‘Tergamak rakan jual saya kepada sindiket’

AMREE AHMAD
Azirul Syafiq Sazali (tengah) ketika bercakap pada sidang akhbar dengan mangsa di Terminal 1 KLIA, Sepang lewat malam tadi. Foto oleh AMREE AHMAD/KOSMO!
SEPANG – Seorang mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar mengalami pengalaman perit apabila dijual oleh pelbagai sindiket secara berkali-kali di negara berkenaan.

Tan (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an dan berasal dari Kajang, Selangor itu malah menderita didera oleh sindiket jenayah tersebut sepanjang terperangkap di Myanmar.

Bercerita mengenai pengalamannya dijual oleh rakan sendiri, Tan mengakui tidak sedar apabila ditipu oleh rakan baiknya yang memujuknya dengan konon menawarkan pekerjaan dengan gaji besar di Thailand.

“Rupanya secara rahsia dia mahu jual saya kepada sindiket sejurus sampai di Bangkok dan dibawa menaiki kereta ke Maesot sebelum diseludup memasuki Myanmar,” katanya.

“Ketika di sana, semua ahli geng kumpulan bersenjatakan pistol dan saya turut gagal berhubung dengan dunia luar kerana bukan mudah hendak meminta bantuan,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini malam tadi.

Bercerita lanjut sepanjang setahun di sana, beliau dikerah bertugas sebagai ejen panggilan penipuan dengan sasaran mereka adalah pelanggan di Malaysia serta negara serantau.

Malangnya, beliau banyak kali dipukul teruk bahkan dijual kepada beberapa geng pemerdagangan lain ekoran gagal mencapai sasaran prestasi jualan tinggi yang ditetapkan.

Nasib walau bagaimanapun menyebelahi dirinya apabila beliau digadai kepada sindiket di Segi Tiga Emas Laos selepas dibawanya masuk secara haram dari Tachileik, Myanmar.

“Dari situ, saya dapat menghubungi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Anatarabangsa Malaysia (MHO) yang bertindak pantas melarikan saya dengan sebuah kereta sebelum menaiki bot menyeberangi sempadan ke Thailand,” kata Tan. – KOSMO! ONLINE

IRGC: Peluru berpandu dengan kepala peledak 7kg bunuh Haniyeh

Malaysiakini 

Ketua Biro Politik Pergerakan Hamas Palestin, Ismail Haniyeh dipercayai dibunuh menggunakan peluru berpandu jarak dekat dengan kepala peledak seberat kira-kira tujuh kilogram yang ditembak dari luar rumah tamu di Tehran, lapor Sputnik.

Haniyeh maut pada Rabu selepas beliau menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian.

Hamas telah menyalahkan Israel dan Amerika Syarikat atas kematian Haniyeh dan berjanji akan membalas dendam.

“Berdasarkan data siasatan, operasi pengganas ini dilakukan menggunakan peluru berpandu jarak dekat dengan kepala peledak seberat kira-kira tujuh kilogram dan letupan yang kuat, (ia ditembak) di luar kawasan rumah tamu," kata Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pada Sabtu dalam satu kenyataan, dipetik oleh agensi berita Iran, IRNA.

IRGC juga mendakwa pembunuhan Haniyeh telah dirancang dan dilaksanakan oleh Israel dan disokong oleh Amerika Syarikat, sambil menambah bahawa kematian Ketua Biro Politik Hamas itu akan dibalas dengan "hukuman yang berat" dan pada "masa dan tempat yang sesuai."

- Bernama-Sputnik

Ratusan berhimpun di Bukit Bintang

Alyaa Alhadjri

Ratusan orang ramai menyertai perhimpunan gerakan perpaduan global untuk membebaskan Palestin yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Mereka berkumpul di Bukit Bintang dan berarak di kawasan pusat beli-belah itu menyeru "kehancuran Israel".

Dipimpin oleh Sekretariat Solidariti Palestin dan Pergerakan Sekatan Boikot (BDS Malaysia), perhimpunan malam ini menyaksikan doa khas umat Islam untuk allahyarham pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, yang mereka isytiharkan sebagai syahid.

Peserta perhimpunan melaungkan slogan "dari sungai ke laut, Palestin akan merdeka."

Laungan takbir "Allahuakbar!" kedengaran dan orang ramai diseru menyokong Hamas dalam perang menentang rejim zionis.

Bermula di galeri Beli-belah Starhill, perarakan yang berlangsung lebih 20 minit itu berakhir di McDonald's Bukit Bintang - salah satu jenama utama yang menjadi sasaran kempen boikot.

Perhimpunan anti-Israel ini merupakan kesinambungan solidariti terhadap Palestin yang telah berlangsung pada hujung minggu sejak sebulan lalu.

Aktivis Tian Chua dan Hishamudin Rais bersama ketua penerangan Pejuang Rafique Rashid Mohd Ali ketika berucap turut membangkitkan bantahan kumpulan itu terhadap perjanjian BlackRock.

Lelaki ditemukan maut di bawah flat

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
POLIS melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat di flat dekat Tampoi. FOTO tular.
POLIS melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat di flat dekat Tampoi. FOTO tular.
Johor Bahru: Lelaki ditemui maut di bawah blok sebuah flat dekat Tampoi di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.

Katanya, lelaki itu dipercayai jatuh dari bangunan kediaman itu dan pihaknya menerima maklumat kejadian pada 7.04 pagi.

"Maklumat diterima daripada orang awam yang menemui mayat lelaki tempatan lengkap berpakaian di bawah blok. Kita percaya mangsa terjun dari bangunan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Yusof meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menyalurkannya ke talian 07-5563122 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, gambar penemuan mayat itu tular di media sosial, dipercayai berlaku di Taman Cempaka.

480 ahli keluar parti, Bersatu Nenggiri didakwa ‘lumpuh’

Faiz Zainudin

GUA MUSANG: Seramai 480 ahli Bersatu di DUN Nenggiri hari ini mengumumkan keluar parti dan menyertai Umno berkuatkuasa hari ini.

Penyertaan mereka diketuai bekas timbalan ketua Bersatu Gua Musang Che Ariffin Hussin yang disaksikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi dalam satu majlis di Pusat Daerah Mengundi Jerek.

Che Ariffin mendakwa tindakan keluar parti itu sekali gus menyaksikan semua 12 cawangan Bersatu di Nenggiri ‘lumpuh’.

Bersatu Nenggiri ketika ini kosong jumlah ahli, katanya.

Sementara itu, Zahid mengesahkan menerima borang permohonan keahlian tersebut ke dalam Umno dan mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam parti itu.

Penyertaan mereka kerana telah hilang kepercayan kepada kepimpinan Bersatu. Hal ini berlaku mungkin disebabkan kerjasama antara Bersatu dan PAS, di mana PAS bukan sahaja ‘menunggang’ Islam tetapi rakan politiknya, Bersatu, katanya.

PRK DUN Nenggiri 17 Ogos depan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani manakala PAS diwakili bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang Mohd Rizwadi Ismail.

'Ali baba' lesen: Penguatkuasa Jangan tunggu aduan - Persatuan penjaja, peniaga

Peniaga 'ali baba' lesen: Jangan tunggu aduan - Persatuan penjaja, peniaga
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Penguatkuasaan perlu lebih tegas dengan membatalkan lesen dan menyenaraihitamkan serta-merta peniaga yang 'ali baba' lesen mereka kepada warga asing.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, penguatkuasaan yang dilihat masih lemah menyebabkan isu lesen ali baba tiada berkesudahan.

"Kalau guna lesen warga tempatan sedangkan pemilik lesen tiada di kedai, kita anggap dia ali babakan lesen.

"Kita minta supaya pihak penguat kuasa jangan tunggu aduan tetapi sentiasa peka dan periksa mana-mana premis yang memajakkan lesen mereka kepada warga asing.

"Ambil tindakan tegas kepada mana-mana peniaga yang menyalah gunakan lesen dengan menyita kedai mereka, membatalkan dan senaraikan hitamkan namanya dalam tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro mengenai penahanan lelaki warga India yang juga pemegang kad pemastautin tetap (MyPR) kelmarin, selepas disyaki mengusahakan 17 premis perniagaan secara ali baba di sebuah pusat komersial sekitar Jalan PPK1, Taman Kinrara, Puchong, Selangor.

Rosli turut memberi amaran kepada peniaga dan penjaja tempatan di negara ini supaya mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

"Semua masyarakat peniaga dan penjaja pastikan lesen ini tidak beralih tangan kepada warga asing.

"Kalau didapati perkara ini berlaku kita tidak teragak-agak minta penguat kuasa mengambil tindakan batal lesen, senarai hitamkan namanya supaya tidak boleh terbabit dalam sektor perniagaan supaya beri pengajaran," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak menyarankan, Jabatan Imigresen (JIM) mengadakan operasi bersepadu dengan pihak Jabatan Pendaftaran Syarikat bagi menyenarai hitamkan syarikat serta lembaga pengarah yang terbabit dalam sindiket Ali Baba.

"Jabatan Pendaftaran Syarikat mesti mengenakan hukuman tegas dengan menyenarai hitamkan pengarah syarikat terbabit supaya mereka tidak boleh mendaftar syarikat baharu.

"MCCF juga berharap operasi sedemikian di adakan berterusan di setiap negeri. Jika tidak ia akan memberikan tanggapan negatif kepada komuniti masyarakat Malaysia.

"Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu memantau semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberikan permit perniagaan kepada syarikat Ali Baba yang menjadi penjajahan ekonomi alaf baharu warga asing," katanya.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dilaporkan berkata, warga asing lelaki itu ditahan bersama 14 warga tempatan dan 71 warga asing dalam serbuan membabitkan beberapa premis kedai runcit, kedai makan dan kedai alat telekomunikasi yang diusahakan warga asing.

Katanya, warga asing terbabit dipercayai berselindung di sebalik lesen perniagaan milik warganegara tempatan secara ali baba.

Pemandu treler 'lalok' rempuh rumah, dua beradik maut

Asrol Awang
am@hmetro.com.my
Rumah mangsa rosak teruk akibat dirempuh treler. FOTO Ihsan Polis
Rumah mangsa rosak teruk akibat dirempuh treler. FOTO Ihsan Polis
Kuantan: Seorang pemandu treler dipercayai di bawah pengaruh dadah merempuh sebuah rumah menyebabkan dua beradik maut di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan hari ini.

Mereka yang meninggal dunia ialah Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 33, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris Nasruddin, 25 meninggal dunia pada jam 1.30 tengah hari ini.

Tiga lagi mangsa iaitu ibu bapa mangsa, masing-masing berusia 64 dan 54 tahun serta seorang rakan, Mohd Waldon Faris berusia 19 tahun mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata berdasarkan laporan, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 4.15 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 40 tahun berseorangan dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan membawa muatan siling kapur.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu lelaki itu ketika melalui selekoh ke kiri hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan kemudian merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

"Akibat kemalangan itu, Nurnazatul Fasiha disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat orang yang berada di dalam rumah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, pada jam 1.30 tengah hari ini, Mohd Waldon Faris disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, ujian saringan awal yang dijalankan di Hospital Pekan mendapati pemandu treler didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Pemandu treler akan ditahan untuk tujuan reman esok sebaik sahaja rawatan selesai," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang wanita ditemukan maut dibawa runtuhan rumah selepas dirempuh sebuah treler yang terbabas di Kampung Ketapang Hilir, Pekan, hari ini.

Wanita ditolak suami ke dalam gaung merangkak selamatkan diri

BERNAMA

Ipoh: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila bukan sahaja dicekik, malah cuba dibunuh oleh suaminya dan ditolak ke dalam gaung di Lebuh Raya Timur Barat (JRTB) Gerik dalam kejadian Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata, kejadian berlaku apabila suami mangsa berumur 39 tahun membawa mangsa, 32, dari tempat kerja di Kuala Lumpur menuju ke Perak melalui lebuh raya utama atas alasan mahu pulang ke kampung pada 5.30 petang, 26 Julai.

"Sepanjang perjalanan berlaku pertengkaran mulut antara mereka, setibanya di satu tempat suspek telah memberhentikan kereta dan bertindak mengugut mahu membunuh mangsa dengan sebilah pisau. Mangsa merayu namun suspek mencekik leher mangsa.

"Mangsa bertindak terjun dari kereta tetapi telah dimasukkan semula oleh suspek dan terus memecut sehingga tiba di kawasan KM31.2 JRTB Gerik kira-kira pukul 4 hingga 5 pagi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, setibanya di kawasan terbabit, berlaku lagi pertengkaran dan suspek telah menarik mangsa keluar dari kereta dan terjadi pergaduhan serta pergelutan di bahu jalan, sebelum suspek menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam gaung.

Beliau berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam yang menjumpai mangsa keseorangan di tepi jalan pada 2 petang, 27 Julai dan mangsa yang mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Gerik untuk menerima rawatan awal.

"Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa telah bertindak merangkak naik ke bahu jalan untuk menyelamatkan diri sebelum dijumpai orang awam… mangsa kini menerima rawatan di Hospital Daerah Taiping," katanya.

Zulkifli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan suspek mempunyai beberapa rekod lampau kesalahan berkaitan dadah.

"Suspek telah ditangkap oleh pihak IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Baling, Kedah kerana terdapat penglibatan kes di daerah berkenaan pada 31 Julai lepas. Sejurus selesai siasatan, suspek akan ditangkap semula oleh IPD Gerik untuk melengkapkan siasatan," katanya.

Polis selamat wanita Tanzania disyaki mangsa eksploitasi seks, tahan 20 warga asing

Bernama
Seramai 20 warga asing ditahan di sebuah unit pangsapuri di Jalan Ampang hari ini, disyaki melakukan kesalahan bawah Atipsom. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Polis menahan 20 warga asing termasuk dua kanak-kanak dalam operasi di Jalan Ampang hari ini atas pelbagai kesalahan, termasuk bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Zain berkata, mereka yang ditahan dalam operasi bermula 10.30 pagi di sebuah pangsapuri itu berusia dua hingga 40 tahun, terdiri daripada 14 warga Nigeria, 3 dari Tanzania, dua dari Uganda dan seorang warga Maldives.

Kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 12 Atipsom serta Seksyen 55D, Seksyen 15(1) (c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya turut menyelamatkan seorang wanita warga Tanzania berusia 24 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks.

Kesemua mereka dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang relevan, katanya.

Sementara itu, seorang pekerja di pangsapuri berkenaan yang enggan dikenali berkata, banyak aduan membabitkan warga Afrika di situ membabitkan tingkah laku seperti membuat bising dan mabuk hingga merosakkan harta benda.

Pihak pengurusan ada terima aduan mereka membuat bising kerana mabuk selain bergaduh sampai keluar rumah dalam keadaan berbogel, katanya.

Wakil rakyat tunggal Gerakan dicabar tarik balik sokongan pada Sanusi

Malaysiakini 

Seorang wakil rakyat DAP mencabar Gerakan untuk menarik balik sokongan wakil rakyat tunggal parti itu terhadap menteri besar negeri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman Teh Swee Leong berkata Gerakan harus mengambil pendirian berikutan kenyataan Sanusi yang mempersilakan parti itu meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

"Jangan hanya bertengkar dan memenuhi ruang media sosial tetapi masih duduk semeja dalam kerajaan negeri Kedah yang dipimpin oleh Sanusi sekarang.

"Parti Gerakan hendaklah menunjukkan keberanian dan tidak perlu membuang masa serta sumber untuk mengekalkan satu-satunya kerusi exconya dalam kerajaan negeri Kedah jika merasakan bahawa prinsip dan nilai yang diperjuangkan tidak lagi selaras dengan dasar PAS atau gabungan PN.

"Jika rakan komponen dalam PN sudah memanggil untuk keluar, mengapa harus terus berada dalam keadaan tidak selesa?” kata Teh dalam satu kenyataan semalam.

Adun Kulim Wong Chia Zhen, wakil rakyat tunggal Gerakan di peringkat parlimen dan negeri, dan dilantik sebagai exco Kedah.

Wong memenangi kerusi itu menentang Teh Lean Ong dari Pakatan Harapan pada pilihan raya negeri Kedah tahun lepas, yang turut menyaksikan kerusi pembangkang negeri dikurangkan kepada hanya tiga wakil daripada DAP.

Sebagai sebahagian daripada PN bersama PAS dan Bersatu, Gerakan kehilangan kesemua 23 kerusi parlimen yang diperuntukkan untuk bertanding pada PRU15, serta 35 kerusi lain pada pilihan raya negeri Ogos lalu.

Pada 29 Julai, Sanusi, yang juga ketua pengarah pilihan raya PN, menyuarakan pandangan Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah bahawa Gerakan bebas untuk keluar jika parti itu tidak lagi selesa menjadi sebahagian daripada gabungan itu.

Kedua-dua pemimpin itu menjawab kenyataan awal Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong bahawa parti itu tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan PN jika ia bermaksud mempertahankan sistem pendidikan Cina.

Menari tidak senonoh berlatar belakang kenderaan polis, wanita ditahan

BERNAMA

Tawau: Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung tindakannya menari dengan aksi tidak senonoh di tempat awam di sini berlatarkan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan merakam serta memuat naik video perbuatan itu di laman media sosial TikTok.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata polis turut merampas telefon bimbit wanita itu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah di sini semalam.

"Tangkapan ini susulan siasatan polis selepas satu laporan diterima daripada seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga pegawai kanan polis berhubung rakaman tersebut yang tular di aplikasi TikTok berdurasi 17 saat pada 4.44 petang Rabu lalu.

"Di dalam klip video tersebut, kelihatan seorang wanita sedang menari dengan aksi yang tidak senonoh di bahagian belakang sebuah motovan milik PDRM," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata video itu dipercayai dirakam semasa kenderaan polis terbabit berhenti di kawasan parkir yang berhadapan dengan sebuah kedai di pusat bandar ini kerana pemandu dan penumpangnya sedang makan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 15 Ordinan Kesalahan Kecil Undang-Undang Negeri Sabah.

Warga asing cuba seludup minyak masak bersubsidi ke Kemboja

Aizat Sharif
bhnews@bh.com.my
Ismail (tengah) bersama pegawai Kastam Perlis yang lain menunjukkan pek minyak masak bersubsidi dirampas daripada sepasang warga asing yang cuba menyeludup keluar dari negara ini di Kompeks ICQs Padang Besar. - Foto NSTP/Aizat Sharif
Ismail (tengah) bersama pegawai Kastam Perlis yang lain menunjukkan pek minyak masak bersubsidi dirampas daripada sepasang warga asing yang cuba menyeludup keluar dari negara ini di Kompeks ICQs Padang Besar. - Foto NSTP/Aizat Sharif
KANGAR: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis mematahkan cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi hingga ke Kemboja berjumlah 116 kilogram (kg) selepas menahan dua individu warga asing di Padang Besar pada 24 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, sepasukan anggota kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar yang sedang bertugas di Laluan Eksport, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP), Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar menahan kereta Toyota Corolla Altis berpendaftaran Thailand yang cuba melepasi laluan itu.

Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim, berkata kereta berkenaan dipandu lelaki warga Thailand berusia 52 tahun yang turut membawa penumpang wanita warga Kemboja berusia 56 tahun. Mereka ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan terhadap kereta berkenaan mendapati terdapat 116 pek bungkusan minyak masak bersubsidi satu kilogram pelbagai jenama disorokkan di dalam beg pakaian dan bekas tong cat yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang dan bonet kereta itu.

"Kita percaya pasangan warga asing ini mengambil stok minyak masak bersubsidi ini dengan mengumpulnya menerusi pembelian di pelbagai kedai atau pasar raya di Perlis.

"Modus operandi, mereka akan masuk ke negara ini dan berada di Perlis untuk beberapa tempoh tertentu.

Pada masa sama, mereka akan pergi ke kedai runcit atau pasar raya membeli minyak masak subsidi ini serta mengumpul stok dalam kuantiti tertentu," katanya kepada pemberita di Pejabat JKDM Negeri Perlis, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya selain Thailand, minyak masak bersubsidi ini juga akan dibawa sehingga ke Kemboja untuk tujuan dagangan di restoran atau premis makanan di negara itu dan dijual dengan harga sekitar RM5 hingga RM6 satu pek.

"Kesemua minyak masak bersubsidi dirampas itu dianggarkan berjumlah RM290 manakala kereta digunakan dianggarkan bernilai RM23,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan adalah bernilai RM23,290," katanya.

Ismail berkata, walaupun nilai rampasan minyak masak bersubsidi itu agak kecil, impak dan implikasi terhadap ekonomi negara akan menjadi buruk sekiranya penyeludupan komoditi bersubsidi ini tidak dikawal.

Tular not RM50 gambar Agong pertama senyum

KOSMO!
Not RM50 yang tular di media sosial dan menjadi perdebatan dalam kalangan pengguna.
PETALING JAYA – Kecoh di media sosial sejak beberapa hari lalu berhubung not RM50 yang dicetak dengan gambar Yang Di-Pertuan Agong MaIaysia pertama dalam keadaan tersenyum.

Sehubungan itu, seorang pengguna Facebook, Michelle tampil memberi amaran kepada orang ramai agar tidak ditipu dengan not palsu tersebut.

“Siapa yang terima wang kertas zaman sekarang perlu lebih berhati-hati terutama not RM50 dan RM100. Ingat! Perlu semak baik-baik.

“Ingat, jangan terambil not yang memaparkan gambar Agong tersenyum. Ia merupakan not palsu,” tegasnya.

Sementara itu, di ruangan komen pelbagai reaksi diberikan pengguna media sosial yang lain.

“Zaman sekarang ramai suka buat barang klon, termasuk duit untuk untung. Hati-hati semua, not RM50 memang banyak isu, ada yang sengaja ‘print’ guna kertas A4,” pesan Aien.

“Peniaga macam saya selalu dapat duit palsu dari pembeli, tak tahulah mereka sengaja atau mereka pun tak perasan itu duit palsu,” kongsi Normala. – KOSMO! ONLINE

Suami durjana rantai isteri di pokok, tinggal dalam hutan 40 hari

Agensi
Keadaan Lalita Kayi Kumar ketika ditemui dalam hutan. FOTO Agensi
Keadaan Lalita Kayi Kumar ketika ditemui dalam hutan. FOTO Agensi
New Delhi: Seorang wanita warga Amerika ditemui dalam keadaan kurus kering selepas dirantai di pokok dan ditinggalkan oleh suaminya selama 40 hari di sebuah hutan.

Memetik laporan Mirror.uk, pasukan penyelamat di daerah Sindhudurg, kurang 466 kilometer (km) dari Mumbai, mendapati Lalita Kayi Kumar, 50, tidak boleh bercakap dan kurus kering.

Dia memberitahu kakitangan hospital yang mana dia diikat pada pokok dan suaminya mahu dia mati di situ.

Lalita ketika ditemui oleh penyelamat berada dalam keadaan yang menyayat hati.

Sebelumnya, dia ditemui oleh seorang gembala yang mendengar jeritannya meminta pertolongan dan menghubungi pihak berkuasa.

Dalam nota yang ditemui dalam begnya, Lalita merujuk perbuatan itu dibuat suaminya.

"Suntikan untuk psikosis melampau yang menyebabkan rahang terkunci teruk dan ketidakupayaan untuk minum apa-apa air. 40 hari tanpa makanan dan air. Suami mengikat saya pada pokok di dalam hutan dan berkata saya akan mati," tulisnya pada nota itu.

Wanita itu yang sudah berada di India selama lebih 10 tahun dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

Doktor berkata mereka percaya bahawa dia seperti mengalami masalah psikiatri.

"Wanita itu lemah kerana dia tidak makan apa-apa selama beberapa hari dan juga kerana kawasan itu mengalami hujan lebat," kata polis Maharashtra menurut laporan media tempatan.

Polis kini sedang mencari suaminya, selain cuba mengesan saudara mara wanita itu di India.

"Kami tidak tahu berapa lama dia diikat pada pokok itu. Kami percaya suaminya, yang berasal dari Tamil Nadu, mengikatnya di sana dan melarikan diri," kata polis.

Warga Pakistan antara 5 ditahan dalam kes curi kabel LRT3 RM2.5 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang warga Pakistan antara lima lelaki ditahan disyaki mendalangi kecurian kabel di tapak pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) 3 di Shah Alam membabitkan kerugian lebih RM2.5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Zain, berkata semua suspek ditahan di tapak projek LRT3 di Jalan Persiaran Raja Muda, Seksyen 2 dan Persiaran Dato Menteri, Seksyen 14 di Shah Alam serta tapak stesen LRT Kayu Ara Damansara mulai 6.30 petang semalam.

Menurutnya, kumpulan itu bergerak aktif hampir setahun disyaki mencuri kabel bernilai RM2,506,500 milik Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Beliau berkata, semua suspek berusia 32 hingga 41 tahun itu adalah pekerja syarikat kontraktor membina LRT3 yang mempunyai akses ke tapak pembinaan.

“Kabel yang dicuri berfungsi sebagai pengalir arus elektrik ke bumi dan 15 laporan polis dibuat pemilik projek di Shah Alam serta Klang berhubung kecurian berkenaan.

Suspek ini akan mencuri kabel di tapak pembinaan dengan membawa keluar kabel menggunakan lori sewa khas. Kabel itu kemudian dipotong dan dijual ke kedai barang lusuh sekitar Klang, katanya menurut Harian Metro dalam sidang media khas di Bukit Aman.

Shuhaily berkata, semua suspek ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam untuk siasatan bawah Seksyen 431 A dan 379 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, semua kabel itu dicuri dari tapak pembinaan LRT3 Stesen 14 dekat sebuah stesen minyak di Lebuhraya Persekutuan berhampiran UiTM Shah Alam.

Kabel dilaporkan hilang itu berada di kedudukan atas landasan LRT3 masih dalam pembinaan.

Kes culik: Empat penjenayah disyaki dalang ditembak mati

Nor Azizah Mokhtar
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Empat penjenayah yang disyaki terbabit kes penculikan, maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis dalam dua kejadian berasingan di Skudai, Johor, lewat malam semalam dan awal pagi hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata berkata kumpulan itu dipercayai terbabit kes penculikan dua individu bulan lalu membabitkan pembayaran wang tebusan dalam bentuk Bitcoin sebanyak AS$1.16 juta atau RM5.4 juta.

Beliau berkata, kes penculikan itu berlaku kira-kira jam 11 pagi pada 11 Julai lalu membabitkan dua mangsa terdiri daripada seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan.

"Kenderaan dinaiki dua mangsa iaitu seorang lelaki warga China yang baharu tiba di Malaysia dan seorang perempuan warga tempatan dipintas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki empat lelaki di susur keluar selepas Plaza Tol Mex menghala Cyberjaya.

"Kedua-dua mangsa dibebaskan pada jam 6.30 petang 15 Julai lalu di tepi jalan Pedas-Linggi, Negeri Sembilan selepas adik kepada mangsa warga China itu membayar wang tebusan kepada suspek," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan dan risikan yang dijalankan oleh pihak polis, suspek berjaya dikenal pasti.

Berikutan itu, katanya, operasi membabitkan Bukit Aman dan beberapa kontingen polis dilakukan.

"Hasilnya, pada jam 11.25 malam semalam, polis mengesan seorang daripada suspek yang sedang memandu sebuah kereta di kawasan Jalan Skudai -Gelang Patah, Johor dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik menyedari diekori polis, suspek bertindak memecut keretanya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan pasukan polis. Anggota polis yang membalas tembakan berjaya menembak mati suspek," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada kereta suspek menemui sepucuk pistol milik suspek.

"Semakan mendapati, suspek berusia 51 tahun dan mempunyai enam rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah selain pernah dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah," katanya.

Mohd Shuhaily berkata hasil siasatan lanjut membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah di Taman Impian Emas, Skudai pada jam 12.05 tengah malam tadi.

"Pasukan polis yang hadir ke rumah berkenaan memperkenalkan diri namun tiada individu membuka pintu, dan sebelum pasukan berkenaan bertindak memasuki rumah sebelum beberapa das tembakan dilepaskan dari dalam rumah ke arah mereka.

"Berlaku kejadian berbalas tembakan dan tiga suspek lelaki berusia 35, 39 dan 45 tahun terkena tembakan dan meninggal di tempat kejadian, pemeriksaan polis di rumah itu menemukan sebilah parang dan dua pucuk pistol," katanya.

Menurut Mohd Shuhaily siasatan awal pihaknya mendapati kumpulan ini hanya terbabit dengan satu kes culik dan sedang menyiasat di mana wang tebusan yang dibayar itu disimpan.

Katanya, empat serbuan dijalankan di lokasi yang berasingan di negeri itu dan berjaya menangkap lima suspek termasuk seorang wanita kesemuanya warga tempatan berusia lingkungan 25 hingga 43 tahun.

"Semakan mendapati dua daripada suspek lelaki mempunyai rekod lampau jenayah.

"Kita turut merampas tiga pucuk pistol jenis Revolver dan sebilah parang panjang," katanya yang memaklumkan kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, pihaknya memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian culik berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

JAIPk diarah perjelas kontroversi ‘Islam-Hindu banyak persamaan’

FMT Reporters
Terdahulu, tular klip video menunjukkan peserta program anjuran JAIPk mengadakan lawatan ke sebuah kuil yang menimbulkan perdebatan warganet.
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diarah memberi penjelasan bagi membetulkan kekeliruan dan salah tanggapan susulan penyebaran klip video mengenai kursus melibatkan lawatan ke sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

Dalam kenyataan, Pejabat Menteri Besar Perak berkata pihaknya mengambil berat polemik yang timbul berhubung isu terbabit.

“Polemik tersebut menimbulkan pelbagai kekeliruan, salah faham dan persepsi negatif, terutamanya dalam kalangan umat Islam sehingga menjejaskan reputasi dan nama baik kerajaan negeri serta pihak berkuasa agama Islam termasuk JAIPk.

Dengan ini ditegaskan, kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip ‘maqasid syariah’ dalam melindungi kesucian dan kedudukan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Pejabat Menteri Besar Perak berkata, pihaknya telah memanggil satu mesyuarat khas pagi ini yang dihadiri pihak Jabatan Mufti Negeri Perak, JAIPk dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi membincangkan isu itu.

Katanya, hasil mesyuarat itu dan atas titah nasihat Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, JAIPk diarahkan mengkaji semula modul kursus berkenaan.

Ini bagi mengelakkan fitnah dan salah faham sehingga menjejaskan nama baik dan kredibilitinya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam, katanya.

Selain itu, JAIPk turut diminta mendapatkan pandangan Jabatan Mufti Perak sebelum menganjurkan program seumpama itu pada masa akan datang, serta berunding agar modul, kaedah atau pendekatan lebih sesuai dapat digunakan.

Terdahulu, tular klip video menunjukkan peserta program anjuran JAIPk mengadakan lawatan ke sebuah kuil.

Dalam video itu, seorang peserta berkongsi pendapatnya bahawa terdapat banyak persamaan antara agama Islam dan Hindu, yang menimbulkan perdebatan dalam kalangan warganet.

Sementara itu, Umno Perak turut mendesak modul program tersebut dikaji semula bagi mengelakkan fitnah dan salah tanggapan berterusan.

Sekiranya tidak ditangani dengan berhemah, isu berkenaan bukan sahaja akan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah boleh mencalar nama baik kerajaan negeri yang sentiasa berpegang kepada prinsip ‘maqasid syariah’ dalam menjaga kesucian agama Islam, katanya.

Angkara bergaduh rebut parkir, 2 wanita ditahan polis

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
Tangkap layar video tular memaparkan insiden dua wanita bergaduh kerana berebut petak meletak kenderaan di sebuah pasar raya di Kepala Batas. FOTO TULAR
Tangkap layar video tular memaparkan insiden dua wanita bergaduh kerana berebut petak meletak kenderaan di sebuah pasar raya di Kepala Batas. FOTO TULAR
Kepala Batas: Dua wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung video tular pergaduhan dipercayai kerana berebut petak meletak kenderaan di sebuah pasar raya, di sini.

Penahanan kedua wanita berusia 25 dan 38 tahun itu dibuat semalam, sejurus dua wanita berkenaan membuat laporan polis pada Isnin dan Selasa lalu berhubung insiden terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya di sini.

"Punca kejadian adalah disebabkan perasaan tidak berpuas hati dengan perebutan tempat parkir," katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi laman sosial Facebook (FB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam.

"Dalam pada itu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian mewujudkan apa-apa komen dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya atau mengugut atau mengganggu orang lain.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nursyahirah Sarahani di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau tampil ke balai polis bagi membantu siasatan," katanya.

Kelmarin, tular satu rakaman video berdurasi 25 saat memaparkan dua wanita bergaduh serta mengeluarkan perkataan kesat dipercayai berpunca daripada berebut parkir di sebuah pasar raya.

Wan Saiful minta pemimpin PN 'cakap benda betul di tempat betul'

Alyaa Alhadjri

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan meminta kepimpinan tertinggi PN agar lebih cermat dan menyatakan "benda yang betul di tempat yang betul".

Bercakap dengan media di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini, Wan Saiful maklum ada pandangan pemimpin gabungan itu yang lebih baik dibincangkan di peringkat dalaman, bukan disuarakan secara terbuka.

"Mesyuarat PN berlaku secara berkala. Setakat pengetahuan saya, mesyuarat dibuat secara berkala dan kerap.

"Lebih penting, isu-isu dalaman mungkin lebih elok dibincang secara dalaman. Tak perlu kita bawa isu yang dibincang dalam mesyuarat untuk diumumkan.

"Benda yang patut dimesyuaratkan, mesyuaratkanlah. Benda patut diumumkan, umumkanlah. Benda yang patut dibincang secara mesra di kedai kopi, bincangkanlah di kedai kopi.

"Permintaan saya pada pemimpin PN di atas, sebut benda yang betul di tempat yang betul," kata ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.

Wan Saiful berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Gerakan Dominic Lau bahawa sejak penubuhan PN menjelang PRU15, ketiga-tiga parti dalam gabungan itu tidak pernah duduk berbincang berkenaan perbezaan mereka.

Cadangan Lau agar PN mengadakan mesyuarat dibuat susulan ketegangan antara Gerakan dan PAS berhubung isu penglibatan syarikat minuman keras dalam acara kutipan dana sekolah Cina.

Pada 29 Julai lalu, Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor mengulang kenyataan Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah yang Gerakan boleh keluar dari PN jika tidak lagi selesa menganggotai gabungan itu.

Sanusi dan Mohd Amar menjawab kenyataan Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong yang parti itu tidak teragak-agak untuk meninggalkan PN demi mempertahankan sistem pendidikan Cina.

Pandangan berbeza

Ditanya berkenaan pandangan Bersatu berhubung respons PAS terhadap Gerakan, yang dianggap sesetengah pihak sebagai bongkak, Wan Saiful berkata ia merupakan "realiti dalam gabungan yang masih muda".

"Parti-parti yang membentuk PN ada perbezaan pandangan dan ia perlu diselaraskan untuk menjadi pegangan gabungan secara keseluruhan.

Untuk mengelakkan timbulnya tuduhan 'PAS bongkak', ini memerlukan perbincangan di peringkat atasan dan memerlukan sedikit disiplin," katanya.

Dia sekali lagi menyatakan ada perkara yang tidak perlu disuarakan secara terbuka bagi mengelakkan salah faham antara parti dalam PN.

"Saya kenal kawan-kawan dalam PAS, Gerakan dan Bersatu. Saya rasa sebenarnya tidak wujud kesombongan (oleh PAS) seperti dituduh.

"Ia hanya pandangan hati masing-masing dan menimbulkan salah faham apabila disuarakan," katanya lagi.

Kamera rakam gergasi berbulu berlari laju

KOSMO!
SATU makhluk ganjil (kiri) berlari ke arah sekumpulan karibu di Artik. - Foto 94HJY
WASHINGTON  – Satu rakaman video dokumentari yang telah lama hilang merakam kelibat makhluk berbulu dipercayai Bigfoot berlari laju mengejar kawanan karibu, lapor portal berita Daily Star semalam.

Berjudul Great North dan diterbitkan pada 2001, dokumentari  itu meneliti landskap Artik di Kutub Utara.

Satu adegannya memaparkan Bigfoot sedang berlari mengejar kawanan karibu di tepi sebatang sungai.

Ia berlari mengejar haiwan mirip rusa itu selama beberapa saat sebelum hilang di bawah rabung kecil. 

Walaupun ramai menganggap makhluk itu mungkin kru filem, pengarah dokumentari, William Reeve menafikan kakitangannya yang berlari dalam rakaman tersebut.

Dalam temu bual bersama  saluran YouTube ThinkerThunker, Reeve berkata: “Tiada sesiapa di hadapan kamera kecuali saya yang ketika itu, berada di tepi sungai.

“Semua kru berada di tepi kamera. Tiada sesiapa yang berjalan kaki,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada terdapat penduduk tempatan yang melalui kawasan itu, Reeve berkata: “Tidak sama sekali.”

Dia turut menafikan makhluk itu ialah beruang kerana ia berlari menggunakan dua kaki. – AGENSI

Adun Mahkota meninggal dunia

FMT Reporters

PETALING JAYA: Adun Mahkota Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang sebentar tadi.

Sharifah Azizah, 63, dimasukkan ke hospital sejak kelmarin akibat pendarahan dalaman.

Beliau yang juga ketua Wanita Umno Kluang adalah bekas ketua Wanita Umno Johor dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada PRN Johor 2022.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran di Facebook menzahirkan kesedihan mengenai kehilangan pemimpin yang lebih mesra dipanggil ‘Ummi’.

Beliau merupakan seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi. Jasa dan bakti beliau untuk Johor, khususnya DUN Mahkota tidak akan dilupakan, katanya.

Bapa sibuk main PlayStation, anak maut akibat strok haba

Agensi
Kanak-kanak comel itu maut selepas ditinggalkan bapa dalam kereta lebih tiga jam. FOTO Agensi
Kanak-kanak comel itu maut selepas ditinggalkan bapa dalam kereta lebih tiga jam. FOTO Agensi
New York: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut akibat strok haba yang mencapai suhu hampir 42 darjah selsius selepas ditinggalkan dalam kereta, lapor New York Post.

Parker Scholtes ditemui mati dalam sebuah SUV Honda yang diletakkan di luar rumahnya di pinggir bandar Tucson di Marana, Arizona di mana bapanya, Christopher Scholtes meninggalkan anak itu untuk tidur selama lebih tiga jam pada 9 Julai, menurut polis.

Bapanya itu didakwa berada di dalam rumah untuk bermain permainan video PlayStation.

Menurut laporan bedah siasat yang dikeluarkan kepada Republik Arizona pada Rabu, kanak-kanak berkenaan disahkan meninggalkan dunia pada suhu dalam kenderaan itu meningkat kepada 42 selsius.

'Kalau kamu bercerai, saya akan tinggal dengan kamu'
September 10, 2023 @ 12:26pm
Punca kematian kanak-kanak itu secara rasmi didapati akibat pendedahan kepada haba persekitaran.

Scholtes pada mulanya mendakwa dia meninggalkan anak perempuannya di dalam kereta dengan membuka penghawa dingin selama 30 minit selepas pulang dari membeli-belah kerana tidak mahu membangunkannya.

Namun, rekod mahkamah menunjukkan dia bermain permainan video selama lebih tiga jam, sehingga isterinya, Erika Scholter yang juga seorang doktor pulang ke rumah pada jam 4 petang.

Isterinya kemudian mendapati anak perempuan mereka yang berada dalam kereta sudah tidak bernyawa.

Dua lagi anak perempuan Scholtes memberitahu polis bahawa ayah mereka kadang-kadang meninggalkan mereka bersendirian di dalam kereta sementara dia bermain permainan video.

Ketika anak mereka dikejarkan ke hospital, Erika Scholtes yang juga seorang pakar bius berkata, dia sudah menasihati suaminya supaya berhenti meninggalkan anak mereka dalam kereta.

"Saya memberitahu dia untuk berhenti meninggalkan mereka (anak-anak) di dalam kereta, berapa kali saya memberitahu dia," katanya yang menghantar mesej kepada suaminya.

Mahkamah menetapkan Khamis depan untuk perbicaraan dan Scholtes dikenakan bon jaminan AS$25,000 (kira-kira RM114,000).
-hmetro 

Takuti senjata zaman ini Mohsin Abdullah

Mohsin Abdullah

Senjata membawa masalah. Ia membunuh. Itu masalah besar. Tetapi masalah senjata zaman serba moden ini ialah ia mampu mengesan di mana sasaran sebelum serangan dilancar. Maka serangan berjaya mencapai matlamat 100%. Itulah yang berlaku ke atas pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di Tehran awal pagi Rabu lalu. Serangan ke atasnya ialah pembunuhan bersasar. Iran menuduh Israel yang membunuh Ismail.

Sehingga artikel ini ditulis tiada pengesahan atau penafian Israel. Namun kita tahu Israel sebelum ini berulang kali menegaskan ia mahu menghapuskan Hamas sama sekali. Dalam perutusannya menerusi televisyen setelah Ismail dibunuh, sang Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dengan bangga berkata Israel telah ‘menyempurnakan pukulan maut ke atas musuhnya’. Beliau merujuk pembunuhan pemimpin Hezbollah Fuad Shukr di selatan Beirut pada hari sama Ismail dibunuh. Itu targeted assassination yang Israel mengaku melakukan.

Targeted assassination juga dilakukan ke atas wartawan Al Jazeera Ismail al-Ghoul dan jurukamera Rami al-Rifi di Gaza. Juga oleh Israel. Juga pada Rabu.

Seperti dikatakan tadi senjata moden boleh mengesan di mana sasaran berada, tepat pada hari dan waktu lantas melancar serangan membunuh dengan tepat. Dalam erti kata lain senjata canggih membolehkan Israel menghapuskan orang yang tidak disenanginya dengan mudah walaupun sasaran berada jauh dari Tel Aviv.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengutuk keras serangan ke atas Ismail sambil menyifatkan pembunuhan itu ternyata sangat tragis dan kejam. Beliau menyifatkan Ismail tonggak perjuangan pembebasan rakyat Palestin yang ditindas dan dikejami Israel.

Hantaran Anwar di Instagram yakni gambar perjumpaan beliau dengan Ismail di Doha tidak lama dulu diturunkan Meta Platforms Inc, pengendali platform media sosial. Anwar mengecam tindakan Meta menurunkan juga video, ucapan takziah serta kritikan di beberapa akaun media sosialnya berhubung pembunuhan Ismail.

Semakan FMT pagi semalam mendapati catatan itu hilang daripada akaun Facebook dan Instagram Anwar tetapi ketika itu masih kekal di platform X. Meta kata Anwar bertindak biadab dan menghina perjuangan rakyat Palestin.

Peringatan tegas saya terhadap Meta – usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel, kata Anwar di Facebook.

Beralih kepada Facebook wartawan veteran A Kadir Jasin. Kata beliau tidak tahulah sama ada pembunuhan Ismail Haniyeh ini akan memberi kesan kepada usaha kerajaan Malaysia Madani menjual 25% saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners Incorporated (GIP). GIP sedang dalam proses dibeli 100% oleh BlackRock Incorporated.

Menurut Kadir BlackRock juga adalah antara perniagaan antarabangsa yang disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembiaya kepada pembekal kelengkapan perang Israel.

Pembiayaan teknologi dan pembekal senjata seperti inilah yang menjadikan Israel canggih di segi persenjataan dan membolehkannya melakukan pembunuhan politik di luar negara dengan mudah, kata Kadir.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mahu kerajaan membatalkan perjanjian MAHB selepas pembunuhan Ismail. Dalam kenyataan, Ahli Parlimen PKR itu berkata Malaysia mesti menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti berkait rapat dengan rejim Zionis.

Dalam masa masyarakat Malaysia berkabung dan bersedih dengan gugurnya Ismail Haniyeh maka adalah wajar Malaysia membatalkan penjualan sebahagian besar saham MAHB sebuah syarikat strategik negara kita kepada Global Infrastructure Partners yang dikuasai oleh BlackRock, katanya.

Jika perjanjian itu dilaksanakan GIP akan mempunyai pegangan ‘hanya’ sebanyak 25% dalam MAHB seperti disebut Kadir tadi.

Perjanjian itu merujuk kontroversi bermula 15 Mei lalu apabila Khazanah Nasional Berhad mendedahkan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan GIP melalui GIP Aurea Pte Ltd akan membentuk konsortium untuk memperoleh saham dalam syarikat pengendali lapangan terbang (MAHB).

Isu itu dibawa ke Parlimen di mana perdana menteri memberi penjelasan mengapa GIP, BlackRock dipilih. Menurut PMX keputusan dibuat selepas melalui syarat ketat dengan tapisan dilakukan dalam kalangan keseluruhan 145 syarikat berminat.

Kata Anwar syarat ditetapkan Khazanah adalah ketat – antaranya jawatan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif mesti rakyat Malaysia dan majoriti pegangan adalah milik Malaysia. Kebanyakan syarikat yang berminat membeli saham tidak setuju dengan syarat dikenakan. Kecuali GIP. Itu sebab GIP dipilih, kata Anwar.

Syarikat lain yang berminat menurut Anwar semuanya mahu hak mengurus – bermakna mereka mahu ketua pegawai eksekutif datangnya daripada dalam kalangan rakyat negara mereka atau mereka yang menentukan siapa duduk dalam jawatan berkenaan.

Itu keputusan dibuat sebelum peristiwa berdarah Rabu lalu. Sekarang setelah Ismail dibunuh (yang ramai percaya oleh Israel) dengan senjata canggih lagi moden mungkinkah keputusan itu diubah? Seperti disaran YB Pasir Gudang daripada PKR sendiri. Atau mungkin untuk MAHB tidak dilihat seperti Meta?

Polis buru lelaki tunggang motosikal sambil makan piza

KOSMO!
Tangan kiri lelaki tersebut memegang kotak piza, manakala tangan kanannya memegang makanan itu sambil motosikal bergerak laju. – Istimewa
JAKARTA – Polis Indonesia menyiasat sebuah video tular menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan kakinya memegang hendal, sementara tangannya memegang piza, lapor laman berita Detik semalam.

Menurut Ketua Unit Trafik Polis Metro Depok, Komisioner Polis Multazam Lisendra, pihaknya akan mengeluarkan saman ke atas individu terbabit.

“Polis mahu mengingatkan setiap pengguna jalan raya bahawa anda wajib menjaga tingkah laku semasa memandu,” katanya.

Sebelum itu, sebuah rakaman video tular menunjukkan lelaki berkenaan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Tangan kirinya memegang kotak piza, manakala tangan kanan memegang makanan itu lalu ia dimakan sambil motosikal bergerak laju.

Lelaki berkenaan mengendalikan hendal menggunakan kaki kanannya.

Kejadian itu berlaku di Depok, wilayah Jawa Barat. – AGENSI

Anak sulung Ismail Haniyeh: 'Darah ayah tidak lebih berharga daripada darah kanak-kanak, lelaki dan wanita yang syahid di Gaza'

Agensi
ORANG ramai memegang poster memaparkan gambar Ismail Haniyeh, semasa perhimpunan anti-Israel di Tehran, Iran, pada 31 Julai 2024. FOTO Wana/ Reuters
ORANG ramai memegang poster memaparkan gambar Ismail Haniyeh, semasa perhimpunan anti-Israel di Tehran, Iran, pada 31 Julai 2024. FOTO Wana/ Reuters
Gaza: "Darah bapa dan semua korban syahid yang mengalir ke bumi akan mengekalkan negara, menyemarakkan penentangan dan revolusi sehingga mencapai kemenangan mengalahkan Israel."

Itu penegasan Said Abdel Salam Haniyeh, anak sulung bekas Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh dalam temu bualnya dengan Al-Jazeera, sambil menjelaskan kepentingan perpaduan barisan Palestin menjadi motif utama bapanya dibunuh rejim.

Haniyeh, seorang pemimpin politik Palestin yang terkenal dan Ketua Biro Politik Hamas dibunuh di Tehran, Iran, semalam, dalam serangan udara Israel.

Bekas Perdana Menteri Palestin itu berada di Tehran atas jemputan rasmi Kerajaan Republik Islam Iran dan dengan kehadiran ramai pemimpin negara lain untuk menghadiri majlis perasmian angkat sumpah Presiden baru Iran, Masoud Pezeshkian.

MEHR News Agency Iran melaporkan Haniyeh syahid dalam serangan kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan Rabu 31 Julai 2024 yang dilancarkan rejim Zionis ke atas kediamannya di Tehran. Serangan turut menyebabkan pengawal peribadinya terbunuh.

Hamas dan Pengawal Revolusi Iran mengesahkan kematian itu dan mengumumkan siasatan berterusan ke atas insiden itu.

Mengulas mengenai pembunuhan bapanya kepada Al-Jazeera, Abdel Salam berkata, rakyat negara merdeka dan rakyat Palestin tentunya terkesan atas kematian syahid Haniyeh yang mengambil jalan sama seperti warga Palestin lain.

"Jalan ini hanya boleh berakhir dengan kemenangan atau syahid. Saya mengulangi kata-kata bapa yang sering digunakannya untuk meratapi ahli keluarga gugur dalam serangan Israel dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

"Katanya: Darah ayah tidak lebih berharga daripada darah kanak-kanak, lelaki dan wanita yang syahid di Gaza," katanya.

Tiga daripada anak lelaki Haniyeh iaitu Hazem, Amir dan Mohammad terbunuh pada 10 April lalu, apabila serangan udara Israel mengenai kereta dinaiki mereka.

Haniyeh turut kehilangan empat cucunya, tiga perempuan dan seorang lelaki, dalam serangan itu.

Abdel Salam berkata, darah bapanya adalah pengorbanan yang diperlukan dalam perjalanan menuju pembebasan, memetik mereka sudah mendahului meninggal dunia dengan cara sama seperti pemimpin serta pengasas Hamas, Syeikh Ahmed Ismail Hassan Yassin, Yasser Arafat, Fathi Shikaqi, Abu Ali Mustafa dan lain-lain yang 'mengorbankan' darah mereka di jalan pembebasan."

Mengenai empat percubaan pembunuhan sebelum ini terhadap bapanya, Abdel Salam yang tercedera dalam satu daripada percubaan itu berkata, dia sekeluarga sudah reda.

"Kami menyerahkan diri kami kepada Allah SWT untuk kesyahidan beliau, sebagaimana ayah saya memberitahu kami setiap hari untuk melepaskan diri kami daripada mana-mana bahagian.

"Keyakinan kami sangat besar terhadap rakyat Palestin dan kepimpinan Palestin bahawa darah syuhada mesti menyatukan kami," katanya.

Abdul Salam menekankan kepentingan perpaduan dalam barisan Palestin sebagaimana fokus penekanan dan penerapan bapanya berdedikasi untuk perpaduan negara.

"Musuh yang kejam tidak membezakan antara seorang Palestin dan yang lain.

"Kita semua sedang menghadapi bencana maut yang dilakukan oleh musuh sama iaitu Israel. Tetapi percayalah musuh ini akan lenyap, sama ada hari ini atau esok, dan kita semua akan menyaksikan keruntuhannya," tambahnya.

'Saya tuntut nyawa dibalas nyawa' - mangsa samun cedera parah, suami dibunuh

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Mangsa samun, Sabturiah Lakidau (tengah - tudung biru gelap) hadir ditemani ahli keluarganya ketika memberi keterangan impak mangsa dan memohon tertuduh dihukum gantung atas kesalahan membunuh suaminya dan merompaknya, tujuh tahun lalu.
Mangsa samun, Sabturiah Lakidau (tengah - tudung biru gelap) hadir ditemani ahli keluarganya ketika memberi keterangan impak mangsa dan memohon tertuduh dihukum gantung atas kesalahan membunuh suaminya dan merompaknya, tujuh tahun lalu.
MELAKA: 'Yang Arif, saya mohon sangat-sangat hukuman gantung sampai mati kekal. Nyawa dibalas nyawa"

Demikian luahan mangsa samun, Sabturiah Lakidau, 66, ketika memberikan keterangan impak mangsa secara bersumpah dalam prosiding di akhir kes pembelaan hari ini yang mengundang suasana hiba dalam kalangan orang ramai termasuk ahli keluarganya di galeri awam.

Saksi Pendakwaan (SP) 21 itu dipanggil semula untuk memberikan keterangan bersumpah secara lisan, bagi pemberatan hukuman terhadap bekas polis tentera, Darmadi Sulaiman, 42, yang didakwa membunuh suaminya dan merompak mangsa, tujuh tahun lalu.

Dalam prosiding didengar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Anselm Charles Fernandis berkenaan, Sabturiah menyatakan akibat kejadian dia kehilangan suami dan tinggal seorang hingga takut untuk keluar rumah serta berjumpa orang ramai.

"Saya trauma berbulan-bulan, nak makan susah...hanya makan bubur sebab lidah saya dipotong. Mujur ada cucu menemani saya. Siang malam saya menangis kehilangan suami tercinta dan dirindui.

"Saya juga hilang pendapatan sebab tidak dapat berkerja (menjual makanan) akibat tangan kiri cacat dan kebas sejak kejadian hingga kini.

"Saya dirawat di hospital selama dua minggu akibat kejadian itu, malah kini lidah saya juga masih terasa sakit," katanya.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Sabturiah berkata, dia reda dan menerima keputusan hukuman diputuskan mahkamah.

Terdahulu, Anselm mendapati Darmadi bersalah dan disabitkan kesalahan selepas gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan bagi pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 394 KK kerana samun dengan menyebabkan kecederaan.

Menurutnya, beliau membuat keputusan itu selepas menimbangkan keseluruhan keterangan pendakwa dan pembelaan termasuk keterangan berbentuk dokumen seperti percakapan beramaran tertuduh.

"Saya berpendapat tertuduh tidak menimbulkan keraguan munasabah berkaitan kedua-dua pertuduhan terhadapnya, manakala pendakwaan membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah," katanya.

Sementara itu, tertuduh menyatakan dia tiada apa ingin dikatakan dan menerima apa saja keputusan mahkamah ketika diberi peluang memberikan ucapan terakhir oleh hakim.

Terdahulu, peguam S Paul Krishnaraja yang dibantu Amy Chong Chai Ling memohon mahkamah menggunakan budi bicara memberikan hukuman penjara dan bukan hukuman mati bagi kesalahan Seksyen 302 KK berdasarkan kes-kes selepas pindaan hukuman mati di Mahkamah Persekutuan.

Bagi kesalahan Seksyen 394 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, peguam merayu hukuman penjara minimum dan kedua-dua hukuman berjalan serentak kerana membabitkan transaksi kejadian sama walaupun berbeza mangsa.

Katanya, tertuduh sudah tujuh tahun berada di dalam penjara sejak ditahan dan itu adalah kesalahan pertamanya dan kini sudah insaf.

"Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai empat anak berusia 11,12,13 dan 14 tahun. Sebelum ditangkap dia berkhidmat sebagai askar selama 16 tahun di Kem Terendak," katanya.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan Nabilalif Mohd Rosli bagaimanapun berhujah supaya hukuman gantung bagi pertuduhan pertama dan hukuman berat bagi kesalahan kedua dikenakan kepada tertuduh serta berjalan berasingan.

"Pohon mahkamah ambil kira kekejaman dilakukan tertuduh terhadap dua mangsa warga emas dalam kes ini hingga kehilangan satu nyawa yang tidak bersalah.

"Tertuduh berterusan menyerang mangsa walaupun dihalang oleh isterinya dan sejurus selepas itu menikam pula si isteri di mulut serta menoreh tangannya.

"Pendakwaan juga mohon mahkamah mengambil kira trauma dialami mangsa sehingga kini dan kecacatan kekal akibat perbuatan tertuduh seperti dalam keterangan impak mangsa," katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun bermula dari tarikh ditangkap dan 15 sebatan bagi kesalahan membunuh dan penjara 10 tahun dan sembilan sebatan bagi tuduhan merompak dengan mendatangkan kecederaan.

Hukuman penjara berjalan berasingan bagi kedua-dua pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Darmadi didakwa membunuh Abdul Rahman Pileh, 60, yang juga bekas anggota Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) Para antara 7.40 hingga 8.10 malam, 14 Julai 2017 di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang.

Jika disabitkan kesalahan membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan mengikut Seksyen 302 KK.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merompak dan sengaja mendatangkan cedera kepada Sabturiah pada masa, tarikh dan tempat yang sama, mengikut Seksyen 394 KK.

Perbicaraan bermula 31 Mac 2021 dan 32 saksi pendakwaan memberi keterangan sebelum pendakwaan menutup kes pada 10 Oktober 2023 dan tertuduh dipanggil membela diri bermula 29 November 2023.

Hanya seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri yang memberi keterangan secara bersumpah.

Saksi dedah lebih RM440,000 masuk akaun bekas MB Perlis

Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen diberitahu bahawa terdapat kemasukan wang berjumlah RM447,216.35 ke dalam dua akaun CIMB milik bekas menteri besar Perlis Azlan Man pada 2016 dan 2017.

Pembantu Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB bank cawangan Putrajaya Jespall Kaur Bantha Sing, 53, berkata wang itu dimasukkan ke akaun Azlan menerusi dua cek daripada Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Cek bernilai RM224,404.40 dimasukkan ke dalam akaun CIMB jenis semasa I-Wadiah milik Azlan pada 2 Feb 2016 dan cek bernilai RM222,811.95 ke dalam akaun CIMB jenis semasa pada 3 April 2017, kata saksi pendakwaan keempat itu.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada hari ketiga perbicaraan kes bekas Adun Bintong itu yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Disoal peguam Burhanudeen Abdul Wahid, yang mewakili tertuduh, Jespall bersetuju bahawa penyata akaun bank Azlan yang dikemukakan di mahkamah bukan dokumen asal sebaliknya cetakan daripada sistem komputer bank yang merupakan rekod dokumen asal.

Setelah akaun dibuka oleh pelanggan, pihak bank akan menghantar dokumen ke ibu pejabat untuk dimasukkan ke sistem rekod bank tersebut. Justeru, semua maklumat adalah disahkan asli, katanya.

Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Dis 2013 dan Dis 2017.

Hal itu membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azlan sebelum ini turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Dis 2017 di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial antara 19 Feb 2014 dan Dis 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan boleh didenda lima kali nilai hasil atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 19 Ogos depan.

3 anggota polis ditahan, disyaki terbabit kes samun

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Semenyih: Tiga anggota polis ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kes samun di sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, di sini, semalam.

Difahamkan dalam kejadian itu, suspek yang melakukan samun berkenaan turut melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan sejumlah wang tunai serta barang kemas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 12.17 tengah malam.

"Bertindak atas maklumat diterima, kami menahan dua lelaki berusia 32 dan 35 tahun di Batalion 19, Pasukan Gerakan Am Cheras, Selangor jam 12.20 tengah malam tadi.

"Seorang lagi suspek berusia 24 tahun pula ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kira-kira jam 1 petang tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hussein berkata, dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 7 Ogos nanti, manakala seorang lagi suspek akan dibuat permohonan reman, esok untuk siasatan lanjut.

"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) berhubung kes ini.

"Polis Kontinjen Selangor tidak akan melindungi mana-mana pegawai mahupun anggota polis yang didapati terbabit dengan kegiatan jenayah.

"Siasatan akan dijalankan sepenuhnya mengikut kesalahan jenayah dilakukan tanpa sebarang kompromi," katanya.

Polis: Budak 12 tahun belajar pandu kereta daripada kakak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis berkata, seorang kanak-kanak 12 tahun yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan perumahan Sepang dipercayai diajar kakaknya.

Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kakak dan beberapa ahli keluarga tiga kanak-kanak itu sudah dirakam keterangan.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu belajar memandu daripada kakaknya dalam lingkungan 20-an.

Siasatan masih dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk ke timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut, katanya menurut Sinar Harian.

Semalam, polis dilaporkan membuka kertas siasatan atas kes tiga kanak-kanak menaiki kenderaan dipandu seorang daripadanya tanpa pengawasan orang dewasa di kawasan perumahan Sepang, mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Susulan itu, polis mengambil keterangan tujuh individu, termasuk bapa kanak-kanak berusia 53 tahun yang juga peniaga.

Terdahulu, satu video tular menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki memandu Perodua Viva dengan membawa dua adiknya berusia empat dan enam tahun.

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku kira-kira 8 malam Ahad lalu.

Suami cekik, tolak isteri ke dalam gaung

Bernama 

Seorang wanita berdepan detik cemas apabila bukan sahaja dicekik, malah cuba dibunuh oleh suaminya dan ditolak ke dalam gaung di Lebuh Raya Timur Barat (JRTB) Gerik dalam kejadian Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata kejadian berlaku apabila suami mangsa berumur 39 tahun telah membawa mangsa, 32, dari tempat kerja di Kuala Lumpur menuju ke Perak melalui lebuh raya utama atas alasan mahu pulang ke kampung pada 5.30 petang, 26 Julai.

"Sepanjang perjalanan berlaku pertengkaran mulut antara mereka, setibanya di satu tempat suspek telah memberhentikan kereta dan bertindak mengugut mahu membunuh mangsa dengan sebilah pisau, mangsa merayu namun suspek mencekik leher mangsa.

"Mangsa bertindak terjun dari kereta tetapi telah dimasukkan semula oleh suspek dan terus memecut sehingga tiba di kawasan KM31.2 JRTB Gerik kira-kira pukul 4 hingga 5 pagi," katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.

Zulkifli berkata setibanya di kawasan terbabit, berlaku lagi pertengkaran dan suspek telah menarik mangsa keluar dari kereta dan terjadi pergaduhan serta pergelutan di bahu jalan, sebelum suspek menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam gaung.

Beliau berkata polis menerima panggilan daripada orang awam yang menjumpai mangsa keseorangan di tepi jalan pada 2 petang, 27 Julai dan mangsa yang mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Gerik untuk menerima rawatan awal.

"Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa telah bertindak merangkak naik ke bahu jalan untuk menyelamatkan diri sebelum dijumpai orang awam … mangsa kini menerima rawatan di Hospital Daerah Taiping," katanya.

Zulkifli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan suspek mempunyai beberapa rekod lampau kesalahan berkaitan dadah.

"Suspek telah ditangkap oleh pihak IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Baling, Kedah kerana terdapat penglibatan kes di daerah berkenaan pada 31 Julai lepas. Sejurus selesai siasatan, suspek akan ditangkap semula oleh IPD Gerik untuk melengkapkan siasatan," katanya.

- Bernama

Terengganu: Perkosa remaja 15 tahun, atlet OKU mengaku mengaku tidak bersalah

BERNAMA

Kuala Terengganu: Seorang atlet Orang Kurang Upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas dakwaan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, tahun lalu.

Ainur Haikal Danial Bahrudin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Atlet OKU negeri kategori penglihatan itu didakwa merogol mangsa yang ketika itu berumur 15 tahun di Taman Kemang Tiruk, Serada di sini, pada 30 September 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Riffin menawarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh namun peguam Najmi Adila Md Nasir daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan rendah.

Najmi Adila berkata, anak guamnya menanggung bapanya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan pendapatan RM1,200 sebulan, manakala ibunya juga seorang OKU kategori lembam.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin kemudian membenarkan jaminan RM7,000 selain mengarahkan tertuduh melapor diri ke balai polis terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 2 September depan untuk sebutan semula kes dan keluarga tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut.

Penguat kuasa direman ambil rasuah pinda kesalahan kes penipuan

KOSMO!
Seorang pegawai penguat kuasa ditahan reman SPRM kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM5,000.
PETALING JAYA – Seorang pegawai penguat kuasa ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM5,000 bagi meminda seksyen kesalahan untuk kes penipuan.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan ketika bertugas kira-kira pukul 9.40 malam semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek telah meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM5,000 daripada pengadu.

“Rasuah itu dipercayai sebagai balasan untuk meminda seksyen kesalahan bagi kes penipuan yang dikenakan kepada pengadu,” katanya hari ini.

Justeru, suspek direman selama lima hari sehingga 4 Ogos depan selepas perintah dikeluarkan Majistret Fatin Dayana Jalil di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE.

Rider’ hampir kena langgar lepas curi bekas duit gerai kuih

KOSMO!
Tangkap layar rakaman CCTV yang dimuat naik di aplikasi X.
PETALING JAYA – Ketiadaan pelanggan membuatkan seorang penunggang e-hailing mengambil kesempatan melarikan bekas duit sebuah gerai yang menjual kuih.

Menerusi perkongsian di aplikasi X, satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dimuat naik memaparkan kejadian itu yang berlaku sekitar pukul 3.24 petang semalam.

Bagaimanapun, lokasi kejadian tersebut tidak dapat dikenal pasti.

Berdasarkan video berdurasi 18 saat itu, penunggang lelaki berkenaan dilihat kononnya sedang memilih kuih sebelum membawa lari bekas berisi duit yang terletak di atas meja.

Ketika kejadian, tiada kelibat pelanggan lain sementara peniaga pula yang dipercayai berada di belakang gerai terus menjerit apabila menyedari perkara tersebut.

“Jangan….jangan….,” jerit salah seorang peniaga sambil cuba mengejar pelaku terbabit.

Lelaki tersebut kemudian menunggang ke arah bertentangan dan hampir dirempuh oleh sebuah kenderaan putih, namun sempat mengelak sebelum memecut laju untuk melarikan diri. – KOSMO! ONLINE.

Olimpik terasa kurang tanpa Rusia

Zin Mahmud

Azam Olimpik moden antara lain adalah untuk menghimpun ahli-ahli sukan dari semua negara di seluruh dunia empat tahun sekali. Semangatnya adalah untuk menampilkan pencapaian terbaik dalam acara masing-masing melalui penganugerahan pingat emas, perak dan gangsa.

Satu ciri penting bagi Olimpik moden yang selalu diutarakan tetapi tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya ialah pesta sejagat ini seharusnya bebas politik. Acara sukan antarabangsa sewajarnya adalah untuk menyemai perdamaian. Tuan rumah ada masanya menggunakan acara sukan untuk bukan saja mengukuhkan imej nasionalnya, malah menjadikan medan propaganda politik.

Maka begitu juga dengan Olimpik 2024. Rusia dan Belarus dilarang menyertainya. Ini kerana Rusia melancarkan perang ke atas Ukraine. Belarus pula kerana menyokong dan membantu Rusia. Hanya atlet yang bertanding sebagai individu berkecuali dari kedua negara itu dibenarkan. Dalam kategori yang dipanggil AIN (atlet, individu, neutral), hanya 32 orang menyertainya. Tentulah ia tidak dapat mencerminkan keupayaan sukan Rusia dan Belarus.

Tambahan pula, Rusia adalah negara besar, malah dari segi keluasan. Ia merupakan negara terbesar dunia. Maka tentunya ia merupakan kuasa sukan yang mampu bersaing dengan negara-negara besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan China. Rusia mampu menguasai acara-acara atletik seperti gimnastik dan renang termasuk berirama (synchronised swimming) yang popular di kalangan penonton.

Maka tanpa Rusia tentulah, acara-acara ini berasa kurang meriah. Pencapaian negara lain seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan negara-negara Eropah lain tidak sepenuhnya teruji kerana ketiadaan Rusia.

Dalam sukan olimpik sebelum ini, iaitu di Tokyo, Rusia juga dihalang menyertainya. Sukan Olimpik 2020 yang diadakan pada tahun 2021 itu berlangsung sebelum perang di Ukraine. Pada masa itu, Rusia dilarang kerana Agensi Antidoping Antarabangsa mendapati kerajaan Rusia melakukan doping untuk mempertingkatkan keupayaan atlet mereka.

Perkara ini berlaku pada Olimpik tahun 2016 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil. Penemuan agensi itu terjadi pada tahun 2017, maka mereka dilarang bertanding pada Olimpik berikutnya. Namun begitu, atlet-atlet mereka turut juga bertanding tetapi atas nama Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC). Tentunya jawatankuasa itu perlu memastikan tidak berlaku doping.

Saya mula mengikuti laporan sukan Olimpik pada tahun 1972 yang berlangsung di Munich Jerman Barat. Ketika itu saya berada dalam darjah enam dan bahan laporan hanya datang dalam bentuk berita radio, akhbar dan majalah mingguan iaitu Time dan Newsweek.

Olimpik tahun 1972 terkenal dengan peristiwa pembunuhan lima atlet dan enam jurulatih Israel di kampung Olimpik yang dilakukan oleh kumpulan bersenjata Palestin bernama Black September. Israel telah menyertai Olimpik sejak tahun 1953. Palestin hanya dapat menyertai Olimpik pada tahun 1996. Bagaimanapun Jawatankuasa Olimpik Palestin ditubuhkan pada tahun 1933 ketika wilayah itu ditadbir British.

Dalam Olimpik tahun 1972, negara yang paling banyak meraih pingat emas ialah Soviet Union iaitu 50 berbanding Amerika Syarikat yang memperoleh 20. Pada masa itu Rusia, Ukraine dan Belarus yang dipanggil Byelorussia merupakan sebahagian daripada Soviet Union. Begitu juga dengan negara-negara Baltik iaitu Lithuania, Latvia dan Estonia.

Negara-negara lain yang ketika itu berada dalam Soviet Union ialah Moldova, Georgia, Armenia, Kazakhstan, Tajikistan. Azerbaijan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Kyrgyzstan.

Bukan saja Soviet Union nenunjukkan kecemerlangan dalam Olimpik tetapi juga negara-negara blok Timur yang lain di Eropah Timur seperti Jerman Timur, Romania, Hungary. Bulgaria dan Czechoslovakia yang kini berpecah kepada Czechya dan Slovakia.

Dalam Olimpik tahun 1976 yang berlangsung di Montreal, Kanada, sekali lagi Soviet Union menduduki tempat pertama dan Jerman Timur di tempat kedua. Mereka mendominasi acara-acara yang memerlukan disiplin tinggi dan latihan jangka panjang seperti gimnastik dan renang.

Media Amerika iaitu Time dan Newsweek menyatakan bahawa kejayaan negara-negara blok Timur adalah kerana penglibatan besar kerajaan mereka dari segi sumber untuk melahirkan atlet-atlet cemerlang. Ia bermula dari pencarian bakat baharu sejak kecil dan disiplin latihan yang tinggi di luar kemanusiaan, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh negara-negara blok Barat.

Juga dinyatakan bahawa Soviet Union melihat Olimpik sebagai medan ruang propaganda untuk memaparkan keunggulan sistem komunis berbanding kapitalis. Sebab itu, mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai acara-acara sukan olimpik.

Sungguhpun pada tahun 1976, Perang Dingin berada di puncaknya tetapi ia sedang melalui fasa co-existence (menerima kewujudan negara masing-masing) dan detente (tidak menyerang di antara satu sama lain). Maka persaingan antara blok Timur dan blok Barat adalah tidak pada peperangan tetapi tertumpu pada bidang budaya, sains dan sukan. Dalam bidang sains, persaingan adalah dalam bentuk penerokaan bulan dan angkasa. Dalam bidang sukan, tentunya olimpik menjadi medan. Perang bersenjata nasih berlaku tetapi ia berbentuk proksi dan atas nama perjuangan kemerdekaan sesuatu wilayah

Namun begitu, tidak pernah berlaku Soviet Union atau negara-negara sekutunya dihalang bertanding Olimpik baik pada tahun 1972 mahupun 1976.

Tetapi apa yang berlaku ialah boikot. Pada olimpik tahun 1980, Moscow berjaya dipilih untuk menjadi tuan rumah. Ini adalah perkara yang besar bagi Soviet Union. Ia merupakan peluang besar bagi negara itu untuk menunjukkan kepada dunia tentang kehebatan sistem politik mereka. Logo Olimpik Moscow direka bentuk berupa puncak bangunan dengan di atasnya bintang berbucu lima iaitu lambang Soviet Union dan komunisme. Maskotnya ialah beruang Rusia.

Tetapi malang bagi Soviet Union. Pada tahun 1978, berlaku apa yang dinamakan sebagai Revolusi Saur di Afghanistan. Parti komunis di sana telah menggulingkan kerajaan Kabul dan menguasainya. Maka pelbagai kumpulan bersenjata tempatan muncul berjuang atas nama jihad untuk membebaskan Afghanistan. Amerika Syarikat yang mahu menghalang komunis berkuasa telah menghantar bantuan senjata kepada kumpulan-kumpulan itu melalui Pakistan.

Dalam keadaan terdesak itu, kerajaan komunis Kabul meminta bantuan Moscow. Maka pada tahun 1979; Soviet Union menghantar tenteranya ke Afghanistan.

Sudah tentu Anerika membantah. Maka Washington mengenakan tekanan terhadap Moscow. Antaranya ialah memboikot Sukan Olimpik 1980. Maka negara-negara blok Barat pun memboikot sukan itu. Begitu juga dengan negara-negara Islam termasuk Malaysia.

Maka tidak hairanlah blok Timur membalas balik pada Olimpik tahun 1984 yang diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat. Soviet Union dan sekutu-sekutunya memboikot sukan itu. Maka Olimpik tahun 1980 dan 1984 tidak mencerminkan kekuatan sebenar kesukanan manusia.

Pada Olimpik tahun 1988 yang diadakan di Seoul, Korea Selatan, kedua-dua blok Timur dan Barat bertanding. Soviet Union sekali lagi muncul sebagai negara yang mampu mengutip pingat emas paling banyak. Ketika itu Presiden Soviet Union, Mikhail Gorbachev sedang melakukan reformasi terhadap sistem komunis melalui dasar Glastnost (keterbukaan) dan Perestroika (penstrukturan semula). Beliau juga memanggil pulang tentera Soviet dari Afghanistan. Tetapi tidak ada siapa menjangkakan reformasi itu bukan saja gagal tetapi meruntuhkan negara itu pada tahun 1989.

Maka apabila Olimpik tahun 1992 diadakan di Barcelona, Sepanyol, Soviet Union sudah tidak ada. Perang Dingin sudah berakhir. Negara-begara Baltik yang merupakan bekas republik-republik Soviet iaitu Lithuania, Latvia dan Estonia menghantar pasukan mereka sendiri. Tetapi bekas republik Soviet termasuk Rusia dan Ukraine tetap menghantar pasukan bersama, tidak atas nama Soviet Union tetapi atas nama Unified Team atau Pasukan Disatukan. Pasukan ini muncul sebagai pihak yang paling banyak mengutip pingat emas, iaitu meneruskan legasi Soviet Union.

Tetapi dalam Olimpik tahun 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat, semua republik-republik bekas Soviet Union bertanding sendiri. Maka Rusia tidak dapat mencapai apa yang diperoleh oleh Soviet Union sebelum itu. Amerika pula muncul sebagai negara teratas dalam kutipan pingat emas.

Sebanyak enam kali Olimpik iaitu pada tahun 2000 di Sydney, Australia, 2004 di Athens, Greece dan 2008 di Beijing, China, Rusia menjadi salah sebuah negara penting dalam kejohanan acara-acara sukan antarabangsa itu.

Masalah mula timbul pada Olimpik tahun 2012 di London, United Kingdom. Semasa Olimpik itu, Rusia meraih 24 pingat emas dengan kedudukan keempat dalam kejohanan itu. Tetapi kemudian setelah gagal dalam ujian antidoping, tujuh pingat emas ditarik balik.

Masalah yang sama berulang di Olimpik Rio de Janeiri, Brazil pada tahun 2016. Penemuan doping berlaku pada tahun 2017. Bermula dari situ Rusia dilarang menyertai Olimpik selama empat tahun. Maknanya ia tidak boleh menyertai Olimpik 2020 tetapi boleh masuk Olimpik 2024.

Malang bagi atlet-atlet Rusia pula, negara mereka melancarkan serangan ke atas Ukraine pada tahun 2022. Jawatankuasa Olimpik Rusia pula secara terang-terang menyokong pelanggaran negara mereka ke atas Ukraine. Maka Rusia terlepas peluang lagi untuk menyertai Olimpik.

Mungkin pada Olimpik tahun 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat dan 2032 di Brisbane, Australia, Rusia dapat kembali menyertai Olimpik kerana perang Ukraine dijangka berakhir

Tetapi jika ketegangan politik antara Rusia dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah berterusan, maka bergenerasi atlet Rusia khususnya para ahli gimnastik akan terlepas peluang bersaing dalam Olimpik. Maka sukan dunia juga akan kerugian tanpa penyertaan Rusia.

ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.