‘Tumbuk’ di DUN, Adun Warisan mohon maaf kepada Adun Kunak
FMT Reporters
Adun Merotai Sarifuddin Hata berkata beliau ‘bergurau kasar’ merujuk apa disifatkannya tindakan ‘tepuk’ bahu Norazlinah Arif.
Video menunjukkan Sarifuddin Hata mendekati Adun Kunak Norazlinah Arif lalu menumbuk bahu dalam insiden di bangunan DUN Sabah.
PETALING JAYA: Adun Merotai dari Warisan, Sarifuddin Hata, memohon maaf kepada Adun Kunak Norazlinah Arif kerana ‘menumbuk’ bahunya dalam kejadian di DUN Sabah, pada Rabu.
Norazlinah, yang kini menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan keluar Warisan, pada Februari tahun lalu, terdahulu membuat laporan polis berkait insiden ditumbuk Sarifuddin.
Katanya, Adun itu menumbuk di bahagian bahu kanan, ketika beliau dalam perjalanan meninggalkan bangunan DUN, sambil menggambarkan tumbukan berkenaan menyebabkan badannya berpusing.
Kesan tumbukan itu mengakibatkan lengannya mengalami kesakitan.
Susulan itu, Sarifuddin dalam komen di Facebook memohon maaf kepada Norazlinah, dengan menyatakan melakukan ‘gurauan mungkin kasar’ dengan ‘tepuk’ di bahu, sambil menambah ‘tiada niat menyakiti’.
Katanya, selepas insiden itu, beliau terburu-buru berlari untuk bertemu wartawan.
“Harap maafkan saya,” katanya.
Norazlinah dalam catatan Facebook, berkata beliau dan suami memaafkan.
“Moga budaya gurauan kasar dan tidak menjaga adab sesama bukan muhrim tidak menjadi amalan kita. Mari kita jadikan insiden ini sebagai iktibar.”