"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sendiri pasang CCTV, sendiri dirakam mencuri

Izz Laily Hussein
bhnews@bh.com.my
Pekerja kedai emas disyaki mencuri sebentuk cincin bernilai lebih RM5,000. - Foto ihsan polis
Pekerja kedai emas disyaki mencuri sebentuk cincin bernilai lebih RM5,000. - Foto ihsan polis
JOHOR BAHRU: Seorang pekerja kedai emas yang diarahkan majikannya untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit, disyaki mencuri sebentuk cincin emas bernilai lebih RM5,000 apabila rakaman CCTV itu membongkar perbuatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata susulan semakan terhadap rakaman CCTV di premis dekat Taman Daya berkenaan, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 41 tahun itu, semalam.

"Kejadian dilaporkan berlaku pada 16 November lalu. Suspek telah diarahkan oleh majikannya untuk memasang CCTV dan berdasarkan rakaman kamera itu, suspek didapati mencuri sebentuk cincin emas seberat 16.01 gram bernilai RM5,814.32.

"Suspek kemudian telah memajak cincin itu di sebuah kedai emas sekitar daerah ini dan memperoleh hasil sebanyak RM4,950," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Raub berkata, suspek ditahan di Ulu Tiram bersama barang rampasan, termasuk baju, seluar, kasut dan surat pajak gadai.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah lampau, dan kini direman empat hari bermula hari ini hingga Selasa bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.

Raub berkata, pihaknya komited untuk terus memerangi jenayah, dan orang ramai yang ada sebarang maklumat berkaitan kejadian curi boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan melalui 07-2182323.

Bakar suami selepas periksa akaun bank berkurangan

Sinar Harian
Suspek ketika tiba di mahkamah untuk menjalani perbicaraan. Foto Agensi
JAKARTA: Seorang wanita hilang kewarasan apabila bertindak membakar suaminya, selepas tidak berpuas hati melihat akaun bank mangsa berkurangan.

Pada sidang perbicaraan mahkamah Mojokerta pada 19 November lalu, suspek berkata, insiden itu berlaku pada 8 Jun lalu selepas dia menyemak akaun suaminya di sebuah bank di Jalan Majapahit.

"Saya menyemak gaji suami menggunakan kad bank BRI miliknya, saya terkejut selepas mendapati ia hanya tinggal RP80,000 (RM22.46).

"Padahal sepatutnya ada dalam Rp2.8 juta (RM822), selepas saya kembali ke pejabat, saya bertanyakan kepada suami menerusi satu hantaran di WhatsApp," kata suspek yang dikenali sebagai Fadhilatun Nikmah, 28.

Tambahnya, suaminya membalas dan memaklumkan bahawa wang itu telah diambil olehnya, tetapi tidak digunakan sama sekali.

"Saya fikir dia gunakan wang itu untuk berjudi dalam talian," katanya lagi.

Jelasnya, selepas habis waktu bekerja dia pulang dan dalam perjalanan itu dia telah membeli 1 liter petrol yang diletakkan dalam sebuah botol.

"Sampai di rumah, di Jalan Pahlawan, Kelurahan Miji, Kranggan, Kota Mojokerto, saya WhatsApp bertanyakan keberadaan suami, kerana dia tiada di rumah semasa saya sampai.

"Tetapi selepas suami pulang, saya bertanyakan mengenai wang itu dan dia berdalih, hinggalah saya menuang petrol yang dibeli ke badannya lantas saya bakar," katanya.

Susulan insiden itu, katanya suaminya itu hampir terbakar keseluruhan anggota badan.
Akibat kejadian itu suami suspek akhirnya menghembuskan nafas terakhir di hospital Wahidin Sudiro Husodo, Kota Mojokerto pada 9 Jun.

Perbicaraan bersambung dan suspek didakwa di bawah Pasal 44 Ayat (3) UU RI Nombor 23 Tahun 2004 berhubung keganasan dalam rumah tangga. Ia berhadapan hukuman penjara selama 15 tahun. - Agensi/Sinar Harian