Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tujuh pekerja syarikat kurier termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki mencuri barang dalam bungkusan yang dikirim pelanggan membabitkan kerugian RM21,818.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata kejadian dipercayai berlaku di gudang syarikat kurier terbabit yang terletak di Taman Indah Cheras, di sini.
Katanya, kejadian disedari pengurus keselamatan syarikat kurier pada jam 9 pagi 13 Januari lalu selepas menerima aduan seorang pelanggan yang menerima bungkusan kosong dihantar menggunakan khidmat syarikat kurier terbabit.
"Pengadu membuat siasatan dalaman dan mendapati terdapat beberapa pekerja membawa keluar bungkusan dari gudang tanpa membuat urusan daftar keluar barang.
"Pengadu mengesyaki pekerja syarikat telah mencuri bungkusan asal milik pelanggan dengan nilai kerugian dianggarkan RM 21,818," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berikutan itu katanya sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Ampang Jaya membuat beberapa siri serbuan dan tangkapan di sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan, bermula 13 Januari hingga semalam,
"Tangkapan membabitkan enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 51 tahun dan pihak polis turut merampas beberapa barangan yang disyaki ada kaitan dengan kes yang sedang disiasat.
"Tangkapan pertama dan kedua terdiri daripada seorang lelaki dan wanita tempatan telah dibawa ke Mahkamah Ampang untuk dituduh dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana didapati mencuri barang dari syarikat tempat bekerja," katanya.
Untuk lima lagi tangkapan susulan, Mohd Azam berkata permohonan reman telah dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga 20 Januari ini ke atas semua suspek
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan iaitu curi oleh orang gajidan Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan