat pernafasan menaiki motosikal ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Ahad lalu.

Menurut Mohd Azlan, pada mulanya dia dan isteri, Norhidayu Halim, 35, singgah di kedai kereta terpakai itu kelmarin untuk membeli kereta menggunakan hasil wang sumbangan yang diterima daripada orang ramai untuk kemudahan membawa Mohd Aariz ke hospital.

"Saya memang berkenan kereta Proton Persona hijau di kedai itu dan hanya membawa wang tunai RM3,000 untuk membeli kereta di situ

"Apabila ditanya kepada pengusaha kedai kereta itu, dia tanya sama ada saya minat dengan Proton Persona itu. Saya kata memang minat dan saya terkejut apabila dia menghadiahkan kereta itu demi Mohd Aariz," katanya di sini hari ini.

Mohd Azlan berkata, segala proses dokumen kereta Proton Persona itu sudah diuruskan oleh kedai kereta terpakai itu.

"Saya juga berterima kepada seluruh rakyat Malaysia yang membantu menghulurkan sumbangan sehingga kini mencecah lebih RM100,000.

"Saya tak pernah minta pada sesiapa sebelum ini walaupun pernah ada RM12 dalam tangan hinggakan ada juga yang mengecam saya dan isteri namun saya tak ambil kisah sangat.

"Kalau tidak kerana ada yang tular gambar kami tiga beranak di media sosial baru-baru ini mungkin agak susah kami untuk menguruskan kehidupan memandangkan saya baru sembuh dari demam campak dan tidak dapat bekerja," katanya.

Mohd Azlan yang juga pembantu pelantar ikan di Kuala Kedah berkata, rumahnya di Taman Kota Nelayan juga tidak putus dikunjungi orang ramai temasuk pempengaruh media sosial, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang datang membantu.

Katanya, ada yang datang menyalurkan sumbangan susu bayi dan lampin pakai buang untuk anaknya selain memberi sumbangan wang tunai untuk mereka.

"Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu memberi sumbangan demi untuk anak saya, Mohd Aariz yang menghidap paru-paru kronik," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mengenai pasangan suami isteri yang ditular di media sosial kerana membawa anak mereka menaiki motosikal memakai alat pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) ke hospital.

Kepayahan yang dilalui pasangan suami isteri itu mendapati perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerusi setiausaha politiknya, Ahmad Farhan Fauzi yang memohon orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keluarga itu.

PAS sedia tanding di tujuh kerusi wakil Bersatu paling tadah

Malaysiakini

PAS sedia bertanding di enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN yang dijangka akan dikosongkan susulan tindakan wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata, berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022, Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan dan partinya bersedia untuk meletak calon jika diberi mandat untuk bertanding.

“Saya juga yakin dalam suasana muhibah dalam komponen parti-parti PN, kita dapat selesaikan isu calon itu dengan sebaik-baiknya,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Setakat ini, enam ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu telah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar.
Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Manakala Adun yang terbabit pula ialah Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Susulan itu, pada 2 Mac lalu, Bersatu meminda perlembagaan parti dalam usaha untuk menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah pada masa hadapan.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata keahlian enam ahli Parlimen dan seorang Adun parti itu yang berpaling tadah telah tergugur secara automatik.

Tegas Razali, mereka juga perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing dan tidak perlu menunggu surat pemecatan.

Mengulas lanjut, Hashim berkata PAS yakin peluang untuk PN menang lebih cerah sekiranya perlu menghadapi PRK.

“Pilihan raya ini sudah menjadi adat, ada yang kalah dan ada yang menang. Kita juga sudah bersedia dengan kekuatan jentera jika berlaku PRK tersebut,” katanya lagi.

Tuduhan terhadap anak MB Perlis boleh cemar imej ‘bersih’ PAS

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Penganalisis berkata, pendakwaan terhadap anak Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli atas pertuduhan memalsukan tuntutan boleh menjejaskan reputasi PAS sebagai parti “bersih”.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, PAS sebelum ini dilihat tidak tercemar dengan rasuah ketika berada dalam kerajaan, tidak seperti parti lain yang pemimpin mereka dihadapkan ke mahkamah.

Berdasarkan senario itu, katanya, bukan saja Perikatan Nasional (PN) akan terkesan, PAS yang dikenali parti ‘bersih’ juga akan terjejas.

“PAS akan merasa sukar untuk bercakap mengenai rasuah selepas ini,” katanya kepada FMT.

Semalam, Syafeeq Shukri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu lebih RM19,000 untuk menyediakan minuman bagi kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Februari lalu.

Azmi yang juga felo Majlis Profesor Negara mencadangkan ahli PAS patut mendesak Shukri berundur bagi mengelakkannya terus memalukan parti itu.

Shukri juga pesuruhjaya PAS Perlis dan pengerusi PN negeri.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia turut senada perkembangan itu mungkin memberi kesan negatif terhadap PAS memandangkan kes rasuah dalam PN sebelum ini sering dikaitkan dengan Bersatu.

Beberapa pemimpin Bersatu terbabit kes rasuah, seperti Presidennya, Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Wan Saiful Wan Jan.

Tetapi, Mazlan berkata, tidak adil untuk memaksa Shukri melepaskan jawatan menteri besar memandangkan kes itu hanya membabitkan anaknya.

“Lain cerita jika menteri besar itu yang didakwa. Ini (anaknya didakwa) tidak menjejaskan tugasnya sebagai menteri besar.”

Peragut lahanat berhati kering

Ragut ibu sedang tunggang motosikal bawa dua anak

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video kejadian seorang wanita diragut suspek menunggang motosikal di Taman Bandar Senawang. FOTO Ihsan pembaca
TANGKAP layar video kejadian seorang wanita diragut suspek menunggang motosikal di Taman Bandar Senawang. FOTO Ihsan pembaca
Seremban: Tanpa menghiraukan nyawa seorang wanita yang menunggang motosikal dengan membawa dua anak kecil, seorang penyamun 'berhati kering' apabila meragut mangsa di Taman Bandar Senawang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek yang menunggang motosikal meragut gelang tangan wanita itu, sebelum melarikan diri, pada 12.30 tengah hari.

"Semalam, kami mengesan satu video klip berdurasi 16 saat yang tular di X memaparkan satu kejadian ragut membabitkan seorang wanita.

"Gelang tangan emas dipakai mangsa diragut suspek seorang lelaki yang menunggang motosikal di Taman Bandar Senawang dan kejadian itu terakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ia tular," katanya, hari ini.

Mohamad Hatta berkata, hasil siasatan, kejadian ketika mangsa seorang wanita berusia 33 tahun bersama dua anak menaiki sebuah motosikal di Jalan Dareca 2.

"Tiba-tiba, datang seorang lelaki dipercayai warga tempatan yang menunggang Yamaha 125Z berwarna biru meragut gelang emas milik mangsa.

"Suspek kemudiannya melarikan diri. Pengadu bernasib baik kerana berjaya mengawal motosikal dan tidak terjatuh. Mangsa dengan dua anak tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, polis kini memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Faizal Mohd Zaini di talian 013-3611854 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban 06-6033222," katanya.

Anwar bawah tekanan gugur ketua negeri terkemuka

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim di bawah tekanan untuk menggugurkan ketua terkemuka di negeri tertentu susulan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin bahagian, menurut sumber.

Seorang pemimpin PKR enggan dinamakan berkata, Anwar menemui pemimpin bahagian setiap negeri baru-baru ini, dengan mereka dari sebuah negeri tertentu membangkitkan kebimbangan terhadap ketua mereka.

“Ada yang mungkin tidak lantang dengan kebimbangan mereka dalam pertemuan itu, tetapi kemudian menyuarakan rasa sangat tidak puas hati dalam kumpulan WhatsApp kepimpinan negeri.

“Presiden parti sudah beritahu beliau sedang meneliti penstrukturan semula kepimpinan beberapa negeri selepas mendapat maklum balas semua pemimpin bahagian,” katanya kepada FMT.

Sumber itu mendakwa tokoh terbabit yang juga kepimpinan tertinggi PKR, berulang kali campur tangan dalam pelaksanaan tugas pemimpin bahagian.

“Contohnya, pelantikan ahli majlis tempatan. Pemimpin bahagian sepatutnya mengemukakan calon pilihan mereka, tetapi pemimpin negeri tertentu campur tangan, termasuk ketua negeri itu.”

FMT sudah menghubungi beberapa pemimpin negeri PKR untuk mengulas.

PKR menerajui kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan, selain menjadi sebahagian daripada pentadbiran Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Sabah.

Bulan lalu, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, parti itu akan merombak kepimpinan negerinya dan Anwar sudah selesai melakukan rombakan di Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan serta Selangor.

Meringkuk dalam penjara 14 tahun sebab ‘sentuh’ rakan

TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

Muhammad Aidil Firdaus (tengah) dipenjara 14 tahun dan dua sebatan kerana mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii rakan sekerjanya di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU – Perbuatan seorang pekerja pembersihan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap rakan sekerjanya di wad Hospital Setiu berbalas apabila dia dihukum penjara 14 tahun dan dua sebatan hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan demikian selepas tertuduh, Muhammad Aidil Firdaus Mohd. Naser, 25, gagal dalam rayuannya sekali gus diputuskan bersalah pada akhir kes pembelaan.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan mangsa yang ketika itu berusia 24 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik di wad Hospiral Setiu pada pukul 4 hingga 5.30 petang, 8 Oktober 2020.

Muhammad Aidil Firdaus didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii terhadap mangsa di lokasi dan masa sama. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman lima hingga 20 tahun serta sebatan. – KOSMO! ONLINE

Saksi: Buat laporan polis untuk hentikan perbuatan Ebit Lew

BERNAMA

Tenom: Saksi kesembilan kes gangguan seksual membabitkan Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa dia membuat laporan polis untuk menghentikan perbuatan pendakwah itu supaya tidak ada lagi yang menjadi mangsa seterusnya.

Wanita berusia 40-an itu berkata dia dan suami pada mulanya tidak merancang untuk membuat laporan polis, namun selepas gambar serta video Ebit Lew tersebar, dia membuat keputusan pada 2 Ogos 2021 untuk membuat laporan berhubung gangguan seksual itu.

Pengadu itu berkata dia membuat laporan di Balai Polis Bukit Aman pada 7 Ogos 2021 kerana Ebit Lew adalah pendakwah terkenal.

"Pada mulanya, saya dan suami berbincang tidak perlu lapor (polis), biar Allah sahaja balas apa yang Ebit buat. Tetapi, apabila banyak gambar dan video tersebar, kami ambil keputusan untuk lapor sebab bukan seorang mangsa seksual Ebit, tetapi ramai," katanya.

Wanita itu berkata demikian di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria pada perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah terbabit hari ini.

Saksi itu berkata perbincangan antara dia dan suami juga dibuat apabila melihat hantaran melalui Facebook Mohd Fairuz Abu atau Akhi Fairuz Al-Jengkawi iaitu saksi pendakwaan pertama mengenai gangguan seksual oleh pendakwah terkenal itu pada 26 Julai 2021.

Wanita itu berkata Akhi Fairuz turut berada di Bukit Aman ketika dia membuat laporan polis sebagai saksi sebelum dibawa berjumpa dengan saksi pendakwaan ketiga Firdaus Wong.

Ketika ditanya sekiranya Akhi Fairuz dan Wong menawarkan apa-apa imbuhan atau membuat sebarang pakatan dengan saksi untuk menjatuhkan Ebit Lew, wanita itu berkata, "Tidak, tiada."

Dalam keterangan selama tiga jam itu, wanita terbabit turut memberitahu dia juga sudah cuba menyekat (block) dan nyahsekat (unblock) nombor telefon Ebit Lew pada 9 April 2021 antara 2.07 pagi hingga 11.44 malam.

"Ya, memang betul mulanya saya block dia, tapi hari itu saya jadi keliru. Saya risau, saya block sebab saya marah dia bagi ayat lucah dan minta gambar lucah, tapi dalam masa sama saya unblock … saya bimbang kerana saya ada beri dia gambar.

"Gambar-gambar saya ada di tempat dia, sebab itu saya unblock. Dia tidak minta maaf pun atas perbuatan dia, jadi bagi saya dia tidak berubah, dia jahat," katanya.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

Tular sami berehat dalam masjid di Hari Wesak

Siti Nur Shahirah Omar
story-image
Video dan gambar memaparkan sekumpulan sami Buddha berehat di sebuah masjid di Temanggung di Jawa Tengah, Indonesia pada Ahad lalu tular di media sosial.

Kumpulan sami tersebut melakukan ritual thudong, iaitu berjalan kaki ke Candi Borobudur sempena Hari Wesak, dan singgah berehat sebentar di Masjid Baiturrohmah di Bengkal, Temanggung.

Pihak masjid yang menyambut kedatangan mereka tidak menyangka video dan gambar tersebut mengundang perhatian ramai.

Menurut pengerusi masjid, Fatkhulrohman, 53, berkata kumpulan sami tersebut menulis surat untuk meminta izin berehat di situ.

“Saya terus berjumpa dengan ahli-ahli masjid yang lain untuk memberi kebenaran kepada sami-sami. Kami menyediakan kelengkapan yang mencukupi bagi menyambut tetamu berehat seperti minuman dan makanan ringan.

“Pihak masjid menyediakan minuman seperti kopi, teh dan dawet (minuman segar yang popular di Indonesia),” kata Fatkhulrohman menurut laporan portal berita Indonesia, Detik.

Menurut laporan itu, kumpulan sami itu menyuarakan penghargaan kepada pihak masjid atas sambutan diberikan dan sempat berdoa untuk masyarakat setempat.

“Mereka berasa gembira serta teharu dan berdoa dengan cara mereka, mungkin orang yang tidak tahu ibadah mempunyai persepsi yang salah. Tujuannya bukan untuk ibadah tetapi mereka hanya mendoakan masyarakat Bengkal.

“Selepas itu, pihak masjid juga membaca doa selamat yang dipimpin oleh Pak Haji Wari. Jika orang yang tidak tahu mereka akan berkata ‘oh, masjid digunakan sebagai tempat ibadah untuk penganut Buddha’. Itu yang salah, padahal mereka hanya berdoa,” kata Fatkhulrohman lagi.

Pada sebelah malam, katanya lagi, dia menerima mesej Whatshapp daripada beberapa pihak yang bertanya mengapa ia menjadi tular.

Dia berkata pihak masjid hanya menghormati tetamu dan jika ada yang menyokong mahupun membantah, itu hanyalah pandangan peribadi mereka.

“Saya hanya menunjukkan bahawa Islam menghormati agama lain. Yang penting adalah rahmatan lil alamin, Islam seperti ini bukan seperti yang dibayangkan oleh orang lain," katanya.

Sementara itu, ketua kumpulan sami, Kamsai Sumano Mahathera menghargai sambutan hangat yang diberikan pihak masjid.

“Kami masuk ke masjid dan dilayan seperti keluarga kami sendiri kerana semua sudah disiapkan. Selepas kami minum, kami berdoa bersama,” katanya.

Maybank ‘panas’ jadi sebutan, ‘yang tolak dua kali tapi peniaga tak terima macam mana?’

Harapandaily

‘Panas’ di media sosial sehingga muncul sohor kini di laman X deretan rungutan orang ramai terhadap Maybank y8ang tergendala sejak petang tadi.

Walaupun Maybank pada jam 8.11 malam tadi memberitahu transaksi boleh dilakukan seperti biasa, namun masih muncul luahan rasa kesal kalangan mereka yang tidak dapat berbuat demikian.

“Masih tak boleh guna tadi di kedai.

“Yang tolak dua kali tapi peniaga tak terima macam mana?

“Saya baru cuba bayar guna kad debit. Masih tidak boleh guna,” demikian antara rungutan orang ramai di laman X rasmi Maybank sebentar tadi.

7 ditahan pukul, paksa pelajar masuk kumpulan haram

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh remaja lelaki berusia 16 hingga 18 tahun kerana disyaki terlibat memukul dan memaksa pelajar sekolah menyertai kumpulan haram di sekitar Kajang pada Jumaat dan Ahad lepas.

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan berkata penahanan itu susulan polis menerima dua laporan berhubung kejadian pukul melibatkan pelajar sekolah di kawasan Bandar Sungai Long, Kajang.

Beliau berkata dalam kejadian pertama, seorang pelajar berusia 13 tahun didatangi sekumpulan pelajar lelaki dari sekolah sama sebelum dua daripada mereka bertindak memukul mangsa termasuk menggunakan sebatang besi kira-kira 12 tengah hari pada 16 Mei lepas.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya dalam kejadian kedua pada 17 Mei, seorang pelajar sekolah berusia 14 tahun didatangi sekumpulan lelaki yang mengajaknya menyertai kumpulan Geng 24 ketika sedang makan bersama rakan-rakannya di sebuah restoran di kawasan Bandar Mahkota Cheras.

Beliau berkata tiga suspek kemudian bertindak memukul mangsa dan rakannya menggunakan kerusi plastik selepas menolak ajakan tersebut sehingga mengalami kecederaan di kepala dan tangan.

Zaid berkata kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Insp Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-8881475 dan Insp Raziman Rasid (019-4565502).

Pengkhianat: Hasil cukai tiris RM2 bilion, 34 anggota, pegawai kastam ditahan

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
ANTARA individu yang ditahan dalam Op Samba 2.0 bermula 11 hingga 25 Mac lalu.  FOTO Ihsan SPRM
ANTARA individu yang ditahan dalam Op Samba 2.0 bermula 11 hingga 25 Mac lalu. FOTO Ihsan SPRM
Kuala Lumpur: Seramai 34 anggota dan pegawai kastam bersama 27 individu dan pemilik syarikat ditahan menerusi Op Samba 2.0 yang dijalankan bermula 11 hingga 25 Mac lalu.

Operasi itu dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

SPRM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan operasi itu menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.

Katanya, ia adalah satu kerugian hasil negara yang amat besar dan memberi impak negatif berterusan kepada ekonomi negara sekiranya tidak dibendung.

"Dalam operasi ini, SPRM menahan 34 anggota dan pegawai dari gred 19 hingga 44 bersama 27 individu dan pemilik syarikat.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup," katanya.

Susulan penahanan individu terbabit, Bahagian AML SPRM merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

"SPRM juga membekukan sebanyak 231 akaun bank milik individu, syarikat dan 'akaun keldai' berjumlah kira-kira RM18 juta yang terbabit dengan kegiatan sindiket penyeludupan berkenaan.

"Setakat ini, dua pegawai kastam sudah dituduh dan seramai 23 anggota dan pegawai kastam akan didakwa di enam Mahkamah Sesyen berasingan di seluruh negara sehingga 6 Jun nanti.

"Kesemua mereka akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan," katanya.
ANTARA kenderaan mewah yang dirampas dalam operasi itu. FOTO Ihsan SPRM
ANTARA kenderaan mewah yang dirampas dalam operasi itu. FOTO Ihsan SPRM
Sementara itu, SPRM mengesan modus operandi digunakan sindiket dilumpuhkan dalam Op Samba adalah melalui 'forwarding agent' yang bertindak sebagai orang tengah bagi membayar rasuah kepada penguatkuasa.

Menurut sumber, anggota pegawai kastam yang bertugas dalam pemeriksaan kargo diberi sogokan sebagai balasan melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan sepatutnya.

Katanya, sindiket itu dipercayai melakukan perbuatan penyeludupan dan merasuah pegawai agensi penguatkuasa berkenaan sejak 2017 hingga 2024.

"Hasil siasatan menunjukkan pegawai-pegawai itu sudah menerima rasuah kira-kira RM4.7 juta daripada sindiket melalui akaun keldai untuk mengelak transaksi kewangan berkenaan dikesan.

"Sindiket juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan 'syarikat hantu', pengurup wang, kegiatan judi dalam talian dan melalui syarikat pinjaman wang berlesen.

"Sebanyak 19 'syarikat hantu' ditubuhkan dengan menjalankan pelbagai perniagaan aktiviti pengubahan wang haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Menurut sumber juga, tujuh lagi anggota dan pegawai dicadangkan kepada agensi berkenaan untuk dikenakan tindakan tatatertib.

"Pertuduhan sedang dijalankan sepanjang Mei sehingga 6 Jun nanti," katanya.

Wartawan China bongkar kes COVID-19 dibebaskan selepas 4 tahun dipenjara

Bharianonline
Gambar tangkap layar menunjukkan bekas peguam dan wartawan warga China, Zhang Zhan. - Foto AFP
Gambar tangkap layar menunjukkan bekas peguam dan wartawan warga China, Zhang Zhan. - Foto AFP
ISTANBUL: Wartawan China, Zhang Zhan, yang dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada 2020 kerana melaporkan wabak COVID-19 dibebaskan dari penjara, menurut kenyataan penyokongnya.

Zhang, 40, dibawa ke rumah abangnya di Shanghai oleh pihak polis pada 13 Mei, kata kenyataan itu pada Selasa di X.

"Saya benar-benar tidak tahu apa yang hendak dikatakan," kata Zhang dalam video yang dikeluarkan dengan kenyataan itu.

Kyodo News berkata, wartawan itu 'disabitkan bersalah mengganggu ketenteraman awam, dengan pendakwa raya mendakwa dia menyebarkan sejumlah besar pembohongan dan bercakap dengan media asing mengenai jangkitan dengan niat jahat'.

Zhang, 40, yang juga bekas peguam ditugaskan ke Wuhan pada awal 2020 dari Shanghai, menyiarkan laporan mengenai hospital yang sesak dan jalan-jalan lengang, sekali gus memberikan gambaran lebih mengerikan mengenai wabak itu, berbanding saluran rasmi.

Selepas beberapa bulan membuat laporan termasuk siaran video, dia ditahan pada Mei 2020.

Menerusi dokumen mahkamah yang dilihat Reuters akhir Jun lalu, dia melancarkan mogok lapar sehingga mendorong polis untuk mengikat tangannya dan memberinya makan secara paksa melalui tiub.

Pada Disember 2020, dia disabitkan oleh mahkamah Shanghai kerana 'memilih untuk bertengkar dan mencetuskan masalah' serta dijatuhi hukuman penjara empat tahun.

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) juga mengecam perkara itu dan menyifatkan tuduhan terhadap Zhang sebagai 'pendakwaan palsu' dan berulang kali meminta dia dibebaskan.

Zhang dipuji sebagai wira oleh ramai penduduk China kerana berani mendedahkan krisis COVID-19 itu ketika kerajaan cuba menutupnya, malah laporan beliau turut menarik perhatian antarabangsa apabila virus itu merebak pantas ke seluruh dunia berpunca dari Wuhan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa China didakwa bertindak terlalu tegas lagi kasar bagi menangani Zhang dan pengkritik lain mengenai dasar COVID-19.

Menurut laporan media, seorang lagi pemberi maklumat COVID-19, Fang Bin, dipenjarakan selama tiga tahun sebelum dilaporkan dibebaskan tahun lalu.

Kes pertama COVID-19 dilaporkan di pusat bandar Wuhan di China pada Disember 2019.

Ia kemudiannya merebak ke seluruh dunia dengan negara mengenakan sekatan perjalanan. - AGENSI

Bolasepak: 'Kecik-kecik' dah pukul pengadil

Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular menunjukkan pengadil (kanan) cuba mengejar pemain remaja yang memukulnya dari belakang.
TANGKAP layar video tular menunjukkan pengadil (kanan) cuba mengejar pemain remaja yang memukulnya dari belakang.
Kuala Lumpur: Kecil-kecil sudah jadi 'gengster'. Itu situasi berlaku dalam Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di Kubang Pasu yang bertukar kecoh selepas seorang pelajar lelaki dikatakan cuba memukul pengadil perlawanan pada kejohanan itu.

Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, berlaku pergaduhan antara pemain dua pasukan yang bertanding sebelum seorang pelajar menolak pengadil itu dari belakang secara tiba-tiba.

Situasi bertukar panas apabila pengadil naik berang seterusnya cuba mengejar pelajar itu sebelum beberapa pemain daripada pasukan sama cuba menolak, menyepak dan menumbuk pengadil terbabit.

Bagaimanapun, beberapa individu yang berada di lokasi kejadian berjaya meredakan keadaan dan menenangkan pengadil itu.

Perkara itu mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang sedia maklum mengenai insiden terbabit, seterusnya menunggu laporan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk tindakan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib KFA, Mohd Farhan Ahmad berkata, JPN Kedah sebagai badan penganjur kepada kejohanan itu akan menyerahkan laporan kepada pihaknya sebelum sebarang keputusan diputuskan.

"Ini memberi kesedaran kepada kita bahawa generasi muda sekarang sangat mudah menggunakan kekerasan tanpa mempertimbangkan kesan terhadap pasukan.

"Pihak Jawatankuasa Tatatertib KFA akan memastikan keputusan yang akan dibuat adalah adil dan saksama.

"Mohon pihak lain tidak membuat apa-apa spekulasi sebelum keputusan diumum," katanya.

Komen hina nabi, penganggur dipenjara 6 bulan

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memuat naik komen jelik terhadap Nabi Muhammad menerusi akaun Facebooknya, dua tahun lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Lim Yu Hui, 29, selepas dia mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dan memerintahkan hukuman enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan itu berjalan serentak bermula hari ini.

Lim didakwa secara sedar memuat naik tiga hantaran komen jelik di laman Facebook menerusi akaun ‘Hallowen Day’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di sebuah bengkel di Jalan Cecily, Sandakan, Sabah, antara 9.24 hingga 9.30 pagi, 18 Sept 2022.

Semua hantaran itu dilihat di sebuah unit residensi di Pantai Sentral di sini pada 10 pagi tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memohon hukuman setimpal susulan tiga hantaran yang dibuat Lim dilakukan secara sengaja dalam tempoh masa berturut-turut dengan niat untuk menyakiti pembaca.

Bagaimanapun, Lim yang tidak diwakili peguam memohon agar dikenakan hukuman penjara atas alasan tidak mampu untuk membayar denda kerana baru diberhentikan kerja berikutan kes yang dihadapinya.

“Saya menyesal atas perbuatan saya,” katanya.

Penuntut IPTS maut terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel

Malinda Abdul Malik

GEORGE TOWN –  Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 21 sebuah hotel di Tanjong Bungah, di sini, semalam.

Mayat wanita berusia 24 tahun itu ditemui orang ramai dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah pada jam 3.35 petang sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Mangsa pergi ke hotel berkenaan bersama rakan lelakinya yang juga berusia 24 tahun dan kejadian berlaku tidak lama selepas mereka mendaftar masuk ke bilik.

Bagaimanapun, lelaki tersebut hanya menyedari rakannya itu adalah mangsa dalam insiden terbabit selepas melihat orang ramai berkumpul di tingkat bawah selain turun ke tempat kejadian bagi mendapatkan kepastian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, hasil siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan bedah siasat ke atas mangsa dilakukan di Hospital Pulau Pinang hari ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi berhuhung kejadian tersebut untuk menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

Resit pesanan pelanggan hina Islam, empat termasuk suami isteri ditahan

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Bayan Lepas: Empat individu sudah ditahan bagi membantu siasatan kes resit pesanan pelanggan sebuah restoran rangkaian piza di Kenari Avenue di sini, yang didakwa menghina Islam pada 15 Mei lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, tiga warga Myanmar termasuk sepasang suami isteri serta seorang lelaki tempatan itu ditahan di sebuah pondok dusun durian di Sungai Ara di sini, pada 16 Mei lalu.

Katanya, lelaki tempatan berusia 67 tahun adalah majikan manakala tiga lagi yang berusia antara 19 dan 28 tahun itu pula adalah pekerja kebun durian.

"Tiga suspek Myanmar itu direman sehingga 3 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Sementara, lelaki warga tempatan itu pula dibebaskan dengan jaminan polis selepas permohonan reman terhadapnya tamat Isnin lalu.

"Setakat ini, kita sudah terima sebanyak 17 laporan polis berkaitan kes berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau pinang, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis merakamkan keterangan lapan individu bagi membantu siasatan kejadian berkenaan yang mana dua daripadanya adalah pekerja rangkaian piza terbabit.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata polis belum merakam percakapan lelaki yang ditemukan selamat selepas empat hari dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Hill Top Batu Kawan, di sini.

Katanya, percakapan lelaki itu akan diambil apabila mangsa kembali pulih kelak.

"Kita belum merakam percakapan sebab mangsa masih dalam rawatan di Hospital Seberang Jaya.

"Jadi kita beri ruang dan peluang kepadanya bagi berehat dan apabila dia sudah kembali sembuh, kita buat rakaman percakapan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kehilangan Muhammad Azfar Ismail, 29, sejak empat hari lalu selepas mendaki di Bukit Hill Top Batu Kawan.

Bagaimanapun, mangsa ditemukan kira-kira 2 petang semalam, di kawasan paya bakau di jeti berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan dalam keadaan lemah dan keletihan sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.