Erika George
am@hmetro.com.my

Lokasi mangsa dibunuh pada malam Rabu lalu. FOTO ERIKA GEORGE
Bintulu: Gara-gara tidak mahu menjaga ibu saudara yang sudah tua dan uzur, seorang lelaki tempatan dengan rakan warga asing nekad membunuh warga emas itu di kediamannya di Daerah Kecil Tubau pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian pada jam 8 malam sebelum berjaya menahan kedua-dua suspek utama pada jam 9 malam.
"Hasil maklumat serta risikan, polis berjaya menahan kedua-dua suspek dalam tempoh kurang daripada empat jam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu katanya, mangsa yang juga warga tempatan berusia 80 tahun dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ekoran kejadian itu, Nixon berkata, polis bertindak memulakan siasatan serta memburu kedua-dua suspek sebelum berjaya menahan mereka di kawasan berhampiran.
"Kedua-dua suspek akan dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.
Nixon berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan perbuatan jenayah.
Justeru itu katanya, polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah agar tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan