Korek lubang untuk sembunyi selepas nampak penguat kuas

Baharom Bakar
am@hmetro.com.my
Pegawai Penguatkuasa JIM negeri sedang memeriksa dokumen warga asing dalam Ops Sapu, semalam. FOTO IHSAN JIM negeri
Pegawai Penguatkuasa JIM negeri sedang memeriksa dokumen warga asing dalam Ops Sapu, semalam. FOTO IHSAN JIM negeri
Kuala Terengganu: Sempat sembunyi dalam lubang khas selama 15 minit sebelum tidak tahan menanggung kepanasan dan akhirnya keluar.

Taktik tidak jadi seorang lelaki warga Kemboja itu terbongkar dalam operasi Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu di rumah kongsi di tapak pembinaan di Kampung Gelugor Kedai, Marang semalam.

Dalam Op Sapu pada 8 malam kelmarin hingga 6 pagi semalam, pasukan JIM mengesan lubang khas di rumah kongsi berkenaan yang disyaki dikorek sebaik ternampak kelibat anggota menghampiri kawasan.

Penguat kuasa memutuskan untuk memantau taktik lelaki warga Kemboja yang cuba bersembunyi dalam lubang itu, sebelum menahannya selepas dia keluar dan beralih tempat persembunyian di dalam timbunan kain.

Pengarah JIM negeri, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, seramai 45 warga asing termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan diperiksa dalam operasi di lapan premis di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

Bagaimanapun, katanya, selepas saringan dilakukan, 17 warga asing berusia antara tujuh dan 49 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka adalah lelaki Myanmar, empat warga Indonesia, 10 warga Kemboja dan dua lelaki Bangladesh.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dalam negara tanpa dokumen sah dan Seksyen 15 (1) (c), akta yang sama atas kesalahan tinggal dalam negara melebihi tempoh dibenarkan," katanya.

Mohd Yusri berkata, semua warga asing termasuk tiga kanak-kanak yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Ajil, Kuala Berang.

Katanya, operasi membanteras warga asing akan terus dipergiat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan kepada pihaknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan