4 lagi pegawai bank ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi pegawai bank semalam bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram.

Ia susulan SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan susulan penahanan 12 individu di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, empat pegawai bank terbabit individu terbaru ditahan semalam dan permohonan reman akan dibuat hari ini.

Menurutnya, sebelum ini 12 orang direman lima hari di mana tujuh daripada mereka akan dilepas reman hari ini.

"Manakala lima lagi orang akan dimohon untuk disambung reman hari ini bagi membantu siasatan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan 4,000 dokumen dirampas bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.

Azam Baki dilaporkan berkata, dijangka 16 individu membabitkan pegawai bank dan syarikat perundingan akan dipanggil dan berkemungkinan ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, setakat ini 4,000 dokumen sudah dirampas dan dalam proses siasatan.

SPRM mendapati sejumlah RM700 juta pinjaman sudah diluluskan kepada 4,000 penjawat awam di mana, pinjaman yang diluluskan itu daripada pelbagai bank sejak syarikat berkenaan beroperasi tahun 2020.

Terdahulu SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan susulan penahanan 12 individu di sekitar Lembah Klang.

Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan Op Sky di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada 13 Januari lalu.

Mereka yang ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, masing-masing seorang pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan